Dinsman (Artikel 148, 12/3)
Emel terbuka untuk sahabat-sahabat Cina BB
Salam sejahtera sdr-sdr….
Terlebih dahulu saya mohon maaf kerana tak dapat hadir dalam pertemuan yang pihak sdr-sdr aturkan untuk bertemu dengan pihak kami di Hotel Istana, Kuala Lumpur, pada tengahari 6 Mac. Walau bagaimanapun sdr Hasni dan sdr Kassim telah menghadirinya. (Saya ada pementasan teater di Pedas, Negeri Sembilan malam itu, dan perlu berada di sana petangnya untuk membuat persiapan).
Hasni dan Kassim telah menceritakan kepada saya pandangan dan keputusan yang telah dibuat oleh pihak sdr-sdr, berhubung dengan buku “Kumpulan Esei Budayawan Bertindak, menyokong perjuangan A Samad Said” dan acara “Ulangtahun 100,000 Rakyat Bantah PPSMI 7 Mac”. Malah Hasni bertanya saya perlukah kita hitamkan teks di kulit belakang buku Kumpulan Esei Budayawan Bertindak (KEBB), yang sdr-sdr tidak bersetuju itu? (kerana sehingga petang itu buku itu belum lagi diedarkan atau dijual kepada orang ramai).
Saya kata tidak perlu. Kenapa kita mesti hitamkan teks tersebut? Walaupun keputusan meletakkan teks tersebut di kulit belakang buku itu dibuat oleh salah seorang daripada kami (sebagai Penyusun), namun kami bertiga tetap bertanggungjawab sepenuhnya dengan keputusan itu. Dan saya tidak nampak di mana salahnya teks itu hingga boleh mendorong sdr-sdr mengambil keputusan tidak mahu hadir ke acara kita pada 7 Mac.
Memang sepatutnya ada tanda kutip dan ada nama Datuk Hassan Ahmad di bawah teks itu, kerana ia diambil daripada esei Datuk Hassan. Seperti semua esei di dalam buku tersebut tidak semestinya kami bersetuju dan bersependapat, begitu jugalah dengan esei Datuk Hassan dan petikan tersebut. Namun begitu saya tidak mahu gunakan alasan itu, kerana walau apapun alasannya, saya tetap tidak bersetuju dengan keputusan sdr-sdr untuk tidak menghadiri majlis yang kita adakan di Auditorium Muzium Selangor, Shah Alam, pada pagi 7 Mac itu.
Sebagai kawan dan sahabat dalam seni dan budaya, setelah kita berjumpa dan berbincang beberapa kali dan telahpun sama-sama menjayakan beberapa aktiviti, termasuk yang di bawah bumbung masjid dan di pinggir kubur di Permatang Pauh, Pulau Pinang, saya percaya dan beranggapan bahawa kita telah sepakat dan sefahaman dalam beberapa perkara penting. Antaranya, kita mengambil pendirian bahawa kita berkawan dan bersahabat. (Saya pun tak pasti apa bezanya dua perkataan ini, cuma saya berasa perlu menggunakan kedua-duanya sekali, tak cukup dengan memilih satu di antaranya sahaja).
Apabila kita bersetuju untuk berkawan dan bersahabat, kita tentunya tidak mahu secara sengaja hendak membangkitkan apa-apa hal yang membezakan antara kita, pada peringkat ini. Misalnya kita sengaja menangguhkan perbincangan ke atas “10 Gagasan Besar Budayawan Bertindak” yang disediakan oleh Cikgu Azmi, kerana kita tak mahu terjebak dalam perkara-perkara yang kita tahu kita belum bersedia untuk bersetuju.
Kita ada banyak perkara yang kita sudah bersetuju, dan kita tahu kita pun masih ada banyak juga lagi perkara yang kita belum bersetuju dan mungkin tidak akan bersetuju. Dan kita pun tahu, dan masing-masing pun sudah ada pengalaman dalam hal perpaduan kaum ini. Sudah beberapa kali ada percubaan dan sudah beberapa kali gagal. Kita tahu ini bukan perkara yang mudah untuk dicapai dan dikecapi hasilnya.
Dengan latarbelakang dan pengalaman pahit itu kita bersetuju untuk mencuba lagi. Saya memang terharu dengan kesanggupan itu dan sangat berterima-kasih kepada Ir Phuah Kim Heng yang memulakan inisiatifnya. Siri pertemuan kita selepas itu adalah pengalaman-pengalaman yang sungguh menyentuh hati, dan saya mula membayangkan suasana keharmonian budaya yang indah menanti di hadapan untuk kita kecapi bersama.
Ketepikanlah perkara-perkara yang boleh membezakan dan menjarakkan kita, kerana di sekeliling kita terdapat terlalu banyak perkara yang boleh mendekatkan kita dan menjadikan sekitaran kehidupan kita lebih baik dan harmoni. Saya banyak kali mengajak kawan-kawan menganjurkan acara seni persembahan bersama kita secara santai, bersahaja dan kecil-kecilan, bukan secara formal yang memerlukan persiapan rapi dan diatur dengan rigid. Tujuannya hanya untuk mendekatkan hubungan sesama kita dan saliang mengenal secara mesra.
Saya memang kurang ghairah dengan acara-acara formal seperti forum terbuka memperdebatkan budaya dan sebagainya itu, di peringkat awal. Maka banyak kali saya berkata kepada Hasni dan Kassim, suatu hari nanti kita boleh bercakap apa saja secara terbuka tanpa selindung-selindung. Kertas Cikgu Azmi yang kental dan keras Melayu dan Islamnya itupun akan kita hadapi dengan otak dan perasaan terbuka di kalangan sesama kita – Melayu, Cina dan India. Tetapi bukan sekarang. Kita perlukan sedikit masa lagi untuk saling memahami sebagai kawan dan sahabat. Kita mesti berkawan dan bersahabat terlebih dahulu. Nanti kemudian kita akan berbahas dan bertengkar sebagai kawan dan sahabat.
Tidak kami duga dan tak pernah terlintas sama sekali di fikiran kami bahawa kata-kata seperti yang tercetak di kulit belakang buku KEBB itu boleh mengganggu dan merosakkan hubungan yang kita telah bina dengan kejujuran dan keikhlasan itu. Tanyalah Hasni dan Kassim, berapa kali kami bertengkar untuk menerima atau menolak esei-esei yang diberikan oleh kawan-kawan untuk dimasukkan ke dalam buku itu.
Ada tulisan yang terang-terang mencabar dan menusuk ke jantung, kerana sangat berlawanan dengan apa yang kita perjuangkan. Namun saya berkeras supaya siarkan apa saja yang ditulis oleh kawan-kawan. Hatta esei yang kami percaya boleh diambil tindakan undang-undang oleh pihak tertentu kepada kami pun. Biar, kata saya. Kita hadapi kemungkinannya nanti. Beri peluang dan ruang untuk kawan-kawan menyatakan hati nurani mereka.
Buku KEBB itu adalah langkah awal kita para Budayawan Bertindak untuk ‘duduk bersemuka’, berforum dan bertengkar dengan dokumen yang terbentang di muka. Di dalamnya ada yang kita bersetuju dan ada yang kita tak bersetuju. Mari kita hadapi semuanya dengan dada dan kepala terbuka.
Saya masih boleh tersenyum kalau sdr-sdr mengatakan di depan muka saya bahawa sdr-sdr terguris dan luka oleh ayat-ayat yang tercetak di kulit belakang buku itu, kerana kami pun telah terguris dan luka beberapa kali oleh hal-hal yang tak perlu saya nyatakannya di sini. Tidak mengapa. Apa salahnya kita terguris dan luka! Bukankah itu sesuatu yang perlu dialami di dalam hidup ini? Tetapi sebagai kawan dan sahabat, marilah kita duduk bersama dan ubati luka kita bersama.
Jangan tinggalkan kami sendirian di tengah medan!
Namun apapun, yang berlaku telahpun berlaku. Tidak dapat diubah lagi. Samalah juga dengan Peristiwa 13 Mei itu. Ia telahpun berlaku, dan berlalu. Janganlah kita takut untuk mengakui sejarah itu. Hodoh atau cantik, sejarah adalah sejarah. Dan ia mengajar kita. Apakah kita tidak mahu belajar daripada sejarah?
Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 0136362408)
1 comment:
Seperti mana yang saya telah menulis kepada Sdr. Dinsman bahawa initiatif yang tersebut sebenarnya adalah dari Sdr. Kassim; saya hanya memberi sedikit bantuan sahaja.
Post a Comment