Friday, January 30, 2015

Kenyataan Media BERTINDAK





30hb Januari 2015

Kenyataan Media Majlis Tindakan Kuala Lumpur, BERTINDAK

1.0 Sejarah pilihan raya Kerajaan Tempatan

Kita tahu bahawa Ordinan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1950 pada zaman penjajahan telah memberikan kuasa kepada majlis-majlis tempatan untuk menganjurkan pilihan raya. Sementara Ordinan Kerajaan Tempatan 1952 pula memberikan kuasa kepada para penduduk tempatan membentuk majlis tempatan masing-masing. Pada penghujung era penjajahan British, terdapat sejumlah 289 majlis tempatan di Tanah Melayu. Selepas kemerdekaan dalam tahun 1957, kuasa mentadbir kerajaan tempatan diletak di bawah senarai kerajaan negeri.

Malangnya hak untuk memilih para wakil untuk mentadbir kerajaan tempatan ini telah hilang apabila penggantungan pilihan raya kerajaan tempatan dikuatkuasakan.  Penggantungan ini dilakukan melalui dua peraturan, iaitu Peraturan Kecemasan (Penggantungan Pilihan raya Kerajaan Tempatan) 1965 dan pindaannya pada tahun yang sama. Sejak itu, kerajaan tempatan di Malaysia tidak lagi melaksanakan pilihan raya. 

Ini bermakna sudah lebih 65 tahun warga ibu kota Kuala Lumpur dicabut hak,  dimatikan suaranya untuk memilih para wakilnya sendiri untuk mentadbir ibu kota mereka sendiri. Sesungguhnya, ini adalah suatu tragedi kematian demokrasi yang amat tragis.

2.0 Kesan penggantungan pilihan raya kerajaan tempatan

Kita ulangi sejak kerajaan Perikatan, diikuti pula dengan kerajaan Barisan Nasional, BN, menggantung pilihan raya kerajaan tempatan, para penduduk ibu kota Kuala Lumpur pun dinafikan haknya untuk memilih Datuk Bandar sendiri.  Sesungguhnya lilin demokrasi Kuala Lumpur telahpun BN padamkan lebih 65 tahun yang lalu.  

Salah satu akibat penafian hak pilihan raya ini ialah hilangnya peranan semak dan imbang (check and balance) rakyat terhadap pentadbiran pembangunan dan hal-hal yang berkaitan dengannya oleh pihak Datuk Bandar Kuala Lumpur. Apa yang kita hadapi selama ini ialah pentadbiran dan perancangan “pembangunan” Bandar Raya Kuala Lumpur yang sehala, mendera rakyat kecil dan kerap kali sangat tidak bertimbang rasa. 


Pendek kata kita dapat melihat betapa berleluasa dan bermaharajalelanya pendekatan dan kaedah pentadbiran bahwa kerajaanlah serba tahu apakah yang terbaik untuk Kuala Lumpur. Bagi BERTINDAK ini adalah satu “pentadbiran membuli rakyat”.

Salah satu contoh isu yang menjadi tanda tanya kepada penduduk ibu kota ialah perihal pengurusan, agihan peruntukan@bajet Kuala Lumpur selama ini.  Misalnya dalam tahun 2015 peruntukan yang diperolehi oleh Bandar Raya Kuala Lumpur ialah sebesar RM 2,440 juta (Ringgit Malaysia: dua ribu empat ratus empat puluh juta). Ini adalah satu angka yang cukup besar iaitu yang ketiga terbesar dalam negara. Malah Negeri Selangor yang dikatakan terkaya itu pun lebih rendah peruntukannya, iaitu sebesar RM 2, 420 juta saja. Persoalannya: Bagaimanakah wang yang begitu besar ini dibelanjakan? Apakah warga Kuala Lumpur tidak berhak mengetahuinya sedangkan mereka adalah pembayar cukai?  

3.0 Kuala Lumpur perlu dikembalikan haknya untuk memilih Datuk Bandarnya sendiri

Sudah tiba masanya kami menuntut warga Kuala Lumpur diberikan hak untuk memilih wakil-wakil mereka bagi mentadbir Bandaraya Kuala Lumpur. Untuk merealisasikan hasrat ini, maka kami menunutut Pilihanraya Tempatan bagi Bandaraya Kuala Lumpur hendaklah dilaksanakan.

Sesungguhnya BERTINDAK berpendapat bahawa hanya Datuk Bandar yang dipilih oleh penduduk Kuala Lumpur sahaja yang akan bertanggungjawab sepenuhnya kepada warganya.

Kami menyeru agar seluruh warga kota Kuala Lumpur bersatu supaya hasrat ini  terlaksana. Marilah kita, warga Kuala Lumpur bersatu di bawah “Majlis Tindakan Kuala Lumpur”, “BERTINDAK”. 

Kami juga menuntut agar prinsip-prinsip berikut ditegakkan:

i) Pilihan raya yang bebas dan adil
ii) Pentadbiran kerajaan yang telus dan bertanggungjawab
iii) Penglibatan dan rundingan dengan para warga Kuala Lumpur

Sekian, terima kasih.

ISHAK SURIN
Pengerusi BERTINDAK.


 

No comments: