Reaksi Terhadap ‘Emel Terbuka Dinsman Untuk Sahabat-Sahabat Cina Budayawan Bertindak’ dalam Harakah Bilangan 1521.
Oleh: Kassim Muhamad
Kalaulah kita bertanya, bagaimanakah agaknya wajah hubungan pelbagai kaum negara yang tergambar dalam kepala kita? Apakah ia sama dengan gambaran sekumpulan orang buta yang beria-ia menanggapi ‘apa itu gajah?’ ‘Kita’ di sini membawa maksud rakyat Malaysia yang pelbagai kaum. Kalaulah soalan itu kita ajukan kepada Kerajaan Umno/BN, pemerintah de facto sejak sebelum merdeka, tentunya dengan lantang Kerajaan ini mendakwa bahawa sesungguhnya wajah hubungan antara kaum di negara ini sangat cerah, mesra dan meriah. Maknanya rakyat Malaysia itu sangat harmonis, toleran, mesra dan sangat wajar dicontohi, examplary. Kata Kerajaan BN/Umno lagi, kita bukan saja kita tidak ada masalah besar dalam hubungan kaum malah rekod hubungan harmonis pelbagai kaum ini dicemburui dan menjadi daya tarikan unik untuk industri pelancongan kita.
Kerajaan BN/Umno hanya terkejut besar melihat terjahan PRU 12 yang sebenarnya telah antara lain, dimukadimahi dengan gerakan protes massa dalam peristiwa-peristiwa Bersih, Hindraf dan GMP dalam isu PPSMI. Buat pertama kalinya sejak merdeka, BN/Umno telah kehilangan majoriti 2/3 di Parlimen di samping menelan kenyataan pahit bahawa BN/Umno juga menjadi pembangkang di empat (pada mulanya lima, sebelum dirompak) buah negeri di Semenanjung Malaysia.
Mengikut bacaan BN/Umno, keputusan ini menunjukkan betapa rakyat Malaysia, tiba-tiba saja tidak lagi bersatu padu. Dan untuk menyatukan semula rakyat yang telah berpecah belah itu, ‘dasar’ yang namanya 1Malaysia tiba-tiba muncul dengan penuh huha, bersemangat dan gencar sekali. Saking besarnya makna perpaduan itu, maka kita pun sering disalami dalam pelbagai acara dengan ‘Salam 1Malaysia’, sejak membuka mata di awal pagi sehinggalah kita meletakkan kepala semula tatkala dini harinya. Anehnya, Islam yang sebelum ini dikatakan teramat Hadhari dan begitu meresahkan ramai ummah, tiba-tiba saja telah lupus dari muka bumi yang namanya Malaysia.
Dalam kamus BN/Umno perpaduan itu ialah sokongan mutlak kepada BN/Umno dalam pilihan raya. Rakyat hanya bersatu padu jika mereka memangkah BN/Umno. Ini bermakna rakyat yang menolak BN/Umno adalah rakyat yang jelas berpecah belah. Melayu yang menyokong Pas adalah Melayu yang menyebabkan Melayu berpecah belah. Muhammad bin Abdullah telah dituduh oleh para pembesar Quraish Mekah sebagai penyebab kaum itu berpecah belah; oleh itu mestilah dihapuskan. Melayu berpecah belah kerana Umno tidak mendapat sokongan total. Begitu hebatnya logiknya perpaduan Melayu ini sehinggakan ada Mafta yang mahukan Pas (yang mungkin dilihatnya Melayu dulu, Islam kemudian) wajar segera berada di bawah naungan payung perpaduan Melayunya Umno. Dengan tindakan sebegini, Melayu pastinya dilihat gagah walaupun zalim, korup, elitis/kebangsawanan, mesra kroni, berkongsi mimpi bersama kaum kapitalis dan feudal.
Apakah maknanya semua ini? Ia membawa makna bahawa perpaduan ala BN/Umno itu sangat dibuat-buat@superficial sifatnya dan sentiasa berteraskan kepentingan politik sempit yang amat memudharatkan kelangsungan kesejahteraan hidup negara ini. Cita-cita perpaduan Umno hanyalah semata-mata bertujuan mengekal kuasa dulu, kini dan selama-lamanya. Untuk itu mereka memiliki satu senjata yang begitu ampuh; yang tanpa teragak-agak mereka gunakan setiap kali diperlukan ― tatkala Umno menghadapi masalah dalaman seperti perebutan kuasa yang sengit atau ‘terancam’ oleh kemaraan pembangkang. Senjata pecah-dan-perintah yang mereka kutip dari kitab-kitab politik penjajah British, mereka sempurna dan canggihkan untuk diamalkan terhadap rakyatnya sendiri. Ternyata sangat ampuh dan begitu berbisa sekali senjata ini. Ramai wira rakyat (yang oleh pemerintah ini dicap sebagai subversif, pelampau, ekstemis agama) yang lantang, berani dan gigih menentang, telah mereka amankan dengan pelbagai kaedah ― pujuk, rayu, tipu mau pun rasuahi. Jika tidak lut segala senjata ini, akan mereka keluarkan buah silat terakhir, ISA. Ramai yang gugur dan dilupakan kerana senjata ini. Mereka yang cintakan negara ini dilabel sebagai penjahat yang tidak dikehendaki rakyat.
Dalam konteks sejarah negara kita, tragedi nasional, 13 Mei 1969 kerap diulang-ulangi oleh sesetengah ahli politik setiap kali senjata ini ‘diperlukan’. Ramai, khususnya orang-orang Cina begitu marah apabila dan setiap kali tragedi ini diungkit-ungkit. Perbuatan menyebut-nyebut, apatah lagi dengan niat untuk mengancam dan menakut-nakutkan sebegini sangatlah tidak wajar, maka sudah semestinya tidak terlintas dalam kepala sesiapa saja ― apatah lagi dan lebih-lebih lagi yang namanya kawan dan sahabat. Itulah latar peristiwa kenapa kawan dan sahabat Cina Budayawan Bertindak memilih untuk tidak hadir pada 7 Mac 2010, hari buku “Kumpulan Esei Budayawan Bertindak” KEBB yang memuatkan blurb yang antara lain menyebut tragedi 13 Mei, dilancarkan. Mereka marah dan tersinggung. Ada yang ‘begitu terkejut dan hampir-hampir pengsan dengan blurb itu’.
Dalam konteks ini kita tidak ingin memanjangkan persoalan benar-salahnya ‘ketelanjuran’ kami bertiga (Dinsman, Hasni dan saya) membenarkan semua ini berlaku. Kita berpendapat, peristiwa melukakan kawan dan sahabat ini menyerlahkan lagi taraf dan tahap kedudukan sebenar kehebatan ‘keharmonian hubungan kaum’ yang oleh Kerajaan begitu sering didabik-dabikkan itu. Bagi kelompok yang sangat bersungguh-sungguh mahu memulakan budaya baru dalam hubungan antara kaum, masalahnya sudah begitu besar sekali. Dalam konteks ini, seorang kawan dan sahabat (Cina), sejak kami sama-sama menjadi jurutera JPS dulu sering menyebut begini: Alangkah ironis hidup ini, orang-orang yang matlamatnya memperolehi sebanyak mungkin wang/duit sangat mudah bersatu dan bergabung tenaga, mengejar matlamat itu. Dan mereka selalunya berhasil. Sementara orang-orang yang niatnya ikhlas iaitu mahu menegakkan keadilan dan kesaksamaan, sering kali pula terbentur dengan tembok-tembok ego mereka sendiri.
Alangkah tepatnya pemerhatian ini. Inilah cabaran yang paling besar untuk mereka yang berada dalam wadah politik seperti Pakatan Rakyat: Mendepani pelbagai cabaran demi untuk menegakkan kebenaran. Benarlah, adalah jauh lebih mudah mengurus hal-hal yang tidak abstrak@mentah seperti wang ringgit, harta, habuan dan pangkat daripada bermimpikan utopia yang syumul. Manusia yang mengejar laba dengan memakai seragam kebinatangannya lebih mudah bersatu dalam perjuangan mereka jika dibandingkan dengan mereka yang menjunjung idealisme.
Apa pun yang mahu dihujahkan di sini, apakah wajar kita menjadi serik dan patah hati setiap kali kita tersandung dan tersungkur dalam perjalanan kita mengejar cita-cita murni ini? Apakah kerja buat yang baik-baik seperti membina hubungan kaum yang sejati, tanpa kepura-puraan itu mesti ditinggalkan kerana kita terbentur entah oleh masalah apa?
Akhir sekali, kita tentu sangat arif bahawa kerja mulia seperti memupuk kesefahaman dan kebaikan yang belum wujud itu jauh lebih sukar, malah teramat sukar jika dibandingkan dengan perbuatan meruntuhkan kebaikan yang telah dibina beratus-ratus tahun lamanya. Manusia sebagai makhluk beremosi sangat teruja dengan idea-idea yang nyaring nyala emosinya. Itulah sebabnya kenapa kita dapati kisah-kisah “Ketuanan”, ancaman, hak, muafakat itu tiba-tiba dikitar semula dengan penuh gegak gempita walaupun kita tahu bahawa para penggerak utamanya (sejak zaman Tunku lagi itu) begitu bernafsu sekali mahu menghidupkan peluangnya supaya ‘dianya’ terus relevan walaupun saban hari ruang untuk tipu daya itu kian terserlah dan nafasnya juga semakin sesak.
Peluang mereka dan ‘dianya’ untuk melelong isu-isu yang mudah menyala itu kian disedari pembohongannya dan kepura-puraannya oleh ramai rakyat yang semakin celik dan sedar. Demi kesejahteraan dan kelangsungan keturunan kita kelak, pemimpin pembohong begini mestilah diperangi habis-habisan. Bukankah gerombolan pemimpin ini telah sekian lama hidup dengan menghisap darah yang berbuak-buak ― darah rakyat yang keluar dari luka rakyat jelata yang telah sekian lama mereka dipecah-perintah?
Kepada ‘kawan dan sahabat’ Cina Budayawan Bertindak, relakah kita biarkan semua ini berkekalan hanya kerana ada kaki bertatih yang tersandung ― seperti yang kita alami baru-baru ini?
Marilah kita teruskan perjalanan yang panjang ini walaupun terpaksa merangkak-rangkak.
No comments:
Post a Comment