Tuesday, May 31, 2011

Jalan itu

Jalan paling selamat


X menggolongkan dirinya sebagai seorang yang bernasib baik (atau lebih tepat, bersyukur) kerana pelbagai sebab.  Ternyata terlalu banyak sebab kenapa dia mesti bersyukur.  Pada kiraanya yang paling mudah sebab paling atas dalam senarai ‘kenapa aku mesti bersyukur’ itu ialah dia memasuki (atau lebih tepat dimasukkan) ke skim perkhidmatan pemerintah yang terlalu luar biasa besar pengaruhnya. 

Ya, bersama-sama jawatan itu telah tertitipnya kuasa yang sukar dibayangkan kegagahan dan kemahaperkasaan pengaruh-kekuatannya ― kecuali oleh sang penyarungnya.     

Seminggu yang lalu X bersara.  Dan jawatan terakhirnya cukup lumayan melayupnya.   


ii.

Entah kenapa ― semalam ― tiba-tiba saja terkaman soalan itu nyata begitu menggigit: Tatkala  kau bertahun-tahun menyandang pelbagai jawatan, di berbagai-bagai tempat-keadaan, dan kau tanpa segan silunya ― mendabik dada kepada siapa saja, kaulah pecacai rakyat paling ulung ― ayuh, katakan ― apa saja yang telah kau perbuat?

Ya, apakah yang telah kulakukan dengan jawatan dan kuasa itu selama ini?

Dalam renungan dan menungannya, kadang-kadang berjam-jam lamanya, X sentiasa saja temui jalan yang itu-itu juga: Aku sentiasa mencari jalan yang paling selamat.



No comments: