Monday, December 28, 2009
Mengutip pesan bistari
Sepanjang perjalanan hidup ini, tentunya ada saja pesan-pesan bistari, tunjuk dan ajar, contoh-teladan yang kita temui, yang dapat kita kutip untuk dijadikan panduan. Amat bertuah kita, mewarisi rumah tamadun bangsa yang tertegak di atas tapak timbunan kebijaksanaan lampau. Kita merasai sezarah khazanah yang tidak ternilai ini lewat, misalnya pepatah petitih, tamsil dan bidalan yang rata-rata sarat tersirat maknanya. Atau kita dapat belajar melihat bagaimana misalnya seorang seniwan meneliti sesebuah karya yang besar.
Tatkala malam masih muda, 27 Disember 2009 di sebuah restoran di KL Sentral kami pun berpeluang mendengar bahawa “Dr. Zhivago” Boris Pasternak itu diulang bacanya setiap tahun baik dalam versi Inggeris dan juga Melayunya. Katanya, karya penulis besar Rusia ini menjadi latar pergelutan hebat sebuah bangsa. Sesungguhnya ‘Dr Zhivago’ mengendong bersamanya zaman sarat sejarah. Bahagian pertamanya meliputi tempoh 1901 dan 1903. Bahagian terakhir memasuki musim bunga 1943. Sesungguhnya dalam seluruh jalur waktu itu, terpacak pelbagai peristiwa besar bangsa: Revolusi pertama Rusia, kejatuhan Tsar Nicholas II, Perang Dunia Pertama, Perang Saudara dan tertubuhnya Kesatuan Republik Sosialis Rusia. Membaca “Dr. Zhivago” bermakna kita sama-sama mengharungi sungai sejarah sebuah bangsa.
Kami sering mendengar ceritanya, kenapa karya Boris ini diulang baca dalam pelbagai bahasa. Apakah kita tidak mahu mendengar bagaimana kita sepatutnya menikmati sesebuah karya yang besar dari seorang seniwan besar tanah air?
Kalau tidak ada aral melintang, teman-teman ‘Budayawan Bertindak’ bakal membawa kisah pengamatan seni yang unik ini dalam tahun 2010, Insyallah.
Jangan lupa, amat-amatilahi saatnya...
Labels:
sastera
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment