Monday, March 28, 2011

GDB dan mantan staf DBP

Gerakan Darurat Bahasa dan Ajikik

Seperti ramai penulis lain, namanya yang asli itu sering tenggelam.  Kawan-kawan jarang memanggilnya Ismail Ahmad.

Apabila Dinsman menyatakan yang kita akan bertemu Ajikik di Bukit Dukung, saya cukup gembira kerana dapat bertemu dengan mantan staf Dewan Bahasa dan Pustaka yang terkenal sebagai penulis cerita kanak-kanak ini. 

“Agaknya dia telah membaca berita pelancaran GDB, Gerakan Darurat Bahasa di Warung Rakyat tempoh hari”

Maka pada pagi Ahad, 27 Mac 2011 kami bertiga pun berkumpul dengan Ajikik di salah sebuah hentian Rehat dan Rawat.  Ya, Ajikik yang khabarnya gigih belajar bahasa Arab ― Ajikik yang dalam laman maya, kita temui senarai karya-karya seperti Warisan prosa klasik: ulasan dan kajian, cetakan 1 oleh Ismail Ahmad (Ajikik), 1976 Fargoes, Kuala Lumpur, Cerita-cerita sejarah Melayu, cet. 4. oleh Ajikik  1978, Fajar Bakti, Petaling Jaya, Cerita-Cerita Sejarah Melayu 1, 2005, PTS,  disenaraikan.

ii.

Bagi yang rajin membaca  perkembangan kesihatan Dewan Bahasa dan Pustaka, (DBP) mereka mengetahui bahawa institusi bahasa yang lahir dari roh dan semangat rahim kemerdekaan itu,  sakit-sakitan.  Kata orang, seorang tua menyongsong hujung senja, biasanya kerap sekali disapa sahabat karib tiga serangkai: Jantung, kencing manis dan darah tinggi.

Institusi yang namanya DBP itu bukanlah seorang tua melarat yang terketar-ketar meniti sisa-sisa usianya di alam ini.  Yang namanya DBP itu bukanlah seorang tua di hujung usia senjanya.  DBP itu institusi yang lahir dari rahim keramat yang cukup perkasa ― roh dan semangat sebuah kemerdekaan.  Dalam abad ke 21 ini, DBP sepatutnya semakin matang, gagah dan jauh lebih bijaksana kerana perjalanan hidup itu telah mematangkannya... sepatutnya.


iii.

“Apakah masalahnya?” 

“Haji baca saja bahan-bahan yang dipaparkan dalam laporan-laporan ini.”

“Masalah paling utama?”

“DBP, sama seperti pelbagai institusi yang wujud di negara kita telah diperalatkan semahu-mahunya oleh politikawan yang gegabah lagi tidak bertanggungjawab demi untuk mencekau cerun kuasa yang ternyata semakin licin dan curam.  Lihatlah contoh paling terbaru, Risda yang katanya memperjuangkan nasib pekebun kecil dipergunakan sumbernya oleh sang pengerusinya untuk menayang video lucah.  Tidakkah itu celaka namanya?”


iv.

“Haji kumpullah kawan-kawan kita yang masih mahu berfikir.  Kita lakukan sesuatu demi masa depan institusi yang besar maknanya itu di negara ini.”

“Aku tak tau orang lain.  Aku sangat pesimis apakah bangsa kita ini sayangkan budayanya?  Atau soalan yang lebih tepat ialah:  Apakah Melayu itu bangsa yang masih menghargai budaya tinggi?  Kau tengoklah KLSCAH, Kuala Lumpur Selangor Chinese Assembly Hall dan kau ikutilah program pengisiannya.  Bandingkanlah dengan DBP.  Itu saja sudah cukup untuk membuktikan betapa hebatnya orang-orang yang jauh lebih mantap budayanya.”

“Ini pengalaman aku dalam Union DBP. Bila kita sarankan supaya dia juga menjadi ahli union, Melayu yang petah sekali berbahas ini, membalas hujah:  Berikan aku sepuluh sebab kenapa aku mesti menjadi ahli Union!”  Ada lagi contoh yang lebih istimewa:  Nanti, biarlah aku sembayang istikharah dulu.  Itulah profil Melayu...yang aku kenali”  Hasni nyata marah sekali dengan sikap para Melayu yang ditemuinya.

Wah, ke situ pula tersasarnya cerita pertemuan kami pada hari minggu, Mac 2011 itu.  Apa pun Ajikik adalah di antara sekian ramai mantan warga DBP yang tersentuh dengan Gerakan Darurat Bahasa. 

Bila lagi agaknya tuan juga tersentuh dengan cerita DBP itu?

  

 

2 comments:

liumx said...

Kebetulan tengah membaca sebuah buku bertajuk "Puisi Sanskrit" (DBP 1990) yang diterjemah Ajikik daripada "Poems from the Sanskrit" (John Brough, Penguin 1968).

Betul kuasa politik cuba memperalatkan semua institusi yang sepatutnya mengatasi fahaman politik berbeza, puncanya pada saya, rakyat yang tidak cuba menegakkan kebenaran pada saat-saat genting sesama sendiri dan membiarkan mereka menculik khazanah negara.

Anonymous said...

salam tuan, saya kwn lama kpd anak Ajiki ketika di sekolah berasrama di selatan tanah air.. Kami terputus hubungan setelah saya ke luar negara. Boleh saya dapatkan emel atau nombor telefon Ajikik.