Saturday, December 11, 2010

Melatih rakyat bertanya


Melatih rakyat kita bertanya: Tanyakan soalan-soalan yang tepat, jitu atau mungkin saja bodoh


Bila dia ditanya tentang Kampung Warisan, Kuala Lumpur yang baru kami lewati sebentar tadi, responsnya begini:

Kenapakah mereka tidak memohon untuk mendapatkan TOLnya?  Maksudnya ialah jika para penduduk kampung-kampung itu memohon TOLnya,  nescaya mereka akan diberikan taraf TOLnya. 

Bila kita bertanya apakah dia pasti, dia tidak menjawab.  Lalu kita ketengahkan pandangan, “Bukankah tanah itu modal politik?”

Ya, tanah adalah umpan yang digunakan secara konsisten setiap lima tahun sekali.  Umpan yang katanya bersalut ugutan itu,  ialah di antara modal pilihan raya yang tidak pernah mereka lupa bisikkan ke telinga para penduduk kampung.

Mungkin dia sengaja tidak membalas terjahan pandangan sedemikian rupa kerana dia tidak percaya. Atau mungkin juga dia tidak berminat untuk bertegang urat dengan pelanggannya.         

Bila ditanya tentang prestasi pemimpin Pakatan di Selangor di daerahnya, dia menyebut bahawa: 

Mereka yang baru mendapatkan kuasa ini, khususnya pemimpin di peringkat akar umbinya, mereka ‘yang di bawah itu’ lebih cenderung mahu membalas dendam dan menunjukkan kuasanya daripada memberikan khidmat yang sempurna.  Lalu diberikannya contoh tentang kekalutan kaedah penggunaan Balai Raya ‘yang dikunci’ dan pengurusannya oleh mereka yang terdiri dari puak-kelompok yang berbeza, satunya dari Parti A, sementara yang satu lagi dari Parti B.

Mesejnya ― para pemimpin akar umbi ini bercelaru dan lebih ghairah mahu menunjukkan kuasa daripada menyenangkan urusan penduduk kampung. 

Namun dia tidak terlupa menambah,  bahawa Datuk X, sang EXCO itu baik dan bagus,  cuma orang-orang bawahannya yang tidak betul!
  
Bila ditanya bagaimana pula dengan kenaikan harga gas terbaru yang diumumkan oleh pemerintah, dia memaklumkan bahawa harga gas untuk kenderaannya juga sudah naik.  Namun dia lebih berminat dan tidak lupa menambah bahawa apabila ‘harga tepung naik dua puluh sen sekilo, harga sekeping roti canai telah naik dari 70 sen sekeping kepada 90 sen.'   

‘Adakah itu munasabah?’ demikianlah dia bertanya.

Baginya penebar roti canai lebih melampau daripada pemerintahnya. 

ii.

Itulah dunia sekelilingnya, dunia sepertimana yang diamati oleh seorang pemandu teksi kota metropolitan Kuala Lumpur.  Susun lapis sudut pandangan seperti ini bukanlah tidak bersebab kerana selama bertahun-tahun dia mencari makan dengan mencari penumpang, mungkin itulah yang didengarinya, diberitahu dan dijelaskan kepadanya. 

Bukan saja pemandu teksi yang bertahun-tahun diberitahu bahawa inilah pemerintah yang terbaik untuk orang-orang Melayu dan ― mereka, iaitu orang-orang Melayu pastinya bakal ditimpa kecelakaan yang sangat fatal (seperti kehilangan kuasa) jika menolak pemerintah yang sedia ada ini. 

Hujah yang sering kita dengar ialah, “Apabila mengkritik pemerintah, cubalah beringat-ingat bahawa apa lagi yang pemerintah ini TIDAK lakukan demi untuk membantu orang-orang Melayu?”  Soalan-soalan seumpama ini kadang-kadang membuat sesetengah orang mati akal,  lalu akur bahawa inilah pemerintah yang terbaik ― khususnya untuk orang-orang Melayu.

Yang lupa ditanya dan dipersoalkan oleh sesetengah orang ini ialah lapis-lapis soalan berikutnya, contohnya:

Siapakah yang mendapat manfaat paling banyak, paling terdahulu dan paling besar daripada  dasar 'pemerintah yang sentiasa menolong Melayu itu'?

Kenapakah rakyat ― termasuk yang Melayunya itu, semakin kurus penghidupannya walaupun gembar gemburnya ialah di luar sana, terdapat nikmat yang melimpah ruah, rezekinya berlambak-lambak dan habuan pula sentiasa bertaburan; hanya mereka yang tidak ulet usahanya saja yang tidak dapat menuai nikmat dan habuan itu. 

Apakah benar pernyataan seperti ini?  

iii

Di antara cabaran yang dihadapi oleh mereka yang bercita-cita mahu  mengambilalih tampuk pemerintahan-pentadbiran pusat ialah kemampuan kelompok alternatif ini menjelaskan,  sejelas-jelasnya kepada rakyat jelata kenapakah rakyat jelata yang menanggung segala beban kehidupan seharian itu.

Di antara persoalannya,  mungkin:

Kenapakah kita katakan bahawa pemerintah sedia ada itu, tersangatlah membazir. 

Apakah makna dan kesannya jika harga sebuah kapal selam Perancis itu sekian-sekian bilion kosnya. 

Kenapakah kapal selam itu mesti dibeli oleh pemerintah?

Jika dihalusi selapis lagi, berapa besarkah satu bilion itu.  (Ada berapa angka ‘nol’nya dalam satu bilion itu?)

Jika wang itu digunakan untuk pendidikan (PTPTN), berapa ramaikah anak-anak kita yang akan mendapat manfaatnya?

Apa itu IPP, Independent Power Plant, dan kenapakah rakyat menentang subsidi yang diberikan kepada IPP ini.

Kenapa dan bagaimanakah latar sejarahnya sehingga subsidi yang membebankan negara itu sampai dianugerahkan kepada IPP?

Apakah hubungan IPP, TNB dan para penguasa?

Yang tidak kurang pentingnya, ialah siapakah para ‘pemilik’ IPP itu dan bagaimanakah mereka mendapat rezeki terpijak itu?

Kenapakah harga kereta kita,  relatif sangat membebankan rakyat jelata?

Secara purata berapa peratuskah daripada pendapatan sebulan, yang terpaksa anak-anak kita yang baru bekerja,  sisihkan untuk menanggung beban hutang kereta?

Apakah dasar kerajaan berhubung industri kereta ini dan apakah pemerintah ini tidak bertanggungjawab terhadap kos harga kereta yang tinggi itu?

Jika dibandingkan dengan negara-negara lain yang sekelas dengan kita, bagaimanakah kedudukan kita dalam pengurusan  lebuh raya berbayar, tv satelit berbayar,  ipts berbayar, hospital swasta berbayar...?

Bagaimanakah nasib dan kedudukan para pekerja kita dan mengapakah dasar gaji  minima itu begitu sukar sekali menjadi kenyataan?  Apakah halangannya sama dan seperti sukarnya menutup kilang-kilang plastik yang katanya dimiliki oleh orang-orang tertentu?

Kenapakah bank-bank kita kelihatannya tidak begitu ghairah mendapatkan ISO itu dan ini?

Kenapakah pemerintah kita yang sedia ada ini begitu gemar sekali dengan hiburan?

Kenapakah prestasi sukan kita jauh tertinggal?  Kenapakah orang-orang terkenal gemar beristerikan artis?  Kenapakah trend ini seakan-akan menular kepada para pemain bola sepak?

Kenapakah terdapat ulama yang gemar sekali bergesel-geselan bahu dengan pemerintah?   

Tatkala kita tontoni rancangan tv, membaca akhbar mingguan atau teliti bahan-bahan bercetak yang lain, kenapakah kita seolah-olah dimaklumkan bahawa artis itu adalah segala-galanya dalam kehidupan kita?   

iv.

Senarai soalannya sangat panjang, seolah-olah tidak bernoktah. 

Di sini, bolehkah kita melatih, membimbing dan mengajak pak cik-cik, mak cik-cik kita ― termasuk yang di Felda dan di kawasan jelapang padi seperti Sawah Sempadan (Selangor) dan di Sungai Manik (Perak) untuk turut bertanya:

Kenapakah peratus potongan padi basah kian meningkat?

Apakah gred kelapa sawit kita selama ini itu tepat dan benar?

Apakah akan terjadi jika negara-negara pengeluar beras dunia tidak mahu/mampu lagi mengeksport berasnya kepada kita? 

Apakah tidak mungkin negara kita berdepan dengan krisis makanan?




No comments: