Thursday, March 25, 2010

Pembangunan dan pakej pemimpin Melayu yang baik-baik





Bencana memberikan kepercayaan mutlak@total kepada para pemimpin ‘Melayu’ yang baik-baik.

(Kenapa ‘pembangunan’ dan pakej pemimpin baik-baik mesti disoroti dengan teliti!)


Ramai orang-orang Melayu sangat yakin ― malah yakin seyakin-yakinnya bahawa yang memakai label pemimpin ‘Melayu’ tulen itu baik-baik belaka. Oleh sebab itu, kata orang-orang Melayu yang sangat yakin ini, para pemimpin Melayu yang baik-baik ini sama sekali tidak akan mengkhianati bangsanya sendiri.

Kepercayaan seperti ini bukan saja berlaku di ceruk-ceruk terpencil negara kita, malah ia berlaku di mana saja, hatta di tengah-tengah ibu kota yang sangat kosmopolitan ini.


Kepercayaan total yang berada hanya ‘sedikit’ di bawah taraf mempercayai agama itu, kerap kali membawa padahnya. Lebih malang lagi kepercayaan total lagi membuta tuli seperti ini telah menutup segala ruang dan peluang kepada minda yang waras untuk mendengar suara dan pandangan yang berbeza.


Aneh tapi benar, alasan untuk menolak suara dan pandangan yang berbeza ternyata sangat mudah@naif (?) ― ini semua kerja ‘para pembangkang yang mahu membuat kacau dan memecah-belahkan masyarakat’.


Terdapat beberapa buah kampung tradisional Melayu di sekitar ibu kota kita yang telah lenyap dari muka bumi ini akibat terlalu mempercayai para pemimpin’Melayu’ yang selalu baik-baik dan pasti akan menjaga bangsanya ini.


Di samping itu, kita berpendapat bahawa terdapat satu lagi aspek kenapa orang-orang Melayu kerap kali menjadi korbannya. Rata-rata mereka masih terlalu mempercayai@taksub bahawa segala-galanya akan menjadi baik jika ada ‘pembangunan’.

Dan inilah kata azimat yang selalu digunakan oleh pemimpin yang baik-baik ― demi pembangunan. Demi pembangunan, berkorbanlah, wahai orang-orang Melayu.
Inilah latar tragedi bagaimana kampung-kampung tradisi di sekitar ibu kota telah ditelan oleh arus ‘pembangunan’.

Para penghuninya, tidak pernah sedar dan waspada bahawa ada sesuatu kuasa yang sangat perkasa yang beransur-ansur, menggusur mereka keluar.
Apakah yang boleh kita pelajari sebagai ikhtibar?

i) Perubahan dirancang (baik secara sulit atau terbuka) dan ia sentiasa saja berlaku, baik seperti kura-kura maupun secepat kilat. Putrajaya adalah contoh pembangunan ala Aladin, fast track kerana seorang penguasa agung mahunya begitu.

ii) Manusia, sebagai hewan yang berfikir tidak boleh membenarkan semuanya diwarnai oleh kuasa politik. Mereka mestilah sentiasa terbuka dan waspada. Terbuka untuk mendengar semua pandangan kerana pandangan dan suara bukan saja hak milik ekslusif para pemimpin Melayu yang baik-baik saja.

iii) Tidak ada siapa yang dapat membantu diri kita ― kecuali kita yang bangun untuk membantu diri sendiri. Apakah beberapa buah kampung di Daerah Gombak itu akan lupus dari muka bumi ini buat selama-lamanya sepertimana lupus dan pupusnya Kampung Berembang tidak lama dulu?

Ya, pupus atas hujah ‘pembangunan’ dan sebagai mangsa terhormat para pemimpin Melayu yang baik-baik itu?




No comments: