Saturday, June 13, 2009

MKDT di Masjid Kg. Tungku







MKDT, “MENANTI KATA DARI TUHAN” DI MASJID KAMPONG TUNGKU PADA 27 JUN 2009, SELEPAS SOLAT MAGHRIB.


Tatkala ia dipentaskan buat pertama kalinya di dalam sebuah masjid, Masjid Batu, Kampong Pertama, Permatang Pauh, pada 30 Mei 2009 pengerusi sesi sasterawan kawakan Azizi Hj. Abdullah menyebutnya sebagai satu peristiwa pertama di dunia. Dan kita bersetuju dengan pernyataan tersebut.

Kali ini dan untuk kali keduanya, MKDT kembali lagi ke dalam masjid:


Masjid Ar-Rahman, Kg. Tungku (SS1), Petaling Jaya

Masa: Pada 27 Jun 2009 (Sabtu), Selepas Maghrib.


Adakah saudara-saudara saya, Muslimin dan Muslimat sekalian di sekitar Lembah Kelang tidak terpanggil untuk mendengar/nonton hadith panjang Kaab Abd Malik ini di dalam bentuk yang sedikit berbeza?

Bayaran? Pernahkah saudara membayar tatkala sembahyang?

Selamat menonton persembahan Sabri Yunus dan Sani Sudin..




Wednesday, June 10, 2009

Sebab dan akibat



Ada seorang mantan pemimpin yang gemar sekali menggunakan kaedah berhujah sebab dan akibat. Salah satu contohnya berbunyi begini:

Bangsa yang miskin tidak akan dihormati. Orang Melayu rata-rata miskin, maka jadilah Melayu itu bangsa yang tidak dihormati.

Apakah penawarnya? Lalu berhujahlah mantan pemimpin itu, kita perlu kayakan orang-orang Melayu. Maka telah terternaklah beberapa kerat Melayu segera, menjadi jutawan segera Melayu segera.

Ada pula seorang pemimpin yang kerjanya bercerita bahawa sesungguhnya hidup ini ada bahagian dunianya dan ada bahagian akhiratnya. Walaupun beliau itu CEO sebuah negeri itulah yang dilakukannya saban waktu. Tarbiah..tarbiah.. dan tarbiah dengan mengandalkan tingkah lakunya sebagai model untuk dicontohi.

Dan kebetulan tatkala menyusun buku-buku di rak, saya terbaca sebuah cerpen “The Butterfly and the Tin of Paint” di dalam antologi “Beyond the Blue Mountains” karya Penelope Lively (Penguin, 1997). Salah satu ungkapan menarik di dalam cerpen tersebut berbunyi begini:

“Thus, a butterfly in the Amazon forest flap its wings and provokes a tornado in Texas” yang kira-kira bermaksud begini “ Begitulah, seekor kupu-kupu di hutan Amazon mengepak sayapnya lalu mencetuskan taufan di Texas.”

Ceritanya melibatkan setin cat cap Dulux Gloss White, Pete, Ambrose, Lennie, pemandu lori. Itulah di antara mata rantai yang menyebabkan seorang Menteri Perdana terpaksa meletak jawatan kerana dipotret terlibat di dalam skandal. Begitulah sebuah karya kreatif yang sarat sebab dan akibat.

Ada satu dua soalan untuk renungan bersama:

Telatah sebab-akibat pemimpin mana (mantan atau yang CEO) yang mahu kita pakai?

Bila lagi para penulis kita mahu mengepakkan sayap-sayap sakti mereka?



Sunday, June 7, 2009

Penyambung kuda-kuda

Sel ialah unit terkecil hidupan. Tatkala di sekolah menengah dulu kita diceritakan tentang amoeba. Untuk sel tumbuhan kita diceritakan tentang spirogyra. Kata cikgu lagi, hidupan dibangunkan oleh sel yang amat banyak. Kanser amat digeruni kerana ia meruntuhkan sel-sel yang sihat, sehinggakan seorang manusia sihat menjadi manusia yang sakit. Untuk sebuah ummah, kita adalah sel-selnya.

Tatkala belajar ilmu analisa struktur, cikgu menceritakan tentang betapa pentingnya memastikan SEMUA penyambung yang terdapat pada sesebuah kuda-kuda keluli atau kayu itu utuh-sempurna supaya kuda-kudanya mampu menjadi struktur yang stabil lagi kukuh. Datanglah beban apa sekalipun, tambah cikgu lagi, insyallah kuda-kuda kita tetap berdiri tegap.

Seorang guru yang bercerita tentang kestabilan cerun tanah, pernah berpesan supaya berhati-hati tatkala berdepan dengan alam. Manusia, pesan cikgu mungkin boleh kita tipu dan perdaya. Apakah mungkin, kita menipu alam?

Dan tatkala bumbung itu runtuh, siapakah yang memperdayakan siapa?

Apakah kita masih ogah menghormati hukum alam semesta ini?

Apakah itu kpi, key performance indicators yang telah kita gunakan untuk mengukur kesihatan masyarakat, keteguhan kuda-kuda bumbung stadium, kegagahan cerun curam di lereng rumah pangsa?

Bila kufikir-fikir...

Aku ingin sekali supaya lekas-lekas pandai: Biar kutipu seluruh alam ini. Apakah keterlaluan cita-citaku ini?



Wednesday, June 3, 2009







Aku terlalu resah...


“Lidah yang diluhuri maruah
dikelar sendiri, mengapa?
Kerana kita membeli harta
dengan seni dan bahasa?
Atau kita membeli ilmu
yang hanya mencerna harta?”


A. Samad Said, di dalam “Suara dari dinding dewan”


dan dalam perjalanan pulang dari Kota Bharu, kebetulan dan tanpa dirancang kami sempat bertemu peminat kolumn wacana budaya Dinsman, Cikgu Tuah dan isterinya Puan Su di Lembah Bilut.


Mereka ingin, ingin sekali agar teater MKDT, "Menunggu Kata dari Tuhan" dipentaskan di Felda Bilut.


Siapa kata rakyat tidak meminati budaya?