Tuesday, September 24, 2013

Merit



Perihal ‘merit’, ‘fakih’ dan ‘memahami realiti semasa’ dalam pemilihan saf kepimpinan


1.0  ‘Merit’, ‘fakih’ dan ‘memahami realiti semasa’


Dalam entri kali ini, sekali lagi kita ingin membicarakan tentang resolusi Kota Sarang Semut yang antara lain bercakap tentang ‘merit’ dan ke’fakih’an seseorang itu sebelum dia dilantik sebagai pemimpin tertinggi atau saf kepemimpinan parti.  Sebenarnya senarai ciri ‘pemimpin yang baik’ seperti bertaqwa, amanah dan lain-lainnya, yang perlu dimiliki oleh seseorang calon itu turut disenaraikan.  Dan senarai seperti ini juga telah bertahun-tahun diketengahkan oleh Umno.  Di samping itu resolusi juga menyentuh tentang betapa mustahaknya para saf kepimipinan ini ‘memahami realiti semasa’ di negara kita.        

Ertinya di antara kata-kata kunci penting resolusi ialah merit, fakih dan frasa kuncinya pula ialah ‘memahami realiti semasa

Apabila membaca kata-kata kunci tentang ‘merit’, ‘fakih’ dan ‘realiti semasa’ ini, kita teringatkan tiga soalan berikut:     

Soalan Pertama (S1): “Apakah bisnes kita?”

Jawapan Satu: Kita ingin dan bercita-cita supaya negara ini ditadbir mengikut kehendak dan  arahanNya sepertimana yang digariskan dalam Al-Quran dan hadis kerana itulah tugas kita sebagai seorang hamba.


Soalan Kedua (S2): “Apakah realiti yang mesti kita hadapi sebelum cita-cita itu terlaksana?”

Jawapan dua: Kita perlukan kuasa politik, kuasa untuk memerintah sebelum cita-cita ini dapat dilaksanakan sepenuhnya.


Soalan Ketiga (S3): “Apakah cita-cita untuk memperolehi kuasa politik itu sesuatu yang mungkin dalam tempoh terdekat?”

Jawapan tiga: Tidak ada kuasa yang dapat menghalang ketentuanNya.  Kun faya kun!


S4: “Saya tak punya apa-apa soalan lagi, Yang Arif!”





2.0  Bolehkah kaedah penurunan Al-Quran diterapkan dalam menjayakan ‘bisnes’ kita?


Pertama sekali kita mohon maaf kerana tidak memiliki ‘merit’ dan juga ‘kefakihan’  untuk membicarakan Al-Quran namun masih juga beria-ia mahu memetik dan ‘berhujah’ berlandaskan Al-Quran.  Oleh itu mohon dibetulkan jika di sini terdapat kesilapan ‘teokrasi’ yang amat besar.  Sebenarnya ini bukanlah ‘hujah’ tapi sekadar kefahaman biasa oleh seorang awam. 


Dalam Tafsir Al-Maraghiy, Jilid 1 (Juzuk 1 & 2), Ahmad Mustafa Al-Maraghiy (Penterjemah Muhammad Thalib): Dewan Bahasa dan Pustaka: 2001: 6 dikatakan:


“ Al-Quran al-Karim diturunkan secara berperingkat-peringkat selama 23 tahun, bersesuaian dengan peristiwa yang memerlukan ia turun bagi menyelesaikan masalah.  Sebahagian daripada ayat ini turun di Makkah sebelum Nabi Muhammad s.a.w. berhijrah, manakala sebahagian yang lain pula turun di Madinah.  Ayat-ayat Makkiyyah dan Madaniyyah ini mempunyai ciri-ciri yang tersendiri.

Ciri-ciri ayat Makkiyyah, antaranya:

1.  Ia turun untuk menerangkan dasar-dasar agama, seperti keimanan kepada Allah s.w.t., hari kiamat, kitab-kitab, dan nabi-nabi.  Di samping itu juga terdapat suruhan untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran.

2. Ungkapan yang digunakan adalah pendek dan gaya bahasanya ringkas.  Ciri-ciri tersebut jelas kelihatan dalam surah-surah al-mufassal (yang ayatnya pendek), seperti: Surah al-Haqqah, al-Waqiah dan al-Mursalat”


3.0 Soalan penutup:

Dalam menggabungkan kerjasama politik di antara PKR, DAP dan PAS dalam Pakatan Rakyat (dengan tujuan mengambilalih kuasa Umno/BN yang telahpun kehilangan merit itu) bolehkah kita melaksanakan proses penggambilalihan kuasa ini secara berperingkat-peringkat, sepertimana turunnya ayat-ayat Al-Quran itu?  

Jika jawapannya, “YA”, bagaimanakah agaknya kita mahu melakukannya. 

Jika sekiranya  jawapannya “TIDAK”, kenapakah cara berperingkat-peringkat  dan strategik (misalnya penjelasan terperinci lagi tuntas segala dasar penting PAS sebagai komponen Pakatan Rakyat, berhujah balas tentang isu-isu Melayu, Islam, Raja, ‘PAS sebagai kuda tunggangan’ dan ‘PAS yang tidak dominan dalam Pakatan Rakyat’ yang dibangkitkan oleh Umno melalui akhbarnya dalam PRU12 yang lalu) itu tidak boleh dilakukan?

Apakah ketika ini cara yang terbaik untuk PAS ialah dengan menfokus supaya PAS itu mestilah ― luar dan dalamnya ― kelihatan ulama, apa pun takrifnya tentang ‘intelektual’ agama ini?

Atau sebenarya ada agenda lain yang lebih besar yang mahu dan sedang diusahakan oleh para ‘intelektual’,  konservatif@kanan Melayu-Islam ini?



Nota kaki:

Maaf jika entri ini kelihatan sarat istilah.  Mungkin sudah terpengaruh kerana terlalu banyak nonton rancangan kartun; power rangers, transformers setelah begitu lama didodoi oleh Super Heroes. Dua tiga hari yang lalu kita telahpun memasuki zon Empowerment.  Yang untung kilang pembuat minuman penguat tenaga kuat lelaki.

Selain itu yang turut mengaut keuntungan segera berlipat ganda ialah mereka yang bisnesnya menggilap imej.  Kata kawan-kawan di Kedah, sekarang ini ramai pemimpin politik selain PAS juga muncul dengan imej baru ― berjubah dan memetik ayat-ayat Al-Quran. Kata seorang sahabat, “Aku tengok-tengok juga sapa yang terkam nak jadi imam”.

Apakah ini satu lagi versi ― versi terbaru dunia eksklusif kehidupan kita termasuk dunia politik?





No comments: