Tuesday, January 5, 2010

Siakap senohong


Marilah kita sama-sama menonton!!

Dalam zaman ikan sudah menjadi komoditi mewah dan begitu sukar dijamah oleh rakyat miskin, saya juga turut kasihan kepada siakap dan senohong. Ikan hanya mampu menjadi pembayang maksud, bukan lagi hidangan di atas meja makan. Bahawa ikan sudah sukar dijamah oleh yang miskin-miskin, ternyata real/nyata. Cerita sudut pandangan ikan ini juga membuktikan betapa hebatnya sebuah warisan kebijakan ekonomi ‘ala rakyat didahulukan’.

Itu satu cerita yang nyata. Ikan juga membuktikan kehebatan dan kebijaksanaan para leluhur kita, lebih-lebih lagi sang penulis rakyat tanpa nama yang (tentunya mereka berfikir dan mencapai ilmu dalam bahasa ibundanya) menzahirkan buah fikiran dan gandingan laras dalam kalangan makhluk ikan: ‘Siakap, senohong, gelama, ikan duri’. Nah, itu tampang sebenar manusia yang hidupnya bersenohong! Bukankah benar bahawa mereka yang hidupnya bersenohong, akhirnya betul-betul menjadi ikan duri? Ya, ikan duri. Wajah para gerombolan kapitalis-kuasaan ala rakyat didahulukan.

Tak percaya? Fitnah? Kalau tidak betul, kenapakah ikan semakin mahal, namun nelayan tidak juga keluar-keluar dari jerat kepapaan yang seolah-olah menjadi hak milik mereka, sementara para kapitalis yang selalu didahulukan, gemuk-gemuk semuanya? Ya mereka itu, para gerombolan kapitalis-kuasaan yang pakaian kehidupannya bersenohong, tidak juga berubah malah, kegemukan. Kenapa?

Lalu apakah yang dapat kita, rakyat lakukan? Percayalah rakyat mampu lakukan sesuatu. Rakyat boleh membiarkan para gerombolan terus bersenohong. Biarlah mereka dengan telatah mereka. Kita, rakyat jelata jangan pedulikan apa yang mereka katakan!

Biarlah mereka bersenohong sehinggakan tidak ada siapa lagi yang peduli (masih ingat cerita si nakal dungu yang suka menjerit-jerit “Serigala! Serigala!” itu?). Itulah yang paling wajar kita, seluruh rakyat lakukan. Biarlah para senohong dan pemutar belitkan dan seluruh jentera gerombolan pecacainya ini terkinja-kinja bersenohong. Biarkanlah!

Kita jangan ambil peduli. Marilah kita biarkan para senohong terus bercakap, bercakap dan bercakap-cakap, sendirian.

Biarlah gerombolan itu berwayang dengan isu yang mereka mulakan.

Marilah kita lihat sejauh manakah para gerombolan dapat berlakon dengan Allahnya. Biarlah para senohong dan gerombolannya dengan lakonan episod Allah mereka ini. Kita tontoni saja wayang mereka itu.

Janganlah ada di antara kita yang turut terkinja-kinja dengan dangdut yang para gerombolan mulakan.

2 comments:

Anonymous said...

Tak jadilah kalau sekadar nak melihat sejauh mana. itu satu pemerhatian yang sia-sia kerana tak ada tindakan dan susulan.

mari pakat ramai-ramai kita pi cekup mulut mereka kemudian kita jahit, macam mana?

haaa..haaa.
aziziabdullah

barajiwa said...

Sdr Azizi,

Terima kasih kerana sudi singgah dan komen. Sekali imbas memang begitulah. Menjadi pemerhati yang seolah-olah bisu itu, memang kadang-kadang macam tak ada kesan. Rasanya ini tak seratus persen benar. Mat Rempit tak akan begitu galak jika tak ada penonton/galakan.

Mulut siapa yang nak kita cekup dan jahit? Memang kelihatannya masih ada lagi dalam kalangan para pemimpin parti pembangkang yang seolah-olah masih tak sepakat dan celaru walaupun berada dalam satu saf yang sama.

Nak jahit yang inikah?


Kassim Muhamad