Thursday, March 10, 2011

Agensi kita terus diperalatkan


Dari laman “The Malaysian Insider”


“JAWI DIMINTA MASUKKAN SOAL LARANGAN BELI CD,DVD CETAK ROMPAK DALAM KHUTUBAH JUMAAT.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah diminta memasukkan soal larangan membeli cakera padat (CD) dan cakera padat digital (DVD) cetak rompak dan lucah dalam khutbah solat Jumaat bagi mendidik msayarakat dalam soal itu.

Ketua Bahagian Kawalan Filem, Kementerian Dalam Negeri Noor Aziah Abdullah berkata perkara itu telah dibincangkan dengan JAWI dan besar kemungkinan ia akan dilaksanakan bulan depan.”

...

i.

Pelbagai Jabatan, bermacam-macam Kementerian kerap berkempen.  Kempen mengajak orang ramai supaya ‘sila buat begini, tolong jangan buat begitu.”   Atau salah satu yang kerap kita dengar dan baca ialah “Jangan ‘ambil’ gula berlebihan.”

Kenapakah ‘ambil’ gula?  Kenapakah tidak ‘jangan melahap gula’?

Semasa orang berhujah bahawa salah satu cara melawan inflasi ialah dengan bercucuk tanam di sekeliling rumah, maka kempennya ialah ‘Marilah kita bercucuk tanam.’

Tatkala orang berjuang supaya kita segera menjadi negara kelas dunia, maka ramai juga yang  tergila-gilakan segala macam program kualiti.  Ramai pemimpin berkempen supaya disegerakan ISOkan segala macam proses pengeluaran/kerja mereka.  Hujahnya, biar kita lebih kompetitif.  

Nasib kita sedikit mujur,  masjid-masjid kita tidak tergila-gila mahu mengISOkan proses sembahyang makmumnya.

Penyakit ‘kegilaan bermusim’―  trendy ini bukanlah isu yang terlalu besar kerana di luar sana, ada isu lebih besar yang tidak dipedulikan.  Ya, isu yang lebih besar, penyakit yang lebih mencelakakan kita ialah ― penyakit memilih-milih subjek/tajuk untuk diangkat sebagai agenda perjuangan.

Cuba perhatikan contoh-contoh yang sudah berulang kali kita bentangkan:

Terdapat Profesoreee Melayu yang marah-marah, bingung, bimbang dan kadang-kadang panik, ketakutan yang amat sangat jika ketua-ketua penguasa Melayunya kehilangan kuasa ― tapi dengan begitu mudah sekali meng’uhu’kan matanya supaya rapat@buta dua ratus persen,  tatkala  para penguasa Melayu yang sama ― yang dipujanya, yang diangkatnya,  yang dijunjungnya di atas batu jemala pacalnya yang hina itu ―  nyata sekali zalim, rakus, boros, menipu dalam skala yang mega.

Begitu jugalah dengan perangai segelintir kecil Muffffteee besar dalam hal-hal pentadbiran agama Islam kita.  Orang agama yang besar-tinggi-hebat-agam maqam agamanya ini,  kerap sekali menggunakan agamanya buat meneropong  sebiji jamban rosak di seberang lautan tapi sama sekali dan tidak SEKALI pun bersungut bahawa tahi mereka bertaburan di laman rumah.


ii.

Apakah orang besar-besar dalam sektor kawalan filem di negara kita ini pun yakin sekali bahawa CD/DVD cetak rompak inilah masalah yang PALING besar yang negara kita hadapi? 

(Hujah begini bukanlah pula membawa maksud bahawa kita bersetuju dengan kerja mencuri/merompak hasil jerih payah karya orang lain. Bukan itu maksudnya.)  

Masalah besar siapa sebenarnya?  Masalah cukong yang mana satu?

Tak adakah masalah lain yang lebih besar, yang begitu memudharatkan dan begitu mendesak yang patut dikawal?

Contoh yang paling mudah ialah lihatlah bagaimana pelbagai cerita seram dengan segala macam unsur menyesatkan, tahyul, mistik, yang sarat pelbagai pemikiran yang tidak masuk akal itu, bersepah-sepah dilemparkan ke kotak-kotak tv kita.

Cerita-cerita seperti ini setiap hari saja muncul untuk tontonan umum, termasuk anak-anak.

Apakah orang-orang ini ‘tutup sebelah mata’ di sini, tapi ‘buka mata’ luas-luas,  di tempat lain?

Kenapakah keghairahan mereka berpilih-pilih?

Apakah kehidupan kita, dalam SEMUA hal, dalam segala hal semestinyalah ― selama-lamanya berpilih-pilih?

Kita memilih untuk bersama-sama dengan orang,  yang katanya,  bakal menjamin keselamatan kita dan juga keturunan kita.  Pada hal, mereka inilah makhluk perosak paling besar.  

Kita memilih mencari pelindung.

Telah merdekakah kita?



No comments: