Sunday, May 1, 2011

HUT: http://barabarajiwa.blogspot.com


Dua tahun telah berlalu

Terlalu banyak yang mahu ditulis, namun terlalu banyak pula yang tidak tertulis.  Dan otak kerap sekali menerpa jauh ke depan sedangkan jari-jari yang tidak pernah dilatih ‘mengetik secara profesional’ sentiasa saja terkial-kial,  mencari abjad.

Hari ini 1 Mei 2011, tatkala Hari Pekerja dirayakan oleh seluruh kaum pekerja di seluruh dunia,  Barajiwa (http://barabarajiwa.blogspot.com) juga merayakan HUT, Hari Ulang Tahunnya. Ertinya dua tahun telahpun berlalu, sejak kita saling bersapa di alam maya.

Sepanjang tempoh dua tahun itu, saya tidak dapat merasakan bagaimanakah tuan dan puan menanggapi isi kandungan laman ini.  Yang saya tahu ― secara pasti ― ialah teman-teman yang dekat selalu memaklumkan  kepada saya bahawa ‘Sim, aku tak faham apa mahu kau sampaikan.  Dengan segala bentuk candek (sindirannya), hanya saudara saja yang tahu apakah yang mahu disampaikan.” 

Itu adalah pandangan ikhlas-positif yang dapat dijadikan petunjuk.  Buat semua teman yang baik hati ini, terima kasih kerana sudi memberikan pandangan yang ikhlas sedemikian.

Kenapa berterima kasih?

Bukankah di sekeliling kita sekarang ini, ramai sekali yang berpura-pura, ― ya,  berpura-pura supaya sentiasa selamat?

Pegawai kerajaan berpura-pura bahawa negara ini berada dalam keadaan ‘yang aman dan sentosa adanya’.  Bahawa jelata sangat gumbira di bawah pemerintah yang ada ini.

Kita yang menulis, tidak kiralah sama ada seorang blogger picisan atau sasterawan yang punya nama, tidak pernah bercakap benar tatkala menulis.

Maka tatkala menulis, kita pun bertopeng supaya sentiasa selamat.


ii.

Sejak lahirnya blog dengan segala keajaibannya, apa saja tulisan, ya  ― apa saja yang ditulis dapat kita lemparkan ke alam maya.  Demikian banyaknya lemparan tulisan ini sehinggakan seluruh alam maya semakin semak dengan timbunan sampah sarap tulisan yang TIDAK memberikan apa-apa manfaat kepada pembaca kecuali mungkin perasaan syok sendiri pemiliknya (electronic masturbation, kata Vanguard dalam “Malaysia-lah: Himpunan Analisa Terpilih Kaki Lepak, kata pengantar Farish Noor,  susunan Haris Zuan, Gerakbudaya Enterprise, 2010). 

Dan kerana menfitnah, tentunya sang penulis akan terus-terusan menabung dosa.  Itu pun bermakna jika kita percaya kepada sistem yang bercakap tentang dosa-pahala.


iii.

Dalam konteks dosa dan pahala ini, apakah berdosa jika kita terus saja memaki hamun dan mencaci  habis-habisan sebuah regime yang membenarkan video lucah ditayangkan ke dalam setiap, ya, SETIAP kelambu para jelata?

Regime yang sama TELAHpun menangkap segala Ah Chong, Ramasamy dan Mat Boroi yang diketahui menjual video lucah.  Rumah kedai Ah Chong diserbu, pintunya didobrak dan segala macam mesinnya disita kerana membuat dosa dengan menggalakkan industri lucah.

Regime yang ini jugalah yang menayangkan video sedemikian ke seluruh negara.


iv.

Wahai para penulis, termasuk blogger picisan seperti saya, apakah kau masih rela menjadi pemerhati yang pondan?

Beroleh celakalah kamu kerana terus-terusan berbuat demikian.

Wallahuaklam.



No comments: