http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/tinggalkan-pakatan-kalau-tak-hadir-mesyuarat-kata-pak-samad-kepada-hadi
Tinggalkan Pakatan kalau tak
hadir mesyuarat, kata Pak Samad kepada Hadi
Oleh: Hasbullah Awang Chik
Published: 7 February 2015 3:01 PM
Sasterawan Negara Datuk A Samad Said berkata Presiden PAS Datuk Seri Abdul
Hadi Awang tidak patut berkata mengikut suka beliau menghadiri mesyuarat
sedangkan menghadiri mesyuarat tanggungjawab seorang pemimpin.
The Malaysian Insider, 7 Februari, 2015.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi
Awang perlu meninggalkan Pakatan Rakyat (PR) jika enggan menghadiri mesyuarat
gabungan tersebut esok, kata Datuk A Samad Said.
Sasterawan negara yang mesra dengan panggilan Pak Samad itu berkata, Hadi
perlu serius memberikan komitmen dalam PR kerana itu merupakan tanggungjawab
pemimpin.
“Kamu mahu bergabung tetapi tak nak hadir. Apakah ertinya gabungan itu?
Mesti ada rasa rendah diri dan sedikit rasa tolak ansur,” kata Samad kepada The
Malaysian Insider dalam satu wawancara di Kuala Lumpur hari ini.
“Kalau tidak mahu ikut, jangan masuk. Duduk di luar saja. Saya fikir
kadang-kadang pemimpin ini bermain di celah-celah akhbar. Dengan begitu, dia
rasa agak terapung kuasanya.
“Yang jadi masalah Hadi sahaja. Hadi kata ‘jangan dipaksa saya hadir’. Itu
bukan paksa, itu tanggungjawab.”
Hadi berkata malam tadi Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng tidak berhak
menentukan sama ada beliau perlu hadir atau tidak ke mesyuarat Majlis Pimpinan
PR yang dijadualkan esok.
Menjawab persoalan yang ditimbulkan pimpinan DAP, selaras dengan resolusi
Jawatankuasa Eksekutif Pusatnya (CEC) Selasa lepas yang mengatakan pemimpin DAP
hanya akan menghadiri mesyuarat jika ia dihadiri wakil PAS, Hadi mengatakan dia
tidak terikat dengan sesiapa.
"Dia (Lim) tidak berhak menentukan saya hadir atau tidak hadir.
Terpulang kepada saya hadir ke, tidak hadir. Saya bukan anak murid sekolah,
kita tengok dululah.
“Tengok hari mesyuarat inilah, saya hadir ke tidak hadir. Saya tidak
bergantung dengan sesiapa saya nak hadir,” katanya.
Samad berkata Hadi menjadi penghalang kepada hubungan dalam PR, sekali gus
merencatkan potensi pemimpin berpotensi dalam PAS.
Katanya, sekiranya Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar dipenjarakan, maka
kemungkinan besar parti dalam PR akan berpecah.
“Masuk politik perlu memikirkan nasib bangsa yang harus dibaiki. Itu tugas
mereka. Bukan untuk memperkekalkan diri kita dalam satu pergolakan kuasa.
“Saya bayangkan PR akan pecah. Lebih-lebih lagi kalau Anwar dipenjarakan.
Tidak mustahil PAS akan ada anak gantinya. PasMa boleh menyelamatkan dengan
bergabung bersama PKR dan DAP. PAS sendiri akan pecah dua.
“Pasma boleh besar. Ia bukan dikira ramai orangnya tetapi mutu orang yang
tahu apa yang diinginkan Malaysia dan orang yang mahu asas gabungan ini tumbuh
dengan sihat,” katanya merujuk kepada kumpulan pro PR yang lahir daripada PAS
Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia.
Bekas pengerusi bersama Bersih 2.0 itu turut melihat kepimpinan Anwar masih
relevan walaupun tidak berupaya mendamaikan pergolakan di antara PAS dan DAP.
Katanya, kredibiliti Anwar dapat dilihat apabila ketua umum PKR itu masih
relevan dalam arena politik walaupun berdepan dengan pelbagai tekanan luar.
“Usia sebenarnya hikmah. Tidak bererti orang tua yang melalui pengalaman
yang begitu perit sejak umur 20-an boleh diketepikan saja begitu. Itu andaian
bagi orang yang tidak mahu Anwar berada dalam lingkungan kuasa.
“Kehadiran Anwar lebih penting kerana sudah menghimpun semua pengalaman.
Dia tahu bagaimana individu itu kaya. Orang begini boleh membetulkan.
“Saya tidak nafi memang ada orang gelojoh. Anwar watak konsisten. Ini watak
yang benar-benar setia apa yang diperjuangkan dan mengetahui apa yang dilakukan
kalau dia berkuasa,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Selasa ini, Anwar akan berada di dalam kandang Mahkamah Persekutuan
menantikan keputusan rayuan liwatnya yang berlarutan sejak 10 tahun lalu.
Pada September 2004, keputusan majoriti 2-1 mahkamah membebaskan beliau dan
adik angkatnya Sukma Darmawan Sasmitaat Madja daripada tuduhan melakukan
hubungan seks luar tabii bersama Azizan Abu Bakar yang merupakan pemandu Datuk
Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, isteri kepada Anwar.
Dalam kes liwat keduanya, Mahkamah Rayuan tahun lalu menjatuhkan hukuman
terhadap ahli Parlimen Permatang Pauh itu kerana melakukan salah laku seksual
terhadap bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, di sebuah unit
kondominium di Desa Damansara, di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 26 Jun
2008.
Pada 2012, hakim perbicaraan, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membebaskan
Anwar atas alasan integriti sampel diragui.
Bagaimanapun, Zabidin menerima Saiful sebagai saksi berkredibiliti. Keputusan
Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari ini akan menentukan sama ada testimoni
Saiful mampu membalas ruang-ruang kosong dalam hujah pasukan pembelaan Anwar. –
7 Februari, 2015.
No comments:
Post a Comment