Catatan ringkas calon penghuni syurga (cps)
Hari yang bersejarah itu dia merasakan bagaimana ketenangan yang luar biasa telah merayap-rayap, dalam dan luar dirinya ― ketenangan yang tanpa disuruh-suruh itu, gagah sekali menyapa mentari pagi awal Hijrah 1432 itu. Ya, benar dia merasakan bagaimana tekad dan azam yang disemainya bertahun-tahun itu tumbuhbesar, berpalut sebati dalam jiwa raganya, telah memperkasakannya sebagai Muslim sejati.
Tekad dan azam yang telah nyata tertegak ― tegak dan lurusnya yang tidak boleh dibengkok-lenturkan, apatah lagi perdagangkan.
Entrinya dalam buku harian awal Hijrah itu masih tebal dan pekat dakwat hitam kekal:
Awal Hijrah:
Aku bersumpah pada diriku tidak akan lagi memegang walaupun ― biar pun sesen wang yang tercemar dengan sentuhan sebarang peniaga babi. Sesungguhnya haram bagiku berurusan dengan babi dan segala yang berkaitan dengannya.
Akan kuharamkan diriku terlibat apatah lagi bercampur gaul dengan segala unsur yang syirik dan dikutuk Ilahi. Akan kupastikan bahawa agamaku itu sentiasa teratas dan tidak bercampur-dicampur-digaulkan dengan segala yang najis dan tidak diredhai Ilahi.
Dua Hijrah:
Isi kandung kertas kerja tentang betapa bahayanya memperlekehkan Islam telahpun kubina kerangkanya: Khalayak akan aku maklumkan perihal kaedah beragama yang penuh dengan dosa-dosa, kaedah yang sedang diperjuangkan oleh sesetengah kelompok dalam masyarakat ini. Sepertimana yang dijelaskan oleh Tan Sri dalam siri perbincangan kami, kedudukan dan keagungan Islam itu mesti kuperbetulkan dan kunyatakan dengan jelas.
Hijrah, ketiga:
Aku telah memasukkan aspek Islam yang ‘tidak Islam’ sepertimana yang diminta. Kata Tan Sri, inilah yang perlu kutekankan dalam seminar nanti. Aku dapat fahami kenapa Tan Sri bosku itu begitu risau dengan sikap terlalu berjinak-jinaknya dengan Islam yang dimainkan dan diamalkan oleh sesetengah-tengah pihak itu ― permainan yang boleh mengelirukan ummah dan salah satu kekeliruannya yang serius itu ialah ‘pluralisme.’
Hijrah, keempat:
Tan Sri kelihatan terus risau dengan sikap dan pendekatan sesetengah pihak yang mahu menjuarai Islam sehinggakan lupa dan seolah-olah mahu membelakangkan kewibawaan Jabatan sebagai pihak yang paling berkuasa dalam segala urusan dan maslahah Islam ini.
ii.
Pagi seminarnya dia sedikit kalut; jubah terbaru yang mahu diperagakannya semasa pembentangan kertas utama seminar, dikencing Joni teman sekatil kesayangan Intan, anaknya. Sudah lama dia menyuruh isterinya kebirikan saja kucing jantan itu...
Dia tidak faham entah kenapa orang begitu ghairah sekali memelihara kucing walaupun kerjanya hanya makan tidur, kencing dan berak ―merata-rata pula. Bukahkah lebih bagus ternak khinzir sepertimana yang dilakukannya dengan Datuk XYZ?
Konsentrasinya sikit terganggu dengan peristiwa hancingnya kencing Joni. Tan Sri, bosnya dapat merasakan, Dr cps resah.
iii
Sehari selepas berita tentang kertas kerja pluralisme disiarkan oleh media pemerintah, dia menerima banyak sekali pesanan ringkas:
‘U religious bigot, take away wang babi from ur pay...celaku lu “
‘Apakah korupsi, zalim, tirani tidak penting diperangi Islam?? Dasar kaki... ”
Sms itu terus mencurah-curah, isterinya menjadi semakin resah, Joni makin menjadi-jadi memancut di mana-mana. Seluruh rumah dipenuhi dengan tengiknya kencing Joni.
“Abang, kenapakah hpnya tak renti-renti berbunyi?”
Sejak itu dia ― Dr cps telah mematikan telefon bimbitnya.
No comments:
Post a Comment