Sunday, September 22, 2013

Apakah taring teokratik itu kemestian?



PAS sebagai organisasi politik: Inikah wawasan dan modus operandi ke tampuk kuasa?


1.0 Sebuah organisasi antara lain memiliki struktur, pemimpin dan ahli.  Sebabnya mudah organisasi, hatta yang di bawah tanah sekalipun, tidak boleh wujud dalam vacuum, hampagas.  Tidak kurang pentingnya sebuah organisasi ― ibarat bahtera ― berwawasan, bercita-cita dan ada matlamatnya.  Untuk itu ia perlukan kompas@halatujunya supaya bahtera tidak terumbang ambing, tersasar dan lebih tragis karam merempuh batu karang sebelum sampai ke Pulau Idaman.  Untuk memantapkan pelayaran di antara soalan utama yang perlu dijawab oleh seluruh warga organisasi sebagai satu jemaah: Kenapakah organisasi kita wujud?


2.0 Bukankah organisasi itu wujud kerana ia berwawasan dan bercita-cita untuk mencapai sesuatu matlamat?  Lalu apakah pula ‘bisnes penting’nya PAS sehingga ia wujud sebagai sesebuah organisasi?  Soalan ini menjurus kepada hakikat bahawa sesebuah organisasi itu tidak boleh wujud kerana ‘suka-suka saja’.  Organisasi,  hatta kumpulan ‘main kutu’@arisan di kalangan suri-suri rumah pun bermatlamat.  Ini bermakna ber‘main kutu’, satu gabungan usaha kreatif kelompok manusia untuk menabung secara paksarela ― kerana menabung itu amat sukar jika tidak dipaksakan ―ialah contoh sebuah ‘organisasi’.


3.0 Untuk menjelaskan halatuju, matlamat dan wawasan maka organisasi pun antara lain mencipta kenyataan misinya,  slogannya untuk digunapakai dalam segala gerak kerja organisasi seperti pembinaan semangat, penyatuan iltizam bersama, untuk mendapatkan sokongan dan tentunya untuk tujuan propoganda.  “Wawasan 2020” ialah contoh yang pernah dipakai di zaman Mahathir sementara Pas pula mencanangkan “Negara Berkebajikan”nya serta slogan “PAS for All”.     


4.0 Apa lagi yang perlu ada pada sesebuah organisasi?  Seperti yang dijelaskan di atas tadi, sesebuah organisasi itu ada pengikutnya. Mahathir pernah berkata bahawa kumpulan paling jahat atau yang paling sesat sekali pun ada pengikutnya.  PAS sebagai parti orang baik-baik ramai pengikutnya terdiri daripada orang yang baik-baik belaka.  Apa lagi ciri-ciri atau pun atributnya para pendokongnya PAS?  Para pengikut PAS ialah mereka yang amat yakin dan percaya bahawa kehidupan manusia itu bukan hanya sekadar di dunia ini saja kerana akhirat adalah perhitungan yang muktamad.  Oleh kerana itu dalam perjuangan politik, PAS juga sentiasa mengambilkira hal-hal pahala dan dosanya.  Oleh itu orang-orang PAS,  mereka pun sering bercakap tentang dosa pahala, amar makruf nahi mungkar ― sambil membandingkan dengan UMNO yang nasionalis dan yang sekular itu.  Dan jika dibandingkan dengan PAS, parti Melayu yang namanya UMNO ini tidak begitu Islamik.   


5.0 Masa pun berlalu ― keadaan telah berubah, Umno pun semakin sasau kerana kemabukan kuasa yang amat sangat.  Rakyat kian terdera, kehidupan bertambah payah walaupun negara kaya raya khazanahnya.  Mereka yang dekat dengan kuasa, yang dikelilingi kuasa, yang di sekeliling kuasa apatah lagi yang berkuasa membolot dan menghimpun kekayaaan dengan cara dan kaedah yang begitu melucahkan sekali!  Rakyat yang terdera semakin marah, sedih, pilu, kacau jadinya.  Dalam suasana sebegini Mahathir telah menyalakan api perlawanan dengan tragedi 2 September 1998. 


6.0  Dipendekkan cerita telah lahirlah Pakatan Rakyat yang menggabungkan PAS, DAP dan sebuah parti baru PKR.  Buat pertama kalinya rakyat yang begitu rindukan perubahan yang amat sangat,  telah ditawarkan satu pilihan baru sebagai pilihan kepada Umno/BN.  Maka di Malaysia telah tertanamlah benih bertuah, sistem dua parti itu.  Dalam latar suasana inilah PAS memasuki sistem dua parti.  PAS yang mahukan negara Islam, mahu daulatkan undang-undang syariah, yang mahu berpolitik berteraskan Al-Quran dan hadis bersetuju untuk bersama-sama DAP dan PKR. Dalam muktamar-muktamar PAS, isu ini telah diperdebatkan dan diputuskan bahawa demi realpolitiknya kerjasama ini tidak dapat dielakkan lagi.  Bagi musuh politik PAS dan juga Pakatan Rakyat, inilah salah satu jarum yang paling berbisa yang boleh digunakan sepanjang masa demi untuk melumpuhkan Pakatan Rakyat.   PAS sebagai parti Islam telah menggadaikan perjuangan Islamnya.  Bagi kita inilah persoalan yang sepatutnya diteliti oleh team ulama di Kota Sarang Semut, Kedah tempoh hari.  Mereka sebagai satu kumpulan berhujah dan berdebat dan bertanya:  Bagaimana kita sebagai satu parti politik Islam telah menggadaikan perjuangan?


7.0  Berdasarkan logik mantik di atas maka nyatalah PAS itu sebuah organisasi politik walaupun ada yang kekadang bermati-matian menyatakan bahawa PAS wujud untuk berdakwah.  PAS sebagai organisasi ialah sebuah parti politik yang tentunya bercita-cita politik.  Sebagai sebuah parti politik,  bisnesnya yang paling utama ialah untuk mendapatkan mandat@kuasa supaya boleh menjadi penguasa di Malaysia.  Apabila kelak  PAS dipilih menjadi penguasa di Malaysia, maka ramai pula di kalangan pemimpinnya yang bakal dilantik ke jawatan-jawatan politik.  Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah di zaman pasca PRU12,  dilantik menjadi Menteri Besar PAS setelah PAS bersama-sama DAP dan PKR menang dalam PRU12 yang lalu itu.  Maka Negeri Kedah, negeri tanah tumpah darahku, itu pun berMenteriBesarkanlah  seorang ulama PAS Kedah.


8.0 Walaupun menikmati ‘kuasa yang agak terhad’, PAS sebenarnya berjaya.  Di Kedah dan Kelantan,  orang-orang PASlah yang telah dipilih menjadi CEOnya.  Ulama tersohor yang digeruni musuh, yang dikasihi oleh orang-orang Melayu dan yang dihormati dan digelar oleh orang-orang yang bukan Melayu, yang bukan Islam sebagai “Tok Guru kita”, dilantik sebagai CEO negeri selama lebih 20 tahun.  Lihat juga senarionya di Negeri Perak selepas keputusan PRU12 itu.  Kita telah melihat bagaimana calon dari PAS yang minoriti itu telah dilantik oleh Pakatan Rakyat sebagai CEO mereka ―  CEO yang dicop dan dicanang dengan gencar oleh musuh politik Pakatan Rakyat sebagai kuda tunggangan.  Bagi kita alangkah baiknya jika persoalan dan tuduhan kuda tunggangan ini diteliti dengan tuntas oleh team ulama di Kota Sarang Semut, Kedah tempoh hari.  Mereka sebagai satu kumpulan berhujah dan berdebat dan bertanya:  Bagaimana kita sebagai satu parti politik Islam telah menggadaikan perjuangan dengan menjadi kuda tunggangan orang lain?

9.0 Sebenarnya jika diamat-amati PAS yang katanya Islam itu juga sebenarnya tersangatlah Melayu jika dibandingkan dengan Umno dan sebenarnya terlalu jauh feudalnya jika dibandingkan dengan DAP.  DAP walaupun tidak pernah malu-malu menyatakan bahawa ia sekular, kelihatannya dan nyatanya tidaklah begitu teruja dengan ‘gelaran duniawi’.  Mungkin ini disebabkan oleh sifat dan tingkat kemarhaennya@sosialisnya yang kental sejak ia ditubuhkan.  Apakah sebarang tindakan menolak gelaran ini tidak Islamik?  Atau gelaran itu bukan ukurannya kemarhaenan manusia?  Apa kata dan apakah hujahnya orang-orang Pas?  Katanya ada yang tidak begitu gemar dengan caranya CEO PAS yang dirampas kuasanya di Perak kerana kelantangannya menuntut hak walaupun terpaksa berdepan dengan institusi Raja?


10.0  Di samping itu PAS sebagai sebuah parti politik memiliki dua produk untuk dijual kepada rakyat Malaysia, khususnya orang-orang Melayu.  Produk itu ialah Islam dan Melayu.  Pada pengmatan kita walaupun PAS itu kelihatan lebih unggul dengan war-war produk Islamnya, ia sangat takut jika jualan ‘Melayu’nya ditolak@tidak laku.   


11.0  Demi menjaga Melayunya dan Islamnya, PAS sentiasa terjepit dan disepit.  PAS tidak pernah berkata secara tuntas bahawa produk Islamnya adalah segala-galanya?  Pernahkah ia katakan begitu?  Apakah PAS pernah berkata bahawa biar apa pun yang terjadi,  bagi PAS Islamlah yang sentiasa di depan? Jika kita pinjam hujahnya (Malay first, Malaysian second oleh TPM), apakah PAS pernah berkata bahawa Islam itu paling depan, dan Melayunya kemudian. Salah satu sosok yang sering dan selalu menyatakan bahawa Islamlah segala-galanya ialah TGNA. Hatta PM itu boleh orang yang bukan Melayu asalkan seorang Muslim itu diulangnya berkali-kali.  Adakah PAS ―sebagai satu jemaah ― berpendapat demikian? 


12.0  Inilah senjata yang sentiasa digunakan oleh musuh bebuyutnya PAS ― Umno dalam menyerang PAS.  Dan oleh kerana PAS itu juga sangat Melayu (sama seperti UMNO), maka itulah medan pertempuran kedua-dua parti Melayu ini.


13.0  Soalan lain, yang lebih wajar ialah akhirnya apakah pilihan PAS sebenarnya?  Apakah PAS kira ia akan musnah dan hancur lebur jika ia tidak mengutamakan@mendahulukan Melayu? (Malay first?).  Apakah ‘Islam saja’ belum memadai untuk membawa kesejahteraan kepada seluruh rakyat termasuk orang-orang Melayu kerana realpolitiknya kita di Malaysia ini Islam saja tidak mencukupi?  Bagi kita inilah persoalan yang sepatutnya diteliti oleh team ulama di Kota Sarang Semut, Kedah tempoh hari dan bukannya berselindung di sebalik pelbagai terminologi Arab atau keArab-Araban untuk menyatakan bahawa walau apa pun,  satu kelompok itulah yang utama dan oleh kerana itu semestinya sentiasa di depan. Tidakkah segala perlakuan ini membuat segala kawan dan juga rakan baik di dalam parti maupun di luar parti menjadi gerun lagi bimbang.  Kenapakah taring teokrasinya kelihatan semakin tajam?  Inikah wajah Islam itu?

Wallahuaklam. 



No comments: