Dinsman (Artikel 142, 19/2)
Ada pembaca menegur saya (melalui SMS) janganlah asyik-asyik menulis pasal seni dan budaya sahaja. Banyak lagi aspek kebaikan Islam patut ditonjolkan, katanya. Manakala yang lain pula berkata, ada banyak perkara sedang berlaku dalam negara kita hari ini, kenapa saya hanya tumpu pada perkara seni dan budaya sahaja.
Jawapan saya mudah. Nama kolum saya pun ‘Wacana Budaya’, ‘kan! Lagipun dalam Harakah yang setebal 56 (32+24) mukasurat, yang menulis pasal budaya secara tetap hanya saya seorang, (disamping dua mukasurat ruangan cerpen, novel dan puisi) dan sesekali ada jugalah orang lain seorang dua menulis. Ertinya ada banyak lagi, tersangat banyak, ruang lain yang diisi dengan hal-hal bukan seni-budaya. Apa salahnya saya seorang tumpu pada seni-budaya!
Tidak salah, jawab mereka. “Tapi sdr mempunyai pendekatan dan sudut pandangan yang lain apabila sdr menulis sekali-sekala menegenai hal politik atau hal agama.”
Saya terdiam dengan hujah itu, dan berfikir semula. Memang hal-hal lain itu pun sering juga, atau sekali-sekala saya sentuh juga, dengan pendekatan dan perspektif budaya. Tetapi akhir-akhir ini saya memang cuba mengelak daripada isu-isu yang sedang panas dalam masyarakat – isu kalimah Allah, isu kehilangaan enjin jet, isu perbicaraan liwat DS Anwar Ibrahim, isu keputusan mahkamah yang mengesahkan rampasan kuasa di Perak…
Sebab apa saya cuba mengelak, sebab… ya Allah, malas saya nak bincang perkara-perkara itu. Kalau saya bincang pun saya fikir saya tak mampu nak menyumbang apa-apa kebaikan. Cukuplah dengan reaksi dan respons daripada pihak-pihak parti PAS, KeAdilan dan DAP. Itu semua adalah perkara politik.
Alhamdulillah, isu kalimah Allah nampaknya berjaya kita hadapi dengan cara yang memberi kesan positif kepada ummah. Tetapi bagaimana seharusnya kita hadapi isu mahkamah yang sedang membicarakan kes liwat Anwar, (sepatutnya hal seperti ini tidak wujud dalam sebuah masyarakat yang pemimpinnya bermarwah), dan isu siapa Menteri Besar Perak yang telah diputuskan oleh mahkamah itu. (Isu kehilangan enjin jet? Aduh! Sangatlah memalukan.)
Apabila mahkamah diheret ke dalam kancah dan kawah politik… siapakah sebenarnya yang lebih berkuasa untuk membuat keputusan? Mahkamah atau kuasa politik yang sedang berkuasa? Inilah dilema kita – masyarakat yang masih banyak menyimpan dan memelihara ‘hantu’. (Baca puisi saya, “Puisi Panjang Untuk Mahathir”, 1982).
“Ada sesuatu yang tidak kena dalam kehidupan kita /ada hantu kiranya, di rumah / ada hantu di jalan ada hantu di pejabat /ada hantu di sekolah ada hantu di padang ada /hantu di hutan ada hantu di hotel ada hantu /di TV ada hantu di pantai pun ada hantu /di parlimen? / di hati sendiri?”
‘Hantu’ – sesuatu yang kita tak nampak, tetapi ditakuti oleh kebanyakan orang, kerana bayangan-bayangan yang menakutkan, mengerikan dan mensengsarakan. ‘Hantu’ itu nampaknya masih wujud berleluasa dalam masyarakat kita hari ini, (ditambah pula dengan hantu Altantuya dan hantu-hantu yang pandai merobohkan bumbung bangunan dan stadium), dan selagi ‘hantu’ itu wujud selagi itulah demokrasi boleh dipermain-mainkan.
(Apabila seorang kawan saya bertanya patutkah dia berhijrah ke negara lain, saya hanya diam tak menjawab, kerana saya tahu semangat patriotiknya usah dipersoalkan, tetapi rasa malu dan ‘aib yang sedang dialaminya… saya pun tak tahu bagaimana nak mengubat duka dan luka di hati dan jiwanya itu.)
Suasana bukan sahaja diselubungi ‘aib dan malu, tetapi juga diancam oleh hantu-hantu yang tak kelihatan itu. Kita jadi takut didakwa menghina istana, kita takut didakwa menghina mahkamah, dan baru-baru ini mereka mencuba pula menakut-nakutkan kita dengan dakwaan “menghina kalimah Allah”. Untunglah dalam hal terakhir itu masyarakat kita kebanyakannya sudah ada kesedaran ilmu Islam yang sebenar, maka tidaklah kita dapat diperbodohkan lagi oleh mereka.
Tapi sebelum itu, seorang sahabat saya ditolak tulisannya oleh sebuah buletin yang selama ini menyiarkan tulisannya secara tetap, kerana tulisannya tiba-tiba dikatakan menyentuh kedaulatan istana.
Jadi, begitulah, saya pun jadi malas hendak membincangkan perkara-perkara yang bukan saja telah dipolitikkan, tetapi siap dipasang perangkap samar lagi di sekelilingnya. Hanya orang-orang yang pakar dalam hal-hal undang-undang seperti Dr Aziz Bari dan Hanipa Maidinlah yang selesa untuk mengupas dan menganalisis isu-isu tersebut.
Seperti kata analisis Hanipa Maidin (Harakah 1514, ms N16), kesalahan Anwar Ibrahim dalam kes yang sedang dibicarakan mahkamah ke atas dirinya sekarang ialah kerana dia bernama Anwar Ibrahim. Kalau kes yang sama ini tetapi orangnya bukan Anwar Ibrahim, pihak pendakwa tidak akan membawa pun kes ini ke mahkamah.
Apa maknanya tu? Dan dalam satu mesyuarat yang saya hadir, bersama dengan datuk-datuk dan para profesor, pada hari yang akhbar-akhbar menyiarkan gambar para ‘v.i.p’ dalam kes itu sedang meninjau kawasan apartmen/kondominium berkenaan, seolah-olah peristiwa itu adalah peristiwa paling penting dalam negara ini sekarang; perkara itu menjadi semacam sesuatu yang diketawakan secara senyap dalam majlis itu.
Ah, entahlah. Saya lebih selesa menyatakannya melalui sebuah skrip teater, yang sebenarnya telah saya tulis sempena pilihanraya kecil Permatang Pauh kira-kira satu setengah tahun lalu, yang saya judulkan “Apocalipso”. Nilai dalam masyarakat kita pun sudah berubah. Itulah yang disifatkan sebagai “SHIT” oleh Sasterawan Negara Shahnon Ahmad itu.
Ini bukan soal kuasa lagi sebenarnya. Ini adalah soal marwah sebagai bangsa atau umat yang beragama. Apabila seorang yang diliwat telah ditampilkan ke tengah-tengah khalayak, termasuk mahkamah, dengan suatu imej yang ‘dimuliakan’, ‘dihormat’ dan ‘dilayan sebagai hero yang berada dipihak yang tak bersalah’; bukankah kita sepatutnya bergegas ke depan cermin untuk melihat dan memeriksa rupa kita sendiri – apakah benar masih berwajah kita?
Kuasa politik itu bukanlah segala-galanya. Maka cubalah kita fikirkan – apabila mahkamah mengesahkan rampasan kuasa, dan seterusnya mungkin mengesahkan pula suatu perbuatan yang dikutuki Allah sebagai tidak terkutuk – semata-mata kerana kuasa politik… ah, bukankah lebih baik saya terus menulis hal-hal seni dan budaya, dan mengajak rakyat Malaysia supaya kurangkan memberi sokongan kepada pihak-pihak yang rakus berpolitik untuk kuasa….
Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 0136362408)
No comments:
Post a Comment