Transkrip wawancara anak kecil dan sang MahaRaja
‘Orang’nya masih kecil. Maklum seorang kanak-kanak yang baru saja selesai UPSRnya, (Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah). Sebagai wartawan yang ditugaskan untuk meliputi peristiwa penting itu, walaupun malas@ogah, mahu tidak mahu, demi tugas dan arahan bos aku terpaksa akur juga ― mesti interbiu anak hingusan itu.
Tingginya kira-kira 3.5 kaki, ya, lebih kurang satu meter, rambut pendek, cering macam berus sabut yang emak selalu gunakan untuk memberus lantai dapur. Hidung kembang dan pesek ala-ala buah jambu mawar yang kembang tak jadi, mata pula sedikit kecil macam mata ikan keli Afrika.
Lagi? Tak begitu bersih, betis berkudis. Ini tentu banyak bermain selut macam aku kecil-kecil dulu...
Tak memberangsangkan? Memang tak memberangsang.
Tapi, pagi itu aku dan mungkin juga Wan, jurugambar kami terkejut besar! Begitu kami menguak pintu bilik tetamu, seketika aku tergamam ― anak kecil itu berpakaian kemas; berseluar panjang, kemeja panjang dan bertali leher...setia menunggu. Orang tua yang menemaninya, mungkin bapanya biasa-biasa saja, berpakaian kemas dan berketayap.
Kami bersalaman dan membereskan segala basa basi sebuah pertemuan.
Aku: Siapa nama?
Anak Kecil (AK): Mohd Saifulllah...Saiful, bukannya Say Foollah!
Kami semua terbahak-bahak. Boleh tahan anak ini, detik hatiku.
AK: Nanti nak ambil gambarkan? Inilah sebabnya bertie, berkemeja panjang dan berseluar panjang.
Aku dan Wan berpandangan. Tersenyum.
Aku: Apakah reaksi pertama apabila melihatnya?
AK: Wah...(AK merenungi kami berdua). Saya pernah juga menghendap orang tua telanjang bulat. (AK melihat ke arah bapanya). Jadi tak ada apa yang luar biasa dengan apa yang kita lihat hari itu. Biasa-biasa saja. Tapi perutnya terlebih boroinya, mungkin kurang bersukan dan terlalu banyak makan benda berlemak.
Aku: Berlemak?
AK: Mungkin yang tak halal...
Aku: Mana belajar semua ini?
AK: Di sekolahkan belajar: Tentang rasuah, tentang salah guna kuasa, tentang kezaliman...Lagi pun, kami selalu ke siber cafe.
Aku: Siapakah kami?
AK: Member-member futsal dan kaki ligan burung.
Aku: Kita balik ke peristiwa hari itu..
AK: Hari bersejarah, masa MahaRaja telanjang bulat semasa berjalan-jalan di depan rakyatnya?
Aku; Kenapakah kawan-kawan lain tidak kata apa-apa?
AK; Mana tak kata apa-apa?? Kami semua bising, tapi saya yang paling kuat buat bising!! Menjerit-jerit!!!!
Aku: Kenapa kuat buat bising?
AK: Tak malukah MahaRaja telanjang bulat...eeeeee geliiinya. Dalam bilik, bolehlah gitu.
(Sambil merapatkan mulutnya ke telingku) Nanti saya ceritakan apa yang saya tengok di bawah pusatnya...Ha..ha..ha..
Itulah transkripku ― sebahagian daripada wawancara istimewaku dengan anak kecil yang menjerit-jeit tatkala melihat sang MahaRaja bertelanjang bulat. Tatkala aku dan engkau, kita semua diam membisu walaupun jelas sekali sang MahaRaja telah membuat onar dalam negerinya, negeri kita.
Siapa kata rakyat jelata ― semuanya buta, bisu dan pelupa pula?
Siapa kata?
(Ilham datangnya dari mana saja. Cerita yang terdapat dalam “Politically correct bedtime stories” oleh James Finn Garner (Macmillan, USA 1994) bukanlah cerita baru tentang Maharaja dan baju barunya.)
No comments:
Post a Comment