“taat setiaku
lebih murah
dari harga seulas nangka”
(Petikan sajak “cintaku padamu, Anum” Rahimidin Zahari, blognya, 4 Feb 2010)
“harga seulas nangka
dari kebun sultan amat mahal,
terlebih mahal dari harga nyawa
seorang Dang Anum, isteriku
yang mengidam dan berbadan dua”.
(Petikan sajak: ‘Megat Seri Rama’ oleh Rahimidin Zahari, blognya 9 Februari 2010)
Tatkala mengulas ‘Jiwa Hamba’ (Azizi, CAP) untuk ‘Utusan Pengguna’, saya membayangkan dalam ulasannya serta memaklumkan langsung kepada Azizi bahawa terdapat bahagian-bahagian tertentu buku itu yang mungkin memeranjatkan sesetengah pihak. Pengarang yang terkenal suka berterus terang, berani dan kritis ini hanya tersenyum. Dalam kesempatan lain bersama Paksi dan CAP satu ketika dulu, saya pernah nyatakan kepada SM Idris bahawa terdapat aspek-aspek ‘Jiwa Hamba’ yang pada pandangan saya, boleh ditafsiran oleh sesetengah pihak sebagai ‘sensitif’. Bosnya SM Idris juga memberikan respons dengan pertanyaan: ‘What’s wrong with speaking the truth?’ Ya, memang benar.
Apa salahnya bercakap benar, apatah lagi jika dihayati sepenuhnya semangatnya Kaab bin Malik (watak utama teater “ Menunggu Kata Dari Tuhan”, MKDT karya Dinsman. Sila rujuk Google). Kaab yang amat yakin bahawa sesungguhnya bercakap benar itu sangat besar maknanya dalam kehidupan seorang Muslim. Maka apabila Azizi Abdullah dan SM Idris berani bercakap benar tatkala menulis ‘Jiwa Hamba’, kita percaya semangatnya Kaab telahpun meresap ke dalam jiwa mereka berdua. Malangnya seperti Kaab bin Malik, khabarnya Azizi Abdullah pun dihukum kerana menulis yang benar dalam ‘Jiwa Hamba’. Sesiapa yang ingin bertanya khabar dengan lebih terperinci latar belakang cerita hukuman ini, silalah hubunginya di CAP, ‘Utusan Pengguna’ atau pun melewat blognya (http://aziziabdullah.blogspot.com). Saya tidak bercadang untuk memanjangkannya.
Lalu apakah kaitannya cerita-cerita ‘bercakap benar dan segala hal yang berkaitan dengannya’ dengan puisi (puisi diari, kata Rahimidin) “Megat Seri Rama” dan “cintaku padamu, Anum”, dua buah puisi dalam ‘Perjalanan Salik’, (http://rahimidinzahari.blogspot.com) itu? Bagi saya terdapat pelbagai aspek yang boleh kita renungi, pelajari dan kita petik ikhtibarnya.
Walaupun Megat Seri Rama dan Kaab bin Malik itu adalah peristiwa-watak silam yang pernah terjadi di dua penjuru berbeza planet kita, di Bentan dan di Madinah, namun kedua-duanya masih tetap relevan kepada kita, semua manusia abad ke-21 ini. Kita berpendapat bahawa persamaannya tetap ada. Masa dan tempat peristiwa boleh saja berubah, namun manusia tetap jua manusia; berdarah, berdaging, memiliki iman dan hawa nafsu sebagai komponen yang telah dipakejkan. Mengikut kefahaman yang selalu disampaikan dari mimbar-mimbar atau serambi-serambi madrasah, kebebasan dan kearifan memilih komponen-komponen yang bukan pepejal itulah yang membuat kita, manusia itu berbeza-beza.
Dalam konteks ‘manusia yang bukan pepejal’ inilah, maka kita ingin mengajak para pembaca meneliti mesejnya Rahimidin dalam sajak-sajak di atas. Kita ingin mengajak para pembaca melihat apakah yang boleh dipelajari dari seluruh episod yang berpaksikan aksi manusia sebagai Khalifah, konteks suasana, hubungan watak dan peristiwa, dulu dan sekarang. Kita mahu melihat apakah itu hubungan kedaulatan Raja dan kaitannya dengan harapan, kesetiaan dan sembah derhaka rakyat jelata.
Bagi saya secara peribadi, cerita seulas nangka pembawa maut ini sentiasa menjadi tragedi yang sukar saya lupakan. Kenapa? Saya pernah menonton filemnya. Bagi saya, tragedinya sukar dilupakan begitu saja. Tatkala perutnya Anum mahu dibedah, sebagai anak kecil, saya bertanya dalam diri, “Apakah Raja mahu membedah perut Anum kerana makan nangka?” Begitulah mendalamnya kesan visual sinematografi kepada manusia. Anak kecil yang kini sudah pun seorang tua itu, masih juga tersentuh dengan visual yang tersimpan dalam cpunya.
Sajak-sajak Rahimidin membuat jiwa saya berdarah, sayu dan marah, kecewa namun tidak sekali-kali berputus asa. Demikianlah besar pengaruh filem dalam kehidupan. Begitulah tajamnya kesan visual olahan citra dan cerita yang dibumbui diksi-diksi yang mencengkam. Itulah puisi di tangan orang muda berbakat yang berfikir dan mendalami makna persekitaraannya.
Dalam konteks filem Melayu lama ini, kita tentu masih ingat lagi kerja buat seorang mantan Menteri yang perdana. Rejim beliau pernah mengulang-ulangi filem-filem seperti ini tatkala mahu melucutkan apa yang Raja-Raja Melayu miliki ketika itu. Apakah mantan itu berjaya sepenuhnya? Untuk itu kita perlu membuka semula kitab-kitab catatan oleh orang-orang yang ikhlas dan jujur, dan bukannya karya sasterawan atau penulis-penulis upahan yang bijaknya, mencacai!
Kisah seulas nangka milik Raja ini rupa-rupanya berulang lagi, kini. Rakyat yang namanya Anum telah dibedah perutnya kerana memakan seulas nangka milik Raja. Tidak percaya? Lihatlah petikan yang kita dapat dari:
The Malaysian Insider (10 Feb 2010) yang bertajuk “ Two lessons from Perak”. Kita petik bulat-bulat dalam bahasa asalnya (Insyallah, akan saya terjemahkan pada hujung minggu ini)
Lesson two: A scarred royal household, yang antara lain menyebut:
“But the Federal Court endorsed the steps taken by HRH Sultan Azlan Shah to ascertain if Nizar still had command of the House. The intervention of the Royal Household a year ago invited scorn from Malaysians, who felt that the Ruler should have done the right thing and that is to dissolve the state assembly.
Has the anger and disappointment with the Palace gone away? No. The Merdeka Center survey shows clearly that a significant percentage of the people of Perak are dissatisfied with the role played by the Palace in the Perak coup. Some 35 per cent of those polled were dissatisfied while 36 per cent expressed satisfaction but, tellingly, 29 per cent were undecided”.
“tekadku telah bulat
perahu yang kuapung ke kuala
tak kan kumudikkan kembali he hulu:
Megat Seri Rama namaku,
telah bersedia dan penuh rela
memanggung dan memikul sumpah
meskipun tujuh keturunanku
akan dimuntahi darah!”
(Petikan sajak: ‘Megat Seri Rama’ oleh Rahimidin Zahari, blognya 9 Februari 2010)
Syabas, Rahimidin kerana terus menjadi denyut nadi itu. Sekali lagi, tahniah!
Buat teman-temanku Phuah, Liew, Saw, Chu, Augustine, Yusman dan Mazlan dan lain-lainnya, yang begitu dan sentiasa akrab dengan kejuruteraan, marilah kita nikmati sastera: Sesungguhnya, sastera itu begitu indah sekali!
No comments:
Post a Comment