Wednesday, March 16, 2011

Puisi Shukur Harun Sempena Yaasin untuk DBP

Puisi

Sangkar Emas

Dewan Bahasa dan Pustaka
Kami merenung wajahmu yang muram
Seperti burung yang terkurung dalam sangkar emas
Lesu tidak bermaya

Aduhai Dewan Bahasa
Suara dan gagahmu dulu sangat mengesankan
Mendorong kami penulis
Meniupkan semangat kemanusiaan

Di bawah pimpinan Ungku Aziz, Syed Nasir, Hasan Ahmad
Engkau begitu unggul seperti walking tall
Menyemarakkan perjuangan bahasa
Sehingga tercetus Keranda 251

Aku bernostalgia petang ini mengenang semuanya
Kris Mas, Usman Awang, Awam El-Sakram,
Wijaya Mala, Baha Zain, Dinsman, Mohd Nor Azam,
Abdullah Husein dan ramai lagi

Mereka berinteraksi dengan para penulis
Begitu mesra hampir setiap hari
Seperti aur dengan tebing
Sama-sama mendukung sebuah cita-cita

Tetapi kini DBP dan penulis begitu berjauhan
Kami memandang dengan sedih
Kamu seperti terkurung bisu dalam sangkar emas
Mengapa, duhai DBP!

Mengapa kamu merelakan diri
Terkurung dalam sangkar emas
Mana roh dan semangat perjuanganmu
Di masa lalu

Lupakah kamu, kawan lama
akan pesan Usman Awang
Di depan duri di belakang api
Kita tidak akan berundur lagi.


Abd Shukur Harun
Subang Jaya, 16/3/2010