Tradisi tidak mahu berfikir
Ada yang marah-marah dan tanpa tanggung-tanggung lagi ― mengisytiharkan, “Orang-orang Felda sememangnya bodoh.”
Pedih, pedas dan keterlaluan, kata yang lain-lainnya ― mereka yang jelas tidak begitu bersetuju dengan penilaian sebegini.
Masalah paling besar yang menimpa golongan yang apatis ini (tanpa mengira bangsa, agama, warna kulit atau lokasi kewujudannya) ialah wujudnya kecenderungan yang sangat besar untuk tidak peduli sama sekali dengan persekitarannya.
Jika ada sebarang keinginan untuk pergi lebih jauh di luar diri, itu hanya berkisar sekitar makan, minum, pakai dan sanggama.
ii.
Mereka yang mahu mengikuti pengajian ― seperti mengikuti dan mendengar ulasan kitab-kitab kuning, baik di surau atau pun masjid dan Tok-Tok Gurunya pula berbicara persoalan-persoalan di luar lingkungan haid dan nifas, lambat laun akan lebih mengerti bahawa tempurung adalah tempurung.
Oleh sebab kefahamannya itu, mereka secara beransur-ansur, akan berhijrah ke dunia yang baru. Mereka mula berfikir, menyoal misalnya, kenapakah penguasa bertindak begitu dan tidak pula begini?
Maka untuk kelangsungan politik sesetengah kelompok, peranan Tok-Tok Guru (yang kata Sanusi Junid hanya hidup jika ada bendang kerana di sana ada padi dan zakat) dengan kitab-kitab kuningnya, serta hujah-hujah yang dilantunkan Tok-Tok Guru ini sangatlah memudharatkan sang penguasa. Tanpa sokongan prasarana seumpama ini, idea-idea agama ini, apatah lagi yang radikal tidak akan bercambah.
Maka apabila para penghuni taman di bandar-bandar besar seluruh negara kita, yang umumnya dan rata-rata bersekolah, menjawat pula pelbagai jawatan, ramai juga yang berpangkat besar, turut berjinak-jinak dengan ilmu akhirat dengan bergurukan Tok-Tok Guru, maka masjid dan surau menjadi ancaman besar kepada Sang Penguasa.
iii.
Apakah makna semuanya ini?
Massa yang berjinak-jinak dengan ilmu agama, lambat laun akan keluar dari kegelapan serkup tempurung.
Massa yang berfikir secara serius tentang kematian dan kehidupan seterusnya, adalah massa yang mampu berubah.
Apakah ini juga telah lama dimatikan talian hayatnya di Felda dan di kampung-kampung yang tidak mahu berubah-ubah itu?
Apa benar: Bahawa kehidupan itu adalah makan, pakai (sandang-pangan) dan sanggama?
Atau seperti kata Seorang Mantan: Orang-orang ini semakin mundur, fanatik dan miskin kerana mereka meninggalkan kehidupan di dunia ini?
Apa pun mereka yang terpinggir, dipinggir dan meminggirkan diri dari pencerahan maklumat sewajarnya keluar dari serkup tempurung itu.
Percayalah, tempurung bukanlah syurga.
Bagaimana jika mereka tidak tahu itu adalah tempurung?
No comments:
Post a Comment