Monday, March 21, 2011

Hidup dan mati sebagai pembohong besar

Tatkala membelek-belek semula “Sungai Mengalir Lesu”(1) ada sesuatu yang menangkap imajinasi: 

“Baharum dan kawan-kawannya berlari semula di hadapan shelter, dan kali ini yang mengekorinya semakin ramai. Seekor angsa Giap Hong (yang seekor hilang dicuri orang) memanjang-manjangkan lehernya untuk menyudu Menon yang paling hampir dengannya.  Menon menjerit,  melontarkan risalah-risalah yang ada pada tangannya, kemudian berlari menekap buntut dengan kedua belah tangannya.  Risalah liar melayang, angsa terangguk-angguk berhenti.  Ahmad Jani tersentak dari khayalan, berada semula di tengah-tengah kanak-kanak yang masih lagi riang di hujung petang yang menghampiri ke bibir malam.  Dan bila kumpulan kanak-kanak itu hilang jauh dengan suaranya yang masih sayup-sayup saja, kampung itu sudah pun diserkup malam, tinggallah Ahmad Jani, memerhatikan ke sekeliling kampung tidak lagi dengan matanya sendiri, tetapi dengan mata otaknya yang mengenal betul seluruh rupa di sekitar kampung.”

ii.

Sebagai manusia yang normal, sedikit sebanyak tentulah kita pernah mencicipi  ragam dan rencah peristiwa kehidupan.  Bagi yang sedikit ‘istimewa’, kita mungkin pernah dilambung amuk geloranya kehidupan itu, dan semua ini telah dirakam dengan baik sekali. 

Segala rakaman ini ― yang pernah disaksikan oleh mata otak adalah khazanah kehidupan kita.  Suka duka, pahit maung, jerih dan payah yang dipilin tatkala memanjat tangga usia, kekadang dengan limpahan darah dan air mata pula, akhirnya menjadi benang-benang kehidupan.   

Dan bukanlah satu peristiwa yang luar biasa jika apa yang pernah dirakamkan oleh mata otak ini sesekali ditayangkan semula pada saat dan ketikanya...kecualilah jika kita dengan sengaja memilih untuk ‘melihatnya’ ― atau pun ‘melupakannya’ sama sekali. 

Ertinya kekadang terdapat juga manusia orang yang dengan amat sengaja memilih untuk menghebahkan kepada khalayak bahawa ‘peristiwa A itu sebenarnya begini’ dan bukanlah begitu.  Pada hal seluruh alam mengetahui bahawa kita berbohong.  Kita terang-terangan berBOHONG dan seluruh alam raya ini ketahui bahawa kita pembohong besar!

Apakah sampah sarap yang begini layak dijadikan rujukan?

iii.

Siapa lagi yang mahu membohongi mata batinnya sendiri?

Atau mata batin itu juga telah lama dipadamkan cahayanya oleh yang Maha Berkuasa?


(1)A. Samad Said, “ Sungai Mengalir Lesu” . Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005 halaman 120.