Opinion
Pemimpin PAS cari jalan
selamatkan diri?
Dinsman
Yang dibicarakan dalam majlis pendedahan Harakah malam 28 Januari itu
bukanlah mengapa 3 wartawan kanan Harakah diberhentikan, tetapi yang
dipersoalkan sebenarnya ialah “keislaman” pengurusan akhbar itu dan juga
kepemimpinan parti PAS itu sendiri.
Itulah rumusan saya setelah mengikuti majlis yang berlangsung di laman
Madrasah Tarbiyah (Jalan Gombak, Kuala Lumpur) selama kira-kira 3 jam, bermula
selepas Isyak.
Cikgu Ishak Surin Yang di-Pertua PAS Kawasan Batu membuat pendedahan
tersebut, berpandukan soalan-soalan panas yang diterjah 2 orang aktivis Seniman
Paksi Rakyat, iaitu Kaki Sakat dan Tun Teja.
Hadir juga ialah Datuk Tarmizi Mohd Jam, salah seorang wartawan kanan yang
diberhentikan.
Sebelum majlis itu berakhir, Tarmizi bangun menjelaskan perkara yang
berlaku di Harakah berdasarkan pengalaman dan pengamatannya sendiri. Dan dia
juga mempersoalkan “keislaman” cara pengurusan akhbar itu dijalankan.
Terutama dalam hal melayani para wartawannya, yang tidak dibenarkan
menubuhkan kesatuan sekerja, dan tidak diserapkan menjadi pekerja tetap
walaupun bertahun-tahun berkhidmat dan disahkan jawatan sebagai pengarang pun.
Sebabnya? “Supaya mudah diberhentikan bila-bila masa sahaja apabila
dikehendaki,” kata Tarmizi. Tarmizi sendiri diberhentikan dengan serta-merta,
tanpa sebarang notis.
Alasan diberikan: kerana tamat kontrak. Padahal sebab sebenarnya ialah
kerana dia tidak bersetuju dengan pimpinan yang sedang berusaha untuk bergabung
dengan Umno.
Dan golongan yang dikenali dengan panggilan UG (Unity Government)
itulah yang sedang mencengkam akhbar Harakah sekarang.
Cikgu Ishak Surin memang sejak awal lagi mempersoalkan “keislaman”
pengurusan Harakah di bawah kekuasaan Datuk Mustafa Ali.
Pada malam itu, dia membuat penjelasan secara terperinci bagaimana akhbar
Harakah itu dimulakan penerbitannya sejak 1987, dan perkembangan selanjutnya
hinggalah ke situasinya hari ini. “Dulu kami mengendalikan Harakah itu secara
jemaah,” katanya.
Dan dia berhenti dan diberhentikan apabila pengurusan Harakah mulai
bertukar kepada cara yang bukan cara jemaah.
Cara jema’ah maksudnya ialah cara kerja berkumpulan yang saling membantu
dan berkongsi kerja dan rezeki demi mencapai matlamat perjuangan, iaitu
menerbitkan akhbar atau majalah bagi menyebarkan berita, idea dan perjuangan
parti.
Dan kumpulan yang dimaksudkan pada masa itu ialah kumpulan kecil yang
terdiri hanya 4-6 orang sahaja, manakala dana yang terlibat juga masih kecil
jumlahnya, sekitar bawah RM50 ribu.
Walaupun Ishak Surin percaya cara kerja jemaah itu cara kerja yang mengikut
syariah, namun itu bukanlah satu-satunya cara pengurusan yang sesuai syariah
(Islamik).
Asalkan ia mengikut akhlak yang diajar oleh Rasulullah dan tidak menganiaya
atau menzalimi sesiapa, maka itu dikira sebagai pengurusan yang sesuai syariah.
Pengurusan Harakah yang di bawah penguasaan Mustafa Ali sebagai Pengerusi
Lembanga Pengarahnya sejak sekian lama itu, dikatakan melakukan pembaziran,
zalim dan menganiaya pekerja. Beberapa contoh buktinya telah diperkatakan pada
malam itu.
Tidak perlulah saya menyebutkan contoh-contoh buktinya itu lagi di sini,
kerana bukannya tujuan tulisan ini pun untuk membuktikan perkara itu.
Seperti disebut di atas, saya merumuskan yang dibicarakan pada malam 28
Januari itu ialah ‘keislaman’ pengurusan akhbar Harakah dan juga kepimpinan
parti PAS.
Ishak Surin juga menekankan kepemimpinan Islam ialah kepimpinan yang tidak
menolak teguran dan kritikan.
Contoh-contoh buktinya banyak boleh dilihat dalam sirah Rasulullah dan juga
Khalifah Abu Bakar dan Umar al-Khattab.
Dan saya melihat faktor ini adalah sangat penting dalam permasalahan yang
sedang dihadapi oleh PAS hari ini.
Sejak tercetusnya kemelut kepimpinan yang dikatakan bermula apabila
segelintir pemimpin cuba mempengaruhi Presiden agar membawa PAS untuk membentuk
kerajaan perpaduan dengan Umno itu (UG), kita dapati akhlak pemimpin yang rela
dirinya ditegur itu mula berganti dengan akhlak yang pantang ditegur.
Istilah “walak” (yakni taat kepada pemimpin yang ulamak) sentiasa
kedengaran dijaja merata-rata. Ahli-ahli di bawah dikehendaki supaya ‘walak’ –
yang seolah-olah pintu untuk teguran dan kritikan ditutup rapat.
Ahli-ahli dan pemimpin peringkat bawah menjadi takut untuk mempunyai dan
menyatakan pandangan berbeza, apatah lagi apabila hal itu diiringi pula dengan
Hadis Nabi bahawa “ulama waris kepada para Nabi”.
Saya bincangkan hal para ulamak dalam PAS yang kehilangan keyakinan diri
lalu mengambil kaedah Umno untuk berkempen bagi menyingkirkan pemimpin yang
bukan ulama, dalam tulisan sebelum ini.
Adapun yang hendak saya timbulkan di sini ialah sejenis lagi kempen yang
dibina di kalangan ahli-ahli hingga ‘walak’ itupun menjadi suatu budaya yang
sebati dengan konsep dan dasar “kepemimpinan ulama”.
Paling ketara ialah contoh kepemimpinan gaya Ustaz Azizan yang gemar
memperleceh orang yang berkecenderungan untuk menegur atau mengkritik dia,
hingga dia pun menjadi terkenal sebagai pemimpin yang “pantang dikritik”.
Rupa-rupanya gaya kepemimpinan yang pantang dikritik itu mendapat dokongan
pula daripada pihak Presiden dan Setiausaha Agung.
Saya memang tidak faham bagaimana perkara itu boleh menjadi budaya dalam
kepemim-pinan PAS. Ketika mengkaji kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz dan Ustaz
Fadzil Noor saya tidak menemui akhlak yang sedemikian.
Dan saya terus kehairanan melihat para pemimpin PAS peringkat pusat pun
sekarang kebanyakannya menunjukkan sikap yang seperti serbasalah untuk menyatakan
pendirian. Jelas kelihatan sikap yang bimbang kalau-kalau mereka tersalah
menyatakan pendirian.
Apakah mereka sekarang masing-masing sedang mencari jalan selamat untuk
diri?
Ke manakah perginya keberanian seorang pemimpin? Ke manakah perginya keyakinan
diri seorang pemimpin ummah? Ke manakah perginya sikap ikhlas dan memihak
kebenaran yang harus ada pada pemimpin Islam? Atau apakah kepemimpinan PAS hari
ini telah kehilangan matlamat perjuangan disebabkan oleh hadirnya kepentingan
diri?
Memang persoalan akhir ini tidak ada dalam pendedahan yang dibuat oleh
Cikgu Ishak Surin pada 28 Januari itu. Tetapi persoalan inilah yang mengambil
tempat dalam fikiran saya sejak hari itu hingga hari berikutnya.
Bukan sahaja berdasarkan apa yang diucapkan oleh Ishak Surin, tetapi juga
berdasarkan respon dan reaksi yang ditunjukkan, secara sedar dan tidak sedar,
dan secara langsung dan tidak langsung, oleh ahli-ahli biasa PAS dan juga
pimpinan pelbagai peringkat, berikutan penglibatan saya dalam majlis pendedahan
Ishak Surin itu.
Maka saya pun menghantar mesej kepada beberapa orang kawan yang
berkedudukan di dalam paarti itu, begini: “Sekarang makin terserlah ramai
pemimpin PAS yang lebih mengutamakan kepentingan politik diri sendiri daripada
kepentingan Islam.”
Dan walau apapun, saya bersyukur masih ada seorang pemimpin Islam yang
seperti Cikgu Ishak Surin, yang tetap berani menyatakan sikap dan
perjuangannya, walaupun pelbagai kemungkinan risiko menanti di depan.
Dan saya masih menunggu sambil mencari-cari kiranya ada seorang lagi
pemimpin PAS yang seberani dan ikhlas seperti Cikgu Ishak Surin! – 4 Februari,
2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak
semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
No comments:
Post a Comment