Tuesday, March 22, 2011

Kisah hantu dan lembaga politik


Sistem yang telah dilembagakan


Sesuatu amalan yang telah lama melembaga dalam sesebuah masyarakat itu lahir, membesar dan membiak kerana sering diamalkan oleh para anggotanya.  Ertinya proses ‘perlembagaan’ ini bukanlah terjadi dalam sekelip mata.  Prosesnya mengambil masa yang cukup panjang sebelum ia sebati menjadi amalan harian. 

Katanya para petani di MADA, memulakan sistem tabur terus atau serakan biji benih padi (broadcasting) itu kerana masalah kekurangan tenaga kerja untuk kerja-kerja menanam padi, mencedung (transplanting).  Ini mengingatkan kita kepada sebuah pepatah Inggeris, “necessity is the mother of invention” ― keperluan atau keterpaksaan itu ibu penciptaan.  Katanya lagi proses tabur terus yang bermula dengan menyerakkan biji benih dengan tulang empat kerat itu  kemudiannya ditambahbaikkan oleh institusi pemerintah seperti MADA dan Mardi.  Sejak itu lahirlah mesin yang sederhana untuk menyerakkan biji benih.

ii.

Di negara kita terdapat Ketua-Ketua Bahagian parti pemerintah yang terkenal kerana keterampilan mereka mendapatkan kerja-kerja kontrak yang ditawarkan oleh pelbagai Jabatan dan agensi Kerajaan.  Dalam sistem perolehan kita, kerja-kerja kecil-kecilan yang kurang daripada dua ratus ribu ringgit itu (apakah silingnya sudah ditingkatkan?) dikhaskan kepada para pemborong kelas F.  Di antara bidang atau skop kerjanya (sekadar contoh) termasuklah kerja-kerja menambak tanah merah, melaburkan batu kerikil,  membersihkan parit dan tali air, mencuci longkang, membersihkan kawasan, menurap jalan berlopak dan kerja pembinaan secara kecil-kecilan.

Untuk kerja-kerja seperti ini semua Jabatan/Agensi kerajaan diberikan peruntukan tahunannya.  Bayangkan jika setiap Jabatan itu mendapat peruntukan sebesar RM 10 juta setahun dan di dalam sesebuah daerah itu terdapat  pula sepuluh buah Jabatan atau Agensi Kerajaan, maka dana yang tersediakan, sememangnya agak besar. 

Dan ini sumber rezeki yang tidak boleh dibiarkan berlalu begitu saja.

Bayangkan jika setiap Ketua Bahagian parti Pemerintah ini memegang kesemua 20 buah lesen kelas F (sekadar satu contoh) dan setiap satunya,  uftinya ialah sebesar 20 persen untuk setiap kerja kontrak yang diterima oleh para pemborong kecil ini, apakah sumber rezeki itu tidak cukup besar?

Kerja buat ini bukanlah terjadi dalam sekelip mata.  Manusia yang melihat dengan dua biji matanya juga melihat dengan mata otaknya.  Biji-biji mata ini melihat bagaimana Sang Bapanya bertingkah.  Saban waktu Bapa itu dilihatnya TIDAK pernah kencing mencangkung atau pun meniarap.  Bapa besar itu kencingnya, berdiri.



iii.

Maka apabila Sang Bapa itu ― dengan bantuan langsung segala macam aparat yang selamanya dikuasai sepenuhnya, dengan bantuan segala bentuk dana yang wujud di negara ini, menfitnah saingan politiknya di dalam partinya sendiri dengan kaedah yang amat zalim lagi memualkan, apakah ilmu yang telah diajar oleh Sang Bapa itu?

Maka apabila musuh politik yang sangat-sangat ditakuti itu dikerjakan tanpa rasa malu, aib, hina, jijik, kotor dengan cara yang sangat menjijikkan dan mengaibkan SELURUH ummah, apakah lagi yang bersisa dalam budaya politik kita?

Celakalah pemimpin yang memancutkan kencingnya ke muka musuh-musuh politik mereka.  Beroleh celakalah kamu-kamu semua; di dunia dan di akhirat.




No comments: