Wednesday, March 3, 2010

Apa kata Dinsman tentang Maulidur Rasul



Maulidur Rasul
Melihat semula otak kita yang mengelirukan


Bismillaahir rahmaanir rahiim
Innallaaha wamalaaikatahu yusolluuna ‘alannabiy.
Yaa-aiyuhallaziina aamanu, sollu ‘alaihi wasallimu tasliima

Allah berfirman dalam al-Quran surah al-Ahzab ayat 56: “Bahawasanya Allah dan para malaikat-Nya bersalawat ke atas Nabi; wahai orang-orang beriman, selawatlah ke atasnya (Nabi) dan ucapkanlah salam dengan sempurna.”

Tuan2 dan puan2, marilah kita sama-sama berselawat ke atas Nabi:
Allohumma solli wasallim ‘ala saiyidina Muhammad
wa‘ala aali saiyidina Muhammad

Kita mengucapkan selawat dan salam, sebagai penghormatan dan kasih sayang kita kepada Rasulullah SAW – manusia yang telah menyelamatkan kita. Manusia istimewa yang kerananyalah – Muhammad SAW – maka kita menjadi kita seperti hari ini – menjadi orang beriman, percaya kepada Allah dan percaya kepada Hari Akhirat

Sempena menyambut Maulidur Rasul ini saya ingin mengingatkan diri saya sambil mengingatkan tuan-tuan dan puan-puan, akan satu fakta atau hakikat mengenai Rasulullah SAW yang disebut sendiri oleh Allah dalam al-Quran surah al-Anbiya’ ayat 107: Wamaa arsalnaaka illa Rahmatan lil ‘aalameen.

Muhammad dibangkitkan sebagai Rahmat untuk seluruh alam. Rahmatan lil ‘aalameen – Rahmat bagi seluruh planet. Itulah Muhammad SAW. Rahmatan lil ‘aalameen adalah juga Rahmat untuk kita. Rahmat yang tidak ada tolok bandingnya seantero dunia, seantero planet.

Apa maksud Rahmat? Maksudnya limpah kurnia dari kasih sayang Allah Tuhan yang maha Pemurah. Kita berdoa supaya Allah memberi Rahmat kepada kita, atau kepada saudara kita, dengan memohon: “Semoga Allah memberi rahmat kepada kamu.” Maksudnya – kalau Allah memberi rahmat-Nya kepada kita, itu ertinya kita sudah mendapat sesuatu yang sangat berharga dalam hidup. Tidak ada yang lebih berharga daripada itu. Itu maksud Rahmat.

Muhammad itu adalah Rahmat bagi seluruh alam. Kalau Allah – iaitu Maha Kuasa – Tuhan kita, Pemilik seluruh alam dan seluruh kuasa yang ada di seluruh planet – kalau Allah hendak mengurniakan suatu nikmat buat kita para manusia, tidak ada nikmat dan tidak ada kurnia yang lebih bernilai. Muhammad SAW itulah kurniaan paling agung dan paling hebat. Tiada yang lebih baik lagi daripada itu.

Tetapi kita, para manusia, kita semua ini – tak habis-habis dengan perangai buruk kita – alpa – lalai – tak sedar diri – tak mengenang budi – tak tahu bersyukur. Makanya rahmat dan nikmat kurniaan Allah yang begitu besar itu tidak kita hargai. Sebaliknya kita sentiasa berasa kekurangan dan tidak pernah puas hati dengan apa yang kita ada.

Tuan-tuan dan Puan-puan. Saya bercakap mengenai diri kita. Bukan mengenai orang lain, tapi mengenai diri tuan-tuan dan puan-puan dan mengenai diri saya sendiri. Cuba kita jujur dengan diri kita sendiri. Malam ini apa yang kita mahu, apa yang kita harapkan dari majlis ini? Maulidur Rasul – menyambut ulangtahun kelahiran Nabi Muhammad SAW 1431 Hijrah. Menyambut ulangtahun kelahiran Rasulullah SAW ini, apa yang kita harapkan?

Hendak mendengar cerita mengenai Rasulullah? Apakah ceritanya yang menarik? Apakah penceramah ini pandai bercerita mengenai Rasulullah?

Saya tidak pandai bercerita, terus terang. Saya menulis, saya baca puisi, saya buat teater. Tapi malam ini saya ingin mengajak tuan-tuan dan puan-puan bersama-sama kita merenung diri kita – bermuhasabah – berfikir. Dalam al-Quran banyak ayat-ayat yang meminta manusia supaya berfikir…

Manusia dibezakan daripada makhluk-makhluk Allah yang lain apabila Allah mengurniakan kita otak untuk berfikir. Inilah yang membezakan manusia daripada malaikat, dan inilah juga yang membezakan manusia daripada binatang. Otaklah yang menjadi faktor manusia lebih mulia daripada malaikat, dan otaklah juga yang menjadi faktor manusia jatuh ke lembah yang hina. (Di samping faktor nafsu. Kadang-kadang faktor otak dan faktor nafsu susah nak dibezakan).

Kelebihan manusia yang menyebabkan Allah memerintahkan para malaikat sujud hormat kepada Nabi Adam AS, iaitu tatkala Allah mula menciptakan manusia, ialah kerana kemampuan memiliki ilmu. Faqaala anbi-uuni bi-asmaa-i haa-ulaa-i inkuntum sodiqiin. Allah berfirman kepada malaikat: “Sebutkan pada-Ku nama-nama benda-benda itu, sekiranya kamu pihak yang benar.” Malaikat tidak tahu menyebutnya. Qalu subhaanaka laa ‘ilmalana illa maa ‘allamtana, innaka antal ‘aliimul hakiim. “Maha suci Engkau (ya Allah), kami tidak mengetahui melainkan apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami. Sungguh Engkau maha mengetahui dan maha bijaksana.” (al-Baqarah ayat 31-32).

Itulah ciri-ciri kejadian manusia. Allah memberikan kelebihan kepada manusia – mampu menguasai ilmu. Dan hari ini, dunia hari ini dikatakan berada dalam ‘zaman ilmu’ atau ‘zaman maklumat’. Sesiapa yang berilmu dan memiliki lebih maklumat, dialah yang berjaya.

Itu kata mereka. Tetapi betulkah kata-kata itu? Saya perhatikan di situ terdapat banyak kekeliruan.

Tuan-tuan dan puan-puan. Memang Allah kurniakan kelebihan kepada manusia – kita boleh mencari ilmu, kita boleh berfikir, kita boleh mencipta pelbagai alat yang canggih melalui penemuan-penemuan sains dan teknologi. Tapi seperti yang saya sebut di awal tadi – kita semua ini manusia tak habis-habis dengan perangai buruk kita – alpa – lalai – tak sedar diri – tak mengenang budi – tak pandai bersyukur.

Allah kurniakan ilmu kepada manusia ibarat setitik air di lautan cuma. Sedikit sangat ilmu kita, dibandingkan dengan ilmu Allah. Kalau air lautan itu dakwat untuk menulisnya, keringlah seluruh lautan dan dibawakan air sebanyak itu lagi, tak akan habis ilmu Allah ditulis.

Surah al-Kahfi ayat 109: Qul lau kaanal bahru midaadan likalimaati rabbi, lanafidal bahru qabla an tanfada kalimaatu rabbi, walau ji’na bimithlihi madada. “Sekiranya air lautan itu menjadi dakwat untuk menuliskan kalimat atau ilmu Tuhanku, nescaya keringlah air lautan itu sebelum habis ilmu Tuhanku ditulis, walaupun ditambahkan dakwatnya sebanyak itu lagi.”

Tetapi yang dikatakan manusia ini – kita ini – bukan orang lain ya – diri kita ini – dengan sedikit ilmu itu, dengan sedikit kemampuan berfikir yang ada pada diri kita – kita sudah merasakan terlalu hebat. Kita cepat menjadi sombong dan angkuh. Kita cepat merasakan yang diri kita ini pandai. Sebab apa? Sebab kita mampu berfikir. Sebab kita mampu memiliki ilmu. Kita percayakan otak kita berfikir ini, lebih daripada segala-galanya. Lebih daripada al-Quran. Lebih daripada Rasulullah SAW.

Ini sikap kita, tuan-tuan dan puan-puan. Ini pemikiran kita. Dan di sinilah banyak berlaku kesilapan manusia.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian. Firman Allah surah al-Ahzab ayat 21: Laqad kaana lakum fi Rasulillaahi uswatun hasanah. “Sesungguhnya bagi kamu, pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik”

Tuan-tuan dan puan-puan, kita tahu Rasulullah itu seorang ummi. Ummi maksudnya apa? Buta huruf. Tak boleh membaca, tak boleh menulis. Ini fakta tuan-tuan, hakikat, diri Rasulullah itu, tak boleh membaca, tak boleh menulis. Tetapi itulah manusia yang paling berilmu, dibandingkan dengan seluruh manusia lain di dunia ini, dulu dan juga kini. Dan kita disuruh jadikan baginda sebagai contoh ikutan. Bukan contoh ikutan dari segi umminya itu, tetapi dari segi yang lain. Pengajaran di sebaliknya itu.

Iqra’ – sergah malaikat Jibril pada suatu malam ketika Nabi berseorangan beribadat di Gua Hira’. “Bacalah!” Itu wahyu pertama. Kenapa Nabi diperintahkan supaya membaca, sedangkan dia tidak tahu membaca? Iqra’ bismi rabbikal-lazi khalaq. “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang mencipta.”

Baca, bukan dengan sebarang baca. Tetapi baca dengan nama Tuhanmu yang mencipta. Di sana terdapat khazanah ilmu yang luas, yang umpama cahaya menyuluh jalan keluar dari kegelapan, menjadi panduan menuju ke destinasi kita yang sebenar.

Panjang ceritanya kalau kita hendak memahami maksud di sebalik peristiwa wahyu pertama itu. Tetapi apa yang saya hendak ajak tuan-tuan dan puan-puan berfikir sejenak di sini ialah – apa yang telah saya sentuh tadi mengenai kepercayaan dan sikap manusia pada hari ini yang terlalu mengagung-agungkan otak dan kemampuan manusia berfikir.

Begitu sekali kita (bukan orang lain ya, kita!), begitu sekali kita mengagung-agungkan otak dan kemampuan manusia berfikir – sehingga kita lupa untuk mengambil Muhammad Rasulullah SAW sebagai contoh ikutan yang baik – uswatun hasanah. Sebagai idola, kata orang hari ini.

Siapa idola dalam masyarakat kita hari ini? Siapa yg ditonjolkan oleh masyarakat sebagai idola untuk anak-anak muda kita? Bukan untuk anak-anak muda saja, untuk orang-orang dewasa juga pun. Dan ini tanpa kita sedar telah memesongkan otak dan fikiran kita.

Saya sedang membuat suatu teater – Teater Dari Hadis Nabi. Menunggu Kata Dari Tuhan. Sudah hampir setahun, masih lagi berkeliling menunaikan permintaan orang ramai. Salah satu perkara yang saya belajar dari teater ini – suasana hidup di zaman itu, zaman Rasulullah SAW. Kaab bin Malik (sahabat Nabi), apabila dia ketinggalan, tidak ikut pergi berperang bersama Nabi, dalam Perang Tabuk, dia keluar rumah, berjalan-jalan di pasar seperti biasa. Dia boleh terasa yang semua orang perempuan, orang tua, kanak-kanak, memerhati dia dengan pandangan yang menghina...

Itu suasana yang terbina dalam masyarakat zaman itu. Bagaimana suasana itu boleh terbina? Apakah zaman moden zaman IT kita hari ini suasana hidup seperti itu tak mungkin dibina? Mana mungkin suasana itu terbina sedangkan kita membina suasana yg lain? Kita membina suasana ‘Akademi Fantasia’, misalnya. Macam-macam lagi.

Tapi, cuba tuan-tuan puan-puan pergi ke Kelantan hari ini. Suasana bagaimna yang mereka bina untuk masyarakat mereka di sana? Dan bagaimana mereka membinanya? Ia bermula di sini (kepala) – pemikiran – bagaimana kita mengisi pemikiran? Bagaimana kita mengisi pemikiran anak-anak muda kita hari ini…

Sebenarnya banyak perbezaan antara ciri-ciri kehidupan Rasulullah SAW dengan ciri-ciri kehidupan kita pada hari ini. Kembali kepada topik saya tadi – mengenai bagaimana kita terlalu mengagung-agungkan otak dan kemampuan kita berfikir.

Kita mengagung-agungkan ilmu… (Betul tu! Tak salah. Memang dituntut. Tapi ilmu yg bagaimana?) Kita menuntut ilmu, membuat kajian, menjalankan penyelidikan, membelanjakan wang hingga berbilion RM untuk ilmu. Tetapi kita lupa dan kita pinggirkan khazanah ilmu Allah yang paling sempurna, iaitu al-Quran. Apakah program kajian dan penyelidikan kita terhadap al-Quran, pada hari ini, di negara kita mahupun di negara-negara Islam yang lain? Apa yang kita buat? Berapa banyak yang kita belanjakan untuk al-Quran – khazanah ilmu yang direct langsung daripada Allah SWT?

Alif lam mim. Zaalikal kitaabu laa raiba fiihi hudan lil-muttaqiin. Ayat pertama dan kedua surah al-Baqarah. Kita baca Quran, selepas Fatihah, inilah ayat yang kita jumpa. Zaalikal kitaab – maksudnya kitab al-Quran ini. Laa raiba fiihi – tidak ada keraguan padanya. Hudan lil-muttaqiin. Petuntuk/panduan bagi orang-orang bertaqwa. Maksudnya, al-Quran, jangan dipersoalkan lagi, itulah buku panduan hidup berjaya bagi manusia.

Ulaa-ika ‘ala hudan min rabbihim, wa ulaa-ika humul muflihuun. (Ayat 5, sambungan dari ayat tadi). Mereka yang mengambil al-Quran menjadi buku panduan hidup mereka – mereka mendapat hidayah (atau restu) daripada Allah, dan merekalah orang yang berjaya.

Itu kata-kata Allah, firman Allah, janji Allah. Ambillah al-Quran jadi buku panduan hidup – kamu pasti berjaya! (ulaa-ika humul muflihuun). Dan maksud berjaya di sini ialah berjaya di dunia dan di akhirat. Kalau berjaya di dunia saja, itu bukan berjaya, mengikut Islam. Kejayaan di dunia hanya sebentar, dan tidak bermakna apa-apa kalau tidak diikuti dengan kejayaan di Akhirat. Destinasi hidup orang Islam ialah kejayaan di Akhirat.

Tapi tuan-tuan dan puan-puan, berapa orangkah di dunia hari ini yang sedar perkara ini, yang sedar bahawa al-Quran itulah otak sebenar untuk manusia? Malangnya manusia kita ini mudah terpedaya dengan fikiran sendiri dan cenderung untuk menilai al-Quran berdasarkan kemampuan otaknya, yang sangat terbatas. Padahal otak al-Quran itu sangat luas, dan tak terbatas. Inilah suatu hakikat yang cuba saya sampaikan pada malam ini.

Sempena Maulidur Rasul ini, saya cadangkan - cuba kita semak semula otak dan fikiran kita masing-masing. Adakah bersesuaian dengan ajaran Rasulullah SAW ataupun tidak? Dan bagaimanakah pula caranya untuk kita membuat semakan semula otak dan fikiran kita?

Ya, agak sukar. Tetapi boleh dibuat kalau kita benar-benar mahu. Antara caranya ialah dengan sentiasa berusaha memahami dan menghayati al-Quran. Bukan memahaminya sahaja, tetapi mesti juga menghayatinya. Setiap hari mesti baca Quran, dan berusaha memahami dan menghayatinya. Insya Allah, sama-sama kita usahakan.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian. Sebenarnya mengikut kajian dan penyelidikan saya, dalam dunia kita pada hari ini terdapat seorang manusia, sekurang-kurangnya seorang manusia, yang sedang mempraktiskan itu. Maksudnya, Muhammad jadi contoh ikutan dan al-Quran jadi buku panduan hidup. Dan saya agak terkejut, dulu, sekarang tak terkejut lagi, tapi dulu sewaktu saya mula-mula mengetahui perkara ini saya terkejut, kerana ada manusia yang berani mengaku dirinya sebagai fotostat kepada kehidupan Rasulullah SAW. Anda bayangkan itu!

Dulu orang boleh lihat diri Rasulullah SAW untuk dijadikan contoh ikutan, katanya. Sekarang Rasulullah tidak ada, bagaimana hendak jadikan Rasulullah sebagai contoh ikutan? Maka dia, orang ini, berusaha menjadikan diri dia sendiri hidup sehari-harian sepertimana yang Rasulullah pernah lakukan dan ajarkan. Tidaklah sama seratus peratus, tetapi dia berusaha ke arah itu, sungguh-sungguh, hingga katanya, orang boleh lihat diri dia dan ambil jadikan contoh kehidupan Rasulullah.

Saya bukan sahaja dengar dan percaya kata-katanya, tetapi saya mengikuti cara dan gaya hidupnya, cara dan gaya kepimpinannya, dan saya juga meneliti dan menganalisa bagaimana dia mentadbir negeri. Dan saya percaya dia ikhlas. Misalnya dalam mesyuarat Dewan Undangan Negeri yang pertama di bawah pimpinannya, dia menegaskan bahawa dia tidak akan membuat apa-apa yang baru, tetapi dia akan melaksanakan apa-apa yang telah termaktub dalam al-Quran.

Tuan-tuan dan puan-puan tahu siapa yang saya maksudkan? Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, Menteri Besar Kelantan.


(28-02-10)
Pusat Aduan Rakyat,
PAS Kawasan Kempas,
Johor Bahru