Tuesday, February 3, 2015

SATU laki lima bini





Satu laki, lima bini


Ramai yang gagal memahami konteks untuk memahami isu yang dihadapinya.  Jika ini berlaku kepada orang-orang biasa, kita dapat mengerti.  Mungkin dalam kalangan orang-orang biasa, ramai yang tidak begitu berminat untuk mengikuti sesuatu isu yang sedang hangat dibicarakan.  Tapi jika para pemimpin politik negara tidak mampu melihat konteks sesuatu isu panas dibincangkan,  maka tentu ada sesuatu yang sangat tidak kena.

Kita ambil satu contoh.  Sepatutnya isu pilihan raya untuk PBT itu adalah sesuatu yang paling asas kerana ia menyentuh persoalan demokrasi.  Oleh kerana kita telah sekian lama menerima demokrasi sebagai satu sistem pemerintahan, logiknya kita tidak ‘bergaduh’ dalam isu pilihan raya untuk PBT.  Nyatanya tidak.  Rupa-rupanya kita masih belum sepakat dalam isu pilihan raya PBT.  Saya tidak tahu orang lain, tapi saya amat terkejut.  Lebih mengejutkan lagi,  ia dikaitkan dengan isu perkauman. 


2.0  Jangan tembak sebelum menyemak rumusnya


Agaknya apakah yang TIDAK begitu kena dengan kefahaman ahli-ahli politik kita dalam menanggapi sesuatu isu itu?  Kita pun teringat kepada ilmu karang mengarang yang Cikgu ajar dulu ― kata Cikgu, untuk menanggapi sesuatu persoalan itu, kembalikan kepada perkara yang paling asas.  Mulai dengan rumus dan kaedah 5W + 1H.  Carilah jawapan dengan bertanya sepuas-puasnya berdasarkan rumus ini.     


“Who, when, what and where’, kata penulis Jeffrey Scheuer ialah “ is about collecting the dots.  The why is about “connecting the dots.”


Sementara itu seorang profesor kewartawanan,  Samuel Freedman pula menjelaskan betapa pentingya konteks sesuatu persoalan itu dihayati dan difahami.  Beliau berpendapat bahawa kefahaman konteks menceritakan bagaimana (how) sesuatu peristiwa semasa itu terjalin, larut dan mengalir ke dalam peristiwa politik, budaya atau pun sejarah.  Ertinya kefahaman yang mendalam tentang konteks menjadi kunci yang membuka luas pintu kefahaman sesuatu isu atau pun masalah.


Tuan mungkin bertanya: apa yang mahu saudara sampaikan?  Mungkin ini: Bahawa orang-orang politik wajar mengamalkan perdekatan bertanya dalam kepalanya terlebih dahulu, sebelum membuka mulutnya.  Ini dapat dilakukan dengan mengamalkan rumus dan kaedah 5W + 1H (Satu laki,  lima orang bini) sebelum membuka mulut.  Sang suami yang satu (1H) itu wajar lebih kerap bertanya tentang bagaimana (the how) sebelum memuntahkan pelurunya.



No comments: