Wednesday, December 22, 2010

Bangsa yang dhaif dengan dasar yang dhaif?


Dasar untuk bangsa yang dhaif  atau mendhaifkan satu bangsa?


Apabila kita teliti komen-komen sesetengah pembaca tentang betapa bertuahnya orang-orang Melayu negara ini jika dibandingkan dengan orang-orang bukan Melayu, kita akan temui ciri-ciri, pola atau kecenderungan berfikir tertentu.

Misalnya,  kita dapat merasakan betapa sesetengah pembaca itu cenderung berpendapat bahawa:

i)  Berapa beruntungnya menjadi Melayu kerana sentiasa saja dinaungi oleh pemerintahnya.  Oleh sebab dasar naungan yang amat kuat ini, maka orang-orang Melayu sentiasa saja mendapat dan diberikan peluang, perlindungan dan dana daripada pemerintah. 

Ini bermakna dasar dan polisi naungan ini sentiasa memastikan ‘asalkan kamu Melayu’,  kamu tidak perlu bimbang kerana di sana sudah tersedia segala macam kesempatan itu ― kerap kali dalam dulang emas pula.

ii) Dasar/polisi seumpama ini sangatlah tidak adil kepada orang-orang bukan Melayu kerana mereka juga sepatutnya diberikan peluang untuk menikmati peluang/dana yang terhad itu.  Bukankah mereka juga rakyat@warga negara negara ini yang membayar cukai?

iii) Dasar/polisi yang sedemikian ini sangat membazir kerana kekayaaan negara yang terhad itu tidak dimanfaatkan dengan dan secara optima, berkesan, adil dan saksama oleh pemerintah.  Dasar ‘asal kamu Melayu’ tidak selalunya menjamin bahawa yang paling layaklah diberikan bantuan.

Dalam membicarakan persoalan ini, tentunya terdapat banyak aspek yang boleh dibincangkan dan diperdebatkan oleh pelbagai pihak dengan melihat berbagai-bagai sudut pandangan pula.   
    
Namun bukan persoalan itu yang mahu kita sentuh di sini dan kali ini.  Kita sekadar ingin bertanya:

a) Apakah tanggapan bahawa ‘asalkan Melayu, kamu dapat semuanya’ itu adalah hakikat yang berlaku di lapangan sana ― di luar bilik para pembuat dasar?

Maksudnya SEMUA orang Melayu pasti akan perolehi segala habuan yang disediakan dan sesungguhnya mereka begitu bertuah menjadi orang-orang Melayu. 

Apakah tanggapan ini seratus peratus TEPAT?   

Setelah itu kita juga mungkin dapat bertanya:

b) Apakah bagus, tepat dan ― berkesan dasar yang sedemikian rupa itu sehinggakan dasar tersebut wajar diamalkan walaupun beratus-ratus tahun dari sekarang?  Ertinya ‘orang-orang Melayu’ itu mestilah terus diklaskan sebagai makhluk dhaif yang mesti dilindungi sehingga entah sampai bila..? 

Dengan kata lain, dalam tempoh satu abad lagi atau mungkin selama-lamanya, orang-orang Melayu itu adalah sejenis spesies hidupan yang tidak ada kudratnya sendiri untuk bersaing ― oleh sebab itu mereka mestilah dilindungi. 

Hujah yang jelas kenapa perlindungan ini masih diperlukan ialah BUKTI kegagalan setengah abad yang lalu.

c) Soalan tambahan

Apakah pemerintah kita sangat yakin bahawa segala-gala yang dilakukannya selama setengah abad yang lalu itu tepat dan betul?

Atau apakah dasar ini TIDAK menjadi dan dijadikan kuda tunggangan, topeng/kedok atau alat oleh sesetengah pihak untuk mengaut segala apa yang ada dengan cop Melayunya?

Kenapalah agaknya sesetengah orang yang ‘masuk Melayu’ itu terlalulah sangat ghairahnya mahu menjadi ‘Melayu’ sehinggakan menggunakan segala macam hujah yang pelik-pelik pula untuk menjustifikasikannya?

Kenapakah agaknya faktor bangsa dan keturunan ini sangat dominan dalam pemerintahan negara kita sehinggakan ia perlu dikitar berulang-ulang kali, setiap lima tahun sekali?


ii.


Mungkin soalan seperti ini sebenarnya lewah/redundant kerana di sana sudah ada jawapannya ― “kini, dulu dan selamanya.”

Atau orang-orang seperti penulis ini sebenarnya terlalu iri hati dan dengki, maka persoalan-persoalan yang sudah dipatri mati dalam perlembagaan pun masih mahu diungkit-ungkit...lagi?





No comments: