Ahmad Awang dakwa mufti Perak 'tokok tambah cerita' oleh | ||
|
Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Ahmad Awang mendakwa Tan Sri Harussani Zakaria telah menokok tambah perbualan mereka ketika mufti Perak itu menghubunginya bagi memujuk PAS untuk bersama Umno menubuhkan kerajaan perpaduan di Perak selepas pilihan raya umum 2008. Ahmad (kiri) mengulas kenyataan Harussani, dalam program dialog Zaaba di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) semalam, yang mendakwa PAS Perak dengan angkuh menolak cadangan tersebut walaupun pada dasarnya mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan dipersetujui kepimpinan parti itu. "Apa yang beliau cakap dalam dialog itu adalah tambahan kemudian. (Perkara) Itu tidak betul," katanya sambil menambah, dalam perbualan tersebut, mufti Perak itu tidak memberitahunya yang cadangan itu mendapat perkenan baginda. "Perbualan tentang ayat al-Quran dan hadis itu tidak ada. Ia direka-reka kemudiannya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini. Sebagai pesuruhjaya PAS negeri ketika itu, Ahmad mengakui - dalam perbualan telefon dengan Harussani - mufti Perak itu telah memujuknya parti itu bersama-sama Umno membentuk kerajaan perpaduan. Bagaimanapun, katanya, beliau berkeras tidak mahu bekerjasama dengan Umno kerana mendakwa Umno adalah "zalim" termasuk memberi contoh pengalaman PAS bersama dengan Umno satu ketika dahulu. Ahmad juga mengakui dalam perbualan dengan Harussani (kanan) - lebih kurang 10 minit itu - beliau membuat ketetapan untuk bersama-sama dengan DAP menubuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak. Dalam perbualan telefon itu juga, Ahmad berkata, Harussani berkata kerajaan perpaduan yang dicadangkan itu berteraskan Melayu dan Islam, sedangkan mufti Perak itu mendakwa pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Kor Ham anti-Islam. Ahmad berkata, beliau menjawab dengan berkata bahawa beliau mengenali pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Kor Ham sejak tujuh atau lapan tahun lalu, dan mengetahui beliau beragama kristian. "(Tetapi) Ngeh tidak pernah bersikap anti-Islam," katanya. Menurut Ahmad lagi, dalam perbualan tersebut, Harussani juga tidak menyatakan tentang tawaran jawatan menteri besar dan exco kepada PAS dalam kerajaan perpaduan yang dicadangkan itu. Sebaliknya, kata beliau, tawaran tersebut hanya dibuat oleh seorang wakil rakyat yang mewakili ketua badan perhubungan Umno Perak ketika itu, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali, beberapa hari selepas Pakatan Rakyat menang pilihan raya umum tersebut. Ahmad juga berkata, dalam perbualan telefon itu, beliau membidas mufti Perak yang banyak menyentuh dalam ceramahnnya mengenai gejala murtad di kalangan orang Melayu yang menganut Kristian. "Saya cakap kepadanya bahawa beliau mengenali (perdana menteri ketika itu) Tun Abdullah (Ahmad Badawi), dan pernah menghantar memorandum (mengenai gejala murtad), tapi kerajaan tak buat apa-apa pun. "Jadi kita tak boleh harap dengan Umno. Macam mana nak berpakat," katanya. Ekoran bidasannya itu, Ahmad berkata Harussani "mati akal" untuk menjawab hujahnya dan seterusnya menamatkan perbuatan mereka. | ||
PENGAJARAN
Pengajaran dari berita seperti ini (Malaysiakini versi Melayu), sekiranya ia benar:
i) Ada yang seronok melazatkan cerita
Masih ramai yang tidak dapat membezakan perkara-perkara yang paling asas dalam kehidupan kita manusia (tidak kiralah apakah agama maupun bangsanya). Contohnya, tidak bercakap benar, menokok tambah atau melazatkan cerita.
Semasa kecil dulu saya pernah mendengar seorang abang di kampung kami, menceritakan betapa lajunya dia memecut motosikalnya. Kata abang ini, saking lajunya sehinggakan, ekzos motorsikalnya itu menyala-nyala, tapi belum terbakar! Waktu itu, saya fikir-fikir betapa jaguhnya abang saya ini bermotosikal.
ii) Apakah semua ini akibat fanatisme, kebebalan atau proses BTN yang panjang?
Sekiranya seseorang manusia itu amat kuat pegangan dan kefahamannya bahawa parti A adalah yang terbaik, mungkin kerana ia berkata bahawa parti itu membela Melayu dan Islam, maka seseorang itu pasti tidak mahu lari dari parti A. Segala kerja jahat parti A tidak pernah kelihatan. Semuanya dan segala-galanya tentang parti A cukup cantik.
Apakah ini taksub, bebal, fanatik atau apa?
iii) Islam perlukan contoh, bukan cakap-cakap: Contoh
Bagaimanakah kehebatan Islam itu terserlah jika, nilai-nilai yang dijunjung tinggi oleh Islam (malah oleh agama dan budaya lain juga) seperti tidak khianat, setia kepada kawan, tidak ambil kesempatan dan lain-lain itu tidak dipedulikan.
Betapa baiknya jika ramai lagi Ahmad-Ahmad Awang dalam Pas. Syukurlah.
iv) Bagaimanakah menyuburkan kemanusiaan kalau kita begitu asyik sekali mencari perbezaan?
Kenapakah risaukan yang seseorang itu Kristian atau Hindu atau Sinhalese? Kenapakah tidak risaukan bahawa jelas sekali terdapat pemimpin besar Islam yang berpura-pura, bermuka-muka dan ber’serba-serbi’ itu, kenapa? Kenapa kita diamkan?
Apakah Islam kita juga sudah ada kelasnya seperti Undang-Undang? Satu set untuk para marhaen, rakyat biasa sementara satu set lagi untuk para pembesar negara?
Saya cadangkan supaya Pas dapat membawa peristiwa di atas sebagai kajian kes dalam usrah-usrah mereka. Kajilah apa saja yang elok dikaji, terutama sekali kenapa Pas ‘berdosa besar kepada rakyat’ apabila Pas belot!
Apakah pengaruh BTN itu tidak mendalam di dalam Pas?
No comments:
Post a Comment