Tuesday, March 9, 2010

Betulkah lompat melompat itu proses pembersihan?




Dinsman (Artikel 147, 8/3)
Betulkah lompat melompat itu proses pembersihan?

Tiba-tiba ramai orang SMS saya minta tulis mengenai peristiwa beberapa orang wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang melompat keluar parti dan masuk Umno. Saya pun jadi serba salah. Nak tulis ke? Kalau tak tulis pasal itu tak bolehkah?

Kita semua pun sudah tahu perkara itu. Tahu sangat-sangat dan faham sangat-sangat dah kenapa perkara itu berlaku. Sana sini orang bercakap pasal itu. Macam-macam analisa dan kebanyakannya menjurus kepada satu rumusan. Maka hairankah tak hairankah, tiba-tiba orang Pakatan Rakyat sendiri pun macam suka atau ‘tak apa-apa’ perkara itu berlaku.

“Eloklah juga dia berlaku sekarang,” kata kebanyakan mereka, yang menyifatkannya sebagai proses pembersihan dalaman, atau proses ‘pemutihan’, yang boleh memperkuatkan parti. “Eloklah ia berlaku sekarang daripada berlaku semasa nak pilihanraya atau selepas pilihanraya umum ke-13 nanti,” kata mereka.

Kawan saya pula berkata: “Nak kata apa lagi kalau tak kata macam itu. Untuk sedapkan hati sendiri. Cuba kalau ia tak berlaku. Macamana? Tak ada lah pula proses itu ya!”

Dan kalau kita tak melihatnya begitu, kita tentu akan menyalahkan pimpinan parti pula. Tak pandai memilih orang untuk dijadikan wakil rakyat dan sebagainya. (Itu yang saya tak berapa suka nak tulis pasal ini). Tapi bagus juga beberapa pimpinan PAS turut mengakui yang perkara begini pun pernah berlaku dalam PAS suatu masa dulu, dan kini PAS semakin mantap.

Proses pembersihan dalaman itu mungkin betul. Apatah lagi menerima hakikat bahawa ramai ahli PKR itu dulunya orang Umno juga. Jadi ‘perangai Umno’ yang masuk parti nak cari peluang kontrak, nak dapat kerja dan nak kaya itu pun adalah juga di kalangan mereka. Hal ini saya perhatikan sendiri wujudnya dalam cabang-cabang tertentu parti itu. Tak dapat dinafikan.

Dan pihak pentadbiran parti pun nampaknya sentiasa sibuk. Kadang-kadang kita pun tak faham apa yang mereka itu jadi sibuk sangat, hingga ada perkara-perkara yang sepatutnya diselesaikan pun tidak diselesaikan.

Sibuk tersangat-sangat ini pun, sampai tak boleh nak bagi sedikit waktu untuk misalnya menyelesaikan beberapa masalah yang dihadapi oleh beberapa orang ‘hardcore Reformis’ setelah kita berjaya membentuk kerajaan di negeri Selangor dan sudah mentadbir selama dua tahun, misalnya, adalah sesuatu yang tak sepatutnya berlaku. Tapi ternyata ia masih berlaku. Tak patutlah tu... (Itu contoh saja!)

Jadi ‘proses pembersihan’ itu janganlah kita hanya merumuskannya sebagai menjelaskan peristiwa negatif yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu itu sahaja, khasnya YB-YB yang telah melompat dan yang berkira-kira nak melompat itu. ‘Proses pembersihan’ itu juga mestilah dirancang dengan sungguh-sungguh oleh kita. Perlu diberi masa untuk itu. Mari kita bersihkan dan mari kita perkemaskan diri kita. (Bukan hanya parti, tapi diri kita itu yang lebih penting).

Memang ada benda yang perlu dibereskan segera. Kebanyakan ahli parti dapat merasakan itu. Ada beberapa perkara yang seperti tidak beres di dalam parti.

Saya sendiri pun tak puas hati sangat dengan hal sibuk yang melampau-lampau yang ditunjukkan oleh beberapa orang pemimpin peringkat atasan dan juga pertengahan dalam PKR. Sudah-sudahlah dengan cara itu! Ada cara lain yang lebih baik. Belajarlah mengenal yang mana patut didahulukan dan yang mana patut dikemudiankan. Rakyat bukannya suka pun tengok kita jadi terlalu sibuk tu. Jangan sampai mereka jadi meluat!

Jadi, walau bagaimanapun, cuba kita lihat masalah lompat keluar parti ini lebih daripada satu sudut, dan janganlah kita bersedap hati dengan hanya satu penjelasan. Bagaimana kalau itu memang akibat daripada usaha terancang dan bersungguh-sungguh di pihak Umno/BN era Najib Tun Razak?

Zaman Abdullah Badawi sudahpun berlalu. Zaman Dr Mahathir juga sudah berlalu. Ini sekarang kita berada dalam zaman Najib Tun Razak. Tak sama. Negeri Perak sudah berjaya dirampasnya. Apa pun kita nak kata terhadap kerja merampas kuasa di negeri Perak itu, katalah. Mereka tak akan peduli. Kita nak kata apa pun terhadap sistem kehakiman kita, katalah. Yang penting bagi mereka, kuasa sudah berada di tangan mereka.

Dan ‘proses mereka’ itu berjalan terus. Dalam kita heboh itu dan heboh ini di sana dan di sini, ‘proses mereka’ itu berjalan terus. Tahu-tahu satu orang buat hal. Tahu-tahu tiba-tiba satu orang lagi YB kita buat hal. Cuba kita tanya: itu ‘proses kita’-kah, atau itu ‘proses mereka’? Saya fikir itu bukan ‘proses kita’. Itu ‘proses mereka’.

Mereka yang merancang dan melakukannya. Kita tak buat apa-apa pun. Samalah juga berita yang mengatakan mereka sedang mengupah 300 pakar penggodam komputer dari India, untuk menghalang proses penyebaran berita dan maklumat kita melalui internet, dengan membelanjakan beratus juta RM.

Mereka peduli apa beratus juta atau beribu juta RM? Dan mereka peduli apa kita dedahkan berita itu! Yang pentingnya mereka akan buat itu. Dan apabila mereka buat itu, kita apa jadi? Kita akan kehilangan sumber penyebaran berita kita. Dan lepas itu apa akan jadi? (Fikirlah sendiri. Jangan nak fakir itu pun kita malas!)

Samalah juga kita hebohkan pasal polis dan tentera yang dibuat dua-tiga kad pengenalan. Tahu-tahu terdengar pula cerita orang-orang biasa ahli Umno pun sedang mendaftar dua-tiga alamat, sebagai persediaan menghadapi pilihanraya. Kita nak hebohkan kata Jabatan Pendaftaran pun sudah dijadikan alat Umno? Mereka peduli apa? Yang penting mereka boleh buat itu, dan itu akan memberi kemenangan kepada mereka. Kita buat apa? (Kita sekadar buat heboh? Ha, fikirlah sendiri, wahai ahli-ahli strategi!)

Dan baru-baru ini di Kota Bharu kita menyaksikan satu peristiwa biadap bagaimana seorang Timbalan Menteri boleh merampas pentas dan ‘kerja rasmi’ yang telah diatur untuk dilakukan oleh Menteri Besar, di tengah-tengah majlis yang melibatkan khalayak antarabangsa. Ha, inilah dia! Adab baru mereka dalam era Perdana Menteri yang baru ini. Mereka tak peduli akhlak. Apa yang mereka boleh rampas, mereka akan rampas.

Jadi, janganlah kita diperdayakan oleh fikiran yang nak sedapkan hati sendiri, dengan mengatakan itu semua adalah proses pembersihan yang akan memperkasakan kita. Tahu-tahu nanti kita betul-betul “dibersihkan” oleh mereka dalam PRU-13 nanti. Tak mustahil! Tak mustahil!


Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 0136362408)





No comments: