Saturday, April 3, 2010

Katak xxxxx dan samseng Kg Dusun


Dalam sejarah Kampung Dusun, pengalaman membakar jerumum, meniup sabut basah boleh dikatakan keistimewaan@speciality para samseng kampung. Penduduk sangat suka kerana sabut yang basah sudah pasti akan mengeluarkan asap yang maha banyak.


Asap yang maha banyak pula dapat menghalau nyamuk dari terus menghurung lembu, kerbau dan kambing dalam kandang. Oleh sebab itu, para penduduk kampung sangat suka apabila para samseng membuat asap yang banyak.


Lama juga orang-orang kampung tertipu dengan perusahaan para samseng pembuat asap yang banyak ini. Mereka baru tersedar apabila masing-masing perasan yang lembu, kerbau dan kambing mereka selalu saja hilang dalam asap yang tebal. Rupa-rupanya para samseng ini ada pelan sampingan lain tatkala membuat asap yang banyak.


Oleh kerana seluruh penduduk kampung telah mensyaki samseng-samseng berbuat jahat daripada berbuat baik, maka para samseng Kampung Dusun pun terpaksa memikirkan projek baru yang lebih viable. Mereka terpaksa berhenti mengusahakan asap yang banyak. Mereka berhenti membakar jerumun.


Dalam Kampung Dusun ini juga ada seorang tua lama, seorang keturunan orang besar-besar (ya, bukan orang-orang besar), seorang Ku ― Ku Ti@Tee. Ku Ti pernah jadi Penghulu Kampung. Sebagai seorang bekas orang besar-besar, maka kata-katanya masih lagi berbisa.


“Sekarang ni, orang sudah teruja untuk kembali kepada alam. Orang sukakan segala yang alamiah. Contohnya muzik alam..” kata Ku Ti pada kumpulan samseng.


Mat Sembab, Kepala Samseng angguk-angguk. Tak sia-sia fikir Mat Sembab. Nyata sekali kebijaksanaannya orang tua ini.


“Kau orang import saja katak. Lagi besar perut katak lagi bagus. Import banyak-banyak. Kurung dalam tong, kemudian percik air banyak-banyak di luar tong. Bila katak ingat hujan dah nak mai, katak akan berbunyi. Haha...masa tu, hempa kena bagi tau semua orang kampung ― Inilah muzik alam...” Demikianlah idea Ku Ti tentang perusahaan muzik alam.



Diringkaskan cerita, maka dimportlah, dikurungi dan disiramilah air di luar tong yang berisi katak-katak besar import itu.



Sayang sekali, suara nyanyian katak-katak itu tersedu-sedu, terputus-putus. Muzik yang tercipta tidaklah sesedap@semerdu seperti sepatutnya.


Semak punya semak, check punya check...rupa-rupanya, akhirnya diketahuilah bahawa semua katak yang diimport itu dari spesies gagap....!!!



(Mohon maaf kepada yang ......, bukan nak menghina tapi nak cerita perihal katak-katak yang gemar sekali melompat-lompat)






No comments: