Monday, November 22, 2010

Para seniman, budayawan dan cendekiawan, silalah bersama


KUSAYANGI 
KAMPUNGKU INI


kusayangi
kampungku ini
kampung kecil
di tengah kota
dengan sungai malas
sesekali mengganas
ketika kilat hujan
mencurah basah;
entahlah
tangan hitam
siapakah yang
menghanyutkan sampah
di sungai kampungku ini
sehingga airnya
melimpah tebing. 


keputusan tercatat
di tinta dakwat
sang tiran
jentolak raksasa
akan meranapkan
kampungku
dan sungainya
akan mengalirkan
air darah
di tengah kotamu.


harga pembangunan itu
amat mahal
sedangkan kampungku
tak ada 
sumber ekonomi
namanya juga 
tak semegah klcc


aku tiada suara
kalau kampungku
terbenam juga 
di dasar bumi,
lidah dan kuasa
undi dan janji
tak diperlukan lagi.


RAHIMIDIN ZAHARI
Bandar Dalam



Bila saya memohon izin untuk mengepos sajak di atas ke laman ini, Sdr Rahimidin menjawab pesanan ringkas saya begini:

'Ok tu. sy tulis penuh hemah tu sbg org yg setiap hari melalui kg tersebut'


Ya buat para seniman, budayawan dan cendiakawan sekalian,  silalah bersama Paksi, (Seniman Paksi Rakyat), dan BB, (Budayawan Bertindak) pada awal 1 Muharram 1432H, bersamaan 7 Disember 2010  di Kampong Bandar Dalam. Insyallah.


Marilah kita berbicara perihal bagaimana kampong-kampong yang tertegak sejak satu ratus lima puluh tahun dulu ini, bakal harungi masa depannya? 

Apakah segala yang tradisi itu akan terus-terusan diintai-diamati dengan penuh nafsu saksama oleh mata julingnya mesin-mesin pembangunan itu? 

Apakah benar bahawa pembangunan itu hanya akan lengkap dan barulah lengkap apabila segala yang tradisi itu dimusnahkan? 

Untuk membangun itu, agaknya otak siapakah yang mesin-mesin itu gunakan? 

1 comment:

Anonymous said...

terasa juga nak pi tapi badan dah tua.

tapi ramai penyaer masih takut kepada BN.
haa...haaa