Tuesday, November 23, 2010

Pemerhati di luar pagar


Kalaulah sang pengadil mengkelan (get choked) saraf kepalanya, apakah pilihan kita?


Pasukan Tuan terlibat dalam pertandingan kalah-mati gusti otak anjuran Sharif Dol@Kepala Samseng Kampung Dusun. Ya, satu pertandingan untuk merebut Piala Otak Paling Otai Samseng Daerah. Entah kenapa, entah bagaimana pula, Tuan telah diangkat menjadi jurulatih pasukan gusti otaknya kampung Tuan.  

Tuan dipilih mungkin, ya mungkin,  kerana Tuanlah yang memiliki otak paling geliga dalam seluruh kampung.  Tapi khabarnya,  Tuan juga memiliki otak yang paling bagus dalam selok belok permainan mengherot-petotkan otak.

Apa pun, Tuan adalah jurulatih pilihan para penduduk kampung.  

Sebelum pertandingan gusti otak peringkat daerah itu bermula, Tuan sudah pun mendengar cakap-cakap bahawa ada dalam kalangan saf pengadil itu, memang terdapat para pengadil yang tidak telus@berat sebelah@herot-petot otaknya.

Apakah pilihan Tuan? 

Ya, apakah pilihan Tuan tatkala memakai topi seorang pengurus pasukan, atau tatkala Tuan bertindak sebagai seorang ahli sukan yang profesional,  atau tatkala Tuan hadir sebagai manusia yang luhur dan kental pegangan agamanya?


ii.


Pada fikiran tuan, apakah rakyat negara ini s(m)udah lupa pada kata-kata keramat yang cukup tersohor satu ketika dulu itu?  Kata-kata seorang mantan al-marhum Ketua Hakim Negera, “Saya tidak mahu diadili oleh mahkamah negara ini.”

Masihkah tuan ingat akan kata-kata itu?  

Dalam suasana mesin politik lagi sasau, mabuk darah lantas mengamuk semahu-mahunya, apa lagi pilihan-pilihan yang ditinggalkan kepada kita?

Apakah kita hanya mampu melihat, melihat, melihat dan ― terus terusan melihat sebagai pemerhati yang tidak terdaya?

Apakah benar bahawa peranan kita yang paling bagus ialah sebagai pemerhati setia di luar gelanggang?  Pemerhati lumpuh yang terkakang ― kedua-dua biji mata yang terbeliak, tegak lurus memantau langit? 

Kita perlu berbuat begitu kerana semua ini adalah padang undang-undang, medan khusus yang hanya layak untuk para pemain hukum saja?

Apakah benar ― bahawa itulah saja pilihan yang kita miliki?

Kepada mereka yang pakar dalam bidang perundangan, apakah jawapan@nasihat yang paling baik yang berupaya tuan-tuan berikan?



iii.


Sesungguhnya, kita semakin pelik dengan rumah undang-undang dan bau tengik yang rembes dari hati perutnya...



No comments: