Thursday, December 23, 2010

Janji pembangkang

Janji 100 hari Pakatan Rakyat:  Umno/BN nyata gumbira!
(renungan marhaen yang didahulukan)

Janji Pertama:

1.  Memansuhkan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri)

Umno/BN:

Sukar dilaksanakan kerana cadangan ini bakal melibatkan kos yang tinggi.  Sebenarnya dan malang sekali, rakyat masih lagi tidak dapat melihat dengan jelas bagaimana segala pendirian  menentang, mengkritik, mencerca malah menfitnah  pemerintahan Umno/BN oleh Pakatan Rakyat dan segala kelompok yang menyebelahinya itu, sangat mahal kos pelaksanaannya. 

Hujah utama mempertahankan ISA ini berlandaskan rasionale bahawa segala pandangan, kritikan para pengkritik Umno/BN berhubung keadah pengurusan keamanan negara oleh Umno/BN ini tidaklah benar dan fitnah belaka.  Dan percayalah fitnah ini tidaklah menguntungkan rakyat jelata.  

Sebabnya mudah saja ― pemerintah sedia ada sentiasa saja berkerja keras menjamin kesejahteraan rakyatnya.  

Cadangan para pengkritik yang tidak pernah, walaupun satu hari,  memerintah kerajaan pusat ini,  sangat memudharatkan Umno/BN yang sudahpun lebih setengah abad memimpin negara ini.  Rakyat juga mestilah sedar hakikat bahawa mengurus keselamatan negara ini bukanlah kerja mudah dan boleh pakai kaedah ‘cuba dan try’ saja.   

Yang lebih parah lagi ialah hakikat nyata bahawa sesungguhnya para pengkritik dan penentang pemerintah tidak boleh lagi diancam, digertak, ditangkap dan dikurung seperti keadaan sedia ada/sekarang ini, iaitu dengan sewenang-wenangnya dengan menggunakan apa saja justifikasi, hujah dan alasan demi keselamatan negara.

Bukankah cadangan memansuhkan ISA ini tidak baik― sangat menggerunkan sesebuah kerajaan yang baik-baik seperti Umno/BN?    

Sebagai contoh cubalah kita lihat masalah yang terpaksa dihadapi oleh seorang cikgu tatkala mengurus anak-anak muridnya yang nakal dalam kelasnya. Ya, ibarat seorang cikgu dengan pengurusan kelasnya.  Masalah pengurusan kelas menjadi sangat sukar jika rotan mahu dirampas daripada tangan cikgu.

ISA, seperti rotan,  mestilah terus kekal supaya anak-anak didik tidak nakal dan membuat bising di dalam kelas.

(Keputusan pihak Umno/BN: Cadangan memansuhkan ISA adalah aksi bunuh diri yang sangat menggerunkan dan sangat membahayakan Umno/BN.  Oleh sebab itu  ― cadangan ini MESTIlah TOLAK mentah-mentah)

Pakatan Rakyat: 

Siapakah yang mahu dan perlu digertak oleh para pemimpin Pakatan Rakyat apabila mereka berkuasa kelak?  Untuk Pakatan Rakyat,  tidak ada rakyatnya (belum lagi?) yang mahu dijadikan sandera/musuh yang perlu dicengkam, diancam, digertak, didera dan dikurung. 

Sementelahan pula ramai dalam kalangan para pemimpin Pakatan Rakyat yang pernah menikmati ― betapa nikmatnya Akta ini,  Akta yang ― katanya digunakan demi untuk menjaga keselamatan negara ini.  Boleh jadi juga berdasarkan pengalaman yang penuh nikmat itu, mereka@para pemimpin Pakatan Rakyat berpendapat bahawa para pengkritik pemerintah tidaklah perlu menikmati nikmat yang sebegitu sedap itu.  Tak perlu. 

(Keputusan: Pakatan Rakyat mahu ISA dihapuskan dan itulah sebabnya ia menjadi satu daripada sepuluh perkara yang ditawarkan kepada rakyat)


Janji Kedua:

2. Mengarahkan Khazanah Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuhraya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuhraya oleh kerajaaan dengan tujuan menghapuskan tol.


Umno/BN:

Hapuskan tol?  Biar betul!

Sekiranya cadangan pengambilalihan ini dilaksanakan, bagaimanakah mahu menjawab semua masalah yang timbul kepada sahabat-sahabat niagawan dalam Umno/BN?  Apakah segala bentuk keuntungan, manfaat dan faedah dari perniagaan Tol yang gerenti-amat-menguntungkan itu bakal dipunahkan, dilupuskan dan dimusnahkan begitu saja?

Bayangkanlah segala jerih payah, termasuk darah dan air mata dan segala usaha gigih pengswastaan yang telah dirancang ―demi kepentingan rakyat itu ― punah dalam sekelip mata saja dengan cadangan anti-niagawan seperti ini?  Waraskah dilayan pemikiran yang sedemikian rupa itu?

(Keputusan:  Kita perlu korek dan gali segala alasan yang boleh dfikirkan di atas muka bumi ini untuk menolak cadangan ini.  Ringkas kata ― cadangan mesti ditolak!)    

Pakatan Rakyat:

Untuk apa berhujah panjang?  Bukankah rakyatlah yang mendapat manfaatnya?


ii.

Ada lapan lagi cadangan yang sangat meresahkan yang perlu dihujah satu persatu kenapa Pakatan Rakyat hanya berbohong@auta.   

Yang namanya Pakatan Rakyat itu, pernahkah mereka memerintah Kerajaan Pusat?  Perintah negeri adalah, itu pun baru lima buah (tolak satu).  Percayalah, memerintah negeri tak sama dengan memerintah kerajaan Pusat. 

Bayangkanlah jika kerajaan Pakatan Rakyat pegang SELURUH khazanah negara ini, tentulah kacau bilau Malaysia kita jadinya. 

Mampukah Pakatan Rakyat memerintah negara kita?

Marilah kita lihat satu contoh yang mudah ― pengurusan air.  Belum pun cukup memerintah satu penggal sudah cipta banyak masalah ― air yang boleh diniagakan tidak mahu diniagakan! 

Alangkah teruknya sikap yang ditunjukkan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat ini, sumber alam yang sangat berharga dan semakin sukar diperolehi itu diBERIKAN percuma sedangkan ia boleh dan sepatutnya diniagakan.  (Nasib baik juga udara tidak boleh dibotolkan dan diswastakan agar rakyat mendapat nikmatnya.)   

Layakkah orang-orang seperti ini kita serahkan segala khazanah negara yang berharga untuk diurus?  Bagaimanakah kita boleh cepat-cepat maju dan mencapai taraf negara yang maju, jika beginilah caranya mereka memerintah?

Seruan kita cukup jelas  ― Umno/BN itu pemerintah sejak merdeka, sudah banyak pula pengalamannya, sudah amat jelas pula prestasi dan kemampuannya.

Kita menyeru agar janganlah rakyat terpedaya dan percayakan janji-janji palsu orang yang belum berpengalaman memerintah ini.  Rakyat jangan sampai percayakan auta Pakatan Rakyat kerana ini tidak baik untuk gabungan pakatan para niagawan, siasahwan....oops, maaf ― untuk rakyat.

(Kita baru saja bentang dua cadangan Pakatan Rakyat untuk renungan bersama, dan masih ada lagi lapan cadangannya yang belum kita bincang.)


iii.

Apakah kita pelik,  jika ― saat ini Umno/BN tersangatlah gumbira dengan cadangan 100 Hari Pakatan Rakyat itu?

Ayuh...pemerintah sejak merdeka,  silalah kerunas dan kerosek jawapannya dan ― jangan pula tak dijawab.




No comments: