Menikmati cerpen “Mencari Tuhan” Azizi Abdullah
Demikianlah jauh dan mendalamnya unjuran jangkauan imaginasi dan pemikiran manusia itu. Dia menyelongkar seluruh dan segala ceruk relung yang membakar jiwa raganya. Dia menjadi pemberani tanpa memikirkan hal-hal lain kecuali membuktikan bahawa apa yang difikirkan dan yang dicarinya sememangnya ‘betul’. Begitulah gigihnya tingkah manusia yang sangat rajin mengetuk pintu-pintu sejarah.
Lihatlah bagaimana Newton yang ditimpa epal tidak pernah merasakan bahawa itu hanyalah satu peristiwa biasa yang sia-sia. Columbus percaya bahawa di seberang sana, masih ada dunia lain yang mesti dijelajahi. Wright Brothers yakin manusia juga mampu menjadi seperti burung. Tatkala Singapura dilanggar todak, Hang Nadim tidak pernah berfikir bahawa idea dan inovasinya menyebabkan dirinya pendek umur. Penyakit tidak begitu gemarkan manusia yang panjang akal itu tidak terhenti di zaman kuno, pada abad-abad yang lampau saja. Rupa-rupanya sehingga ke saat ini, yang berkudrat lebih gemar memelihara manusia yang pendek-pendek akalnya.
Dahulu kala para penulis tanpa nama tidak pernah menegur secara ‘blak-blakan’ bahawa tindakan-tindakan pembesar yang salah dan berteraskan kudrat biasanya tidak mampu membuahkan sebarang kebaikan. Dalam terang orang mungkin kelihatan patuh, namun di dalam gelap mereka tidak pernah taat. Ramai yang merunduk tapi tidak pernah sedikit pun terdetik rasa hormatnya. Anak yang kecil sekalipun memprotes jika terlalu dipaksa-paksa.
Ya, jika telah sampai pada titik tumpahnya, tipping pointnya anak yang kecil juga akan memprotes jika terlalu sering dipaksa-paksa. Bagi saya itulah salah satu ikhtibar besar yang mahu disuguh Azizi Abdullah dalam “Mencari Tuhan”. Jika para panglima perang turun ke medan perang lengkap dengan segala senjata dan peralatan perangnya, maka demikianlah juga tingkahnya para panglima agama kita. Maka bertaburanlah segala huraian dengan pelbagai istilah@jargon: Muktazilah, Jabariah, Wahabi dan uluhiyah dll. Itulah kaedah berhujah dan memperkasakan wibawa. Katakanlah segala tamsil dan ibarat, hujah-bidasan tidak lagi mampu menumbangkan musuh, para panglima agama kita telah kehilangan tempat untuk berlindung dan sembunyikan diri. Pak Mat Siak yang pekaknya kronik di sebelah kanan, mungkin tidak pedulikan semua ini. Apakah mungkin para panglima agama bersikap demikian? Panglima, sesuai dengan taraf kepanglimaannya tidak mungkin membiarkan semua ini berlaku. Tidak mungkin. Kuku yang ada perlu dimanfaatkan.
Sang Wahabi yang “kurus melengking macam tempinis dalam paya, kulitnya hitam. Kalau pakai jubah putih, serban putih ketayap merah, nampak macam Sudan cari bini hilang. Linglong sana, linglong sini.” Bukan itu saja, sang Wahabi yang “tidak membaca doa qunut, belajar bermain biola dengan anak murid penyanyi Abdul Wahab, berani pula “ingin mengajak jemaah berbincang, bukan tunduk mendengar bacaan kitab. Dia tidak mahu masyarakatnya mentahqikkan kewujudan Tuhan dengan akta dan seksyen.”
(Hah..Azizi bukanlah Azizi namanya jika tidak ada cop-cop karya seperti di atas. Saya jadi teringat akan seorang teman Sudan yang sangat berani, istiqomah dalam perjuangan. Where are you Brother Salahuddin?)
Lalu apakah kesudahannya pada ‘kesesatan’ Wahabi yang nyata ini?
Apakah telah merajuk, marah atau sakit hati yang amat sangat Sang Wahabi ini tatkala dia lari kepada alam semesta bersama-sama biolanya? Ketika menggesek biolanya di belakang masjid, dia hanya terdengar gesekan mencemuhnya sebagai Wahabi. Nah, masjid bukan lagi tempat yang sesuai untuknya mencari Tuhannya. Ya, jika dia masih mahu mencari Tuhan bersama biolanya. Baginya alam semesta lebih simpati dan mengerti. Baginya alam semesta yang kaya dengan pelbagai nota muzik tanda yang sedikit tentang kebesaran dan keagungan Tuhannya, jauh lebih prihatin dan mengerti. Muzik yang terlalu kecil itu adalah manifestasi keagungan itu. Segalanya begitu merdu...hatta layah daun yang gugur menyembah bumi jua adalah muzik.
Apakah muzik itu semestinya melalaikan sehinggakan nyanyian dedaunan, ‘kecipak daun-daun dari dahan dan ranting pokok banir...’ itu telah kehilangan maknanya?
(Sesungguhnya bagi saya betapa nikmatnya membaca lukisan yang ditukangi Azizi ini. Ah, alam dan muzik.)
Pada saya masih terngiang-ngiang terjahan soalan Azizi seperti: Klausa apa dan akta mana yang mahu digunakan untuk menghukum penyebab dan penyebar fahaman yang melalaikan ini?
Katakanlah dari sudut kaedah pemikirannya semua panglima agama kita adalah sehebat Newton misalnya, apakah masih begini keadaan ummah kita hari ini? Kita merasakan sekiranya itu sudah berlaku, segala dan pelbagai masalah nikah cerai yang sangat asas telah lama kita atasi. Apakah kita tidak perlukan Hang Nadim yang cerdik dan inovatif dalam menmanfaatkan dengan berkesan segala harta wakaf dan zakat kita?
Sesungguhnya persoalan agama yang kita hadapi ini jauh lebih besar daripada tragedi mengheret kepala lembu dan perlumbaan merebut mayat. Sebagai sasterawan Azizi Abdullah, sesuai dengan latar ilmunya, telah menerokai relung dan daerah baru yang mungkin kekadang dilihat terlarang@taboo. Dalam ‘Sangeetha’ misalnya Derus telah ‘mengIslamkan’ Viralal di saat-saat pemergiannya. Apakah Sang Wahabi mahu membuka pintu sejarah agama yang lebih radikal bahawa semua para panglima agama mestilah mampu melihat realiti semasa: Bahawa persoalan kita, ummah hari ini jauh lebih besar, ruwet@kompleks, mencabar daripada doa qunut. Ada contohnya? Ada pasangan yang begitu letih dalam urusan nikah cerai sehingga mahu melakukan hal-hal yang sangat merunsingkan. Kita masih mahu bercakap tentang klausa dan akta?
Apakah di abad ke 21 ini kita masih perlukan para panglima dalam mentadbir segala urusan negara ini? Termasuk agama?
Wallahuaklam.
No comments:
Post a Comment