Dinsman (Artikel 129, 4/1)
Sebuah Aset bernama Annual Bakri Haron
Kali terakhir saya bertemu dia di Kota Bharu, beberapa hari sebelum tersebarnya berita yang Tok Guru Nik Abdul Aziz akan menggugurkan dia dari jawatan Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, saya samasekali tidak menduga yang peristiwa itu akan berlaku secepat kilat.
Memang dalam pertemuan itu dia ada menceritakan suatu kisah yang agak mendebarkan dada, seperti terkilas ikan di air dia pun seperti terbaca tanda-tanda ke arah itu, kendatipun tidaklah dijangka bahawa sang taufan sekencang itu ‘mempelantingkan’ dia.
Maka pada hari yang dijangka TG Nik Abdul Aziz akan membuat pengumuman penting itu, paginya, sebagai seorang sahabat saya menghantar satu pesanan rengkas kepadanya: “Tetap percaya, bahawa Allah-maha-bijaksana mempunyai hikmah-Nya dalam setiap kejadian yang dijadikan-Nya. Hanya kita manusia kadang-kadang alpa akan hakikat itu. Jangan alpa! Insya Allah kita muncul pemenang.”
Kiri sahabat, kanan pun sahabat. Maka demikianlah saya tergerak hati untuk bermadah; dan dia pun menyambutnya dengan jawapan yang menyedapkan hati. Tak perlulah saya mendedahkan jawapannya itu. Cukup buat tatapan saya sahaja.
Dan demikianlah berakhirnya sebuah karier yang terlibat langsung dengan politik atau orang politik. Hari ini mereka kelihatan tersangat intim dan secocok, esok boleh saja terjadi yang mereka tidak lagi sesuai untuk bersama, dan perlu berpisah. Memang politik itu demikian. Apakan daya kita menghalangnya. Sekadar menjadi pemerhati yang pedih. Dan kehidupan terus bergerak dan meluncur laju ke hadapan, tidak menunggu sesiapa pun.
Entah mengapa – Tok Guru Nik Abdul Aziz dan Annual Bakri Haron seperti dua insan istimewa dalam hati saya. Walaupun sudah dibayangkan sendiri oleh Annual Bakri sebelum orang ramai bercakap mengenainya, saya masih terkejut dan termangu apabila berita pengumuman rasmi itu sampai ke pengetahuan. Bukan kerana tidak dapat menerima hakikat, tetapi kerana bimbangkan implikasi berikutannya.
Tak mengapalah. Jangan dilayan kebimbangan itu. Saya teringat kepada pesan yang saya hantarkan kepadanya itu – “Tetap percaya, bahawa Allah-maha-bijaksana mempunyai hikmah-Nya dalam setiap kejadian yang dijadikan-Nya.”
Sehari selepas itu, lewat malam, saya menghantar sebuah lagi pesanan rengkas: “Saya fikir orang menunggu-nunggu kalau sdr akan menghasilkan sebuah buku menceritakan pengalaman peribadi sdr selama bekerja dengan TGNA. Sayalah orang yang berdiri paling depan untuk membeli buku sdr itu. Dan saya tak mengharapkan tulisan itu negatif terhadap TGNA. Kebijaksanaan Anbakri akan meletakkan yang benar itu di tempatnya. Insya Allah.”
Barangkali itu adalah harapan, yang saya nyatakan kepadanya. Memang saya sangat menghargai apa-apa yang telah dilakukan oleh Nik Aziz sebagai ketua pentadbir sebuah negeri yang saya anggap sebagai model pentadbiran sebuah ‘negara Islam’. Makanya saya pernah menulis (dalam kolum ini) mengenai perlunya pentadbiran Nik Aziz itu dianalisa dan direkodkan dalam tulisan yang melihatnya dari sudut teori umum Pentadbiran dan Pembangunan Negara.
Annual Bakri (atau nama penanya Anbakri) sebagai seorang penulis dan pemikir yang meminati seni dan falsafah (dan bukan orang politik yang bercita-cita hendak berkuasa) yang telah bekerja dengan Nik Abdul Aziz (Menteri Besar) selama sepuluh tahun, saya segera melihat kemungkinan itu padanya. Barangkali sudah tiba waktunya untuk dia menumpukan sepenuh perhatiannya kepada usaha menghasilkan buku tersebut.
Orang lain mungkin tidak melihatnya penting, sepenting yang saya fikirkan. Tetapi bagi saya ia sangatlah penting dan mustahak. Makanya sembilan tahun dulu lagi saya telah berusaha merekodkan aktiviti harian TG Nik Aziz itu melalui video; dan dua tahun lalu saya berusaha mengumpulkan 100 fakta yang boleh dihubungkan dengan kepimpinan dan pentadbiran TG Nik Aziz, yang sedang mengubah Kelantan dan mengubah Malaysia.
(
Ya, saya telah membuat sedikit usaha. Tetapi siapalah saya untuk menyempurnakan usaha-usaha yang besar seperti itu! Dibandingkan dengan Annual Bakri misalnya, pengalamannya berada di samping Tok Guru dan bekerja bersama dengan Tok Guru selama 10 tahun – itu adalah sesuatu yang tersangat besar nilainya.
Kalau ada orang yang benar-benar mengetahui dan memahami bagaimana selok belok TG Nik Aziz mentadbir negeri dan memimpin rakyat, bagaimana dia menghadapi dan menyelesaikan masalah negeri dan masalah rakyat, bagaimana dia menyusun aktiviti-aktiviti-nya sebagai Menteri Besar – apa yang diutamakannya dan apa kelainannya dibandingkan dengan pentadbir dan pemimpin lain, dan bagaimana dia melayan media, dan banyak lagi perkara yang penting di sekitar peribadi Nik Aziz – orang itu tentulah tiada lain lagi melainkan Annual Bakri Haron.
Banyak perkara sebenarnya yang belum terungkap kepada pengetahuan umum, mengenai kebaikan dan kemajuan yang terdapat dalam kepimpinan TG Nik Aziz. Ia memerlukan satu kajian yang mendalam dan analisa serta huraian yang terperinci, bagaimana sebuah negara di zaman moden ini boleh diurustadbir secara yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah (saw) sepertimana yang terdapat dalam al-Quran dan Sunnah; dan ia boleh membawa ‘kesejahteraan’ kepada umat manusia hari ini, lebih baik daripada mana-mana sistem pentadbiran yang digunapakai di mana-mana jua negara di dunia hari ini.
Bukan mudah untuk menjelaskan hakikat ini kepada manusia hari ini yang mindanya telah diselubungi dan diselaputi oleh pelbagai mitos penjajahan moden melalui perangkap media yang sangat berkesan itu. Memang tidak mudah. Tetapi ‘benda’ itu telahpun ada pada kita. Kalau kita tak mahu berusaha memanfaatkannya (dengan segala ‘resource’ yang kita ada) untuk mencapai matlamat perjuangan kita – maka itu bukankah ertinya kita sengaja mensia-siakan benda yang sudah dianugerahkan Allah kepada kita?
Maka demikianlah besarnya harapan saya kepada Annual Bakri kini, yang saya lihat mampu untuk melakukannya, atau untuk menggerakkan usaha ini. Pengalamannya bekerja dengan TG Nik Abdul Aziz selama 10 tahun itu adalah aset yang sangat berharga.
Tidak mengapalah. Kita berbaik sangka dengan Allah yang maha bijaksana dan maha berkuasa. Tentu hikmah-Nya tidak membawa kemudaratan, sebaliknya membawa manfaat dan kesejahteraan.
(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 0136362408)
1 comment:
Oi, tolong beritahu dinsman, kalau apa yang ditulisnya membenarkan anual bakri dan minta dia bersabar kerana kebenaran akan memihak, berertilah tuan guru nik aziz tak betul.
hahh, ini susahlah.
selama ni saya fikir nik aziz betul dan tindakannya betul tapi bila dinsman minta anual bersabar dan bersimpati, maka anuallah yang betul. ternyata sekali lagi nik aziz tak betul, tak betul akan tindakannya.
sekali lagi nik aziz kena kondem.
susah tau kaslau kita nak komen sesama kawan atau sesama perjuangan. kalau dengan umno senanglah. hentam saja.
macam ,mana?
tukya bersama besah mengkagumi sangeetha.
Post a Comment