Tuesday, September 13, 2011

Hegemoni sebagai paksinya

Yang mereka hitamkan.

Ramai yang menghitamkan mata hati dan tidak ambil peduli apabila akhbar ‘arus perdana’ mereka menghitamkan muka depannya demi menyatakan betapa jahatnya para pelaku 9/11 itu.  Ya, ramai yang tidak ambil peduli, tidak ambil kisah bahawa dalam seluruh episod penuh intrig dan muslihat itu, ada sisi-sisi legamnya yang secara sengaja telah digelapkan oleh tuan-tuan mereka.  Dalam seluruh episod ini, yang terus meneruskan diusahakan ialah laungan berterusan bahawa Sang Laden dan kuncu-kunculah yang bertanggungjawab.  Dan mereka ini terus menjerit-jerit, orang-orang bertamadun tidak boleh menyebelahi keganasan.

Ramai yang tidak mahu menghitamkan akhbarnya apabila Israel secara terbuka, menjadikan Gaza itu penjara terbuka dan seluruh penduduk Gaza itu banduan di tanah air mereka sendiri.  Mungkin bagi mereka,  para pemilik akhbar berbahasa Inggeris ini, itu semua peristiwa biasa-biasa, asam garam peperangan saja kerana tuan-tuan mereka juga berdiam diri.  Bukankah Penguasa Zalim menzalimi manusia lain adalah kebiasaan dalam dunia berpaksikan hegemoni?

Ramai yang tidak mahu menghitamkan akhbar mereka apabila WMD, weapons of mass destruction, senjata pemusnah maha besar itu TIDAK ditemui di Iraq.  Mungkin bagi mereka ─ para pemilik akhbar berbahasa Inggeris ini,  semua ini adalah kebenaran kerana tuan-tuan mereka berdiam diri.  Apakah mereka juga percaya bahawa ini adalah taktik dan strategi perjuangan demi memusnahkan musuh?    

Ramai yang tidak pula menghitamkan akhbar mereka apabila sedemikian ramai rakyat Iraq menderita akibat peperangan yang ‘berpunca dari keganasan’ sedangkan nyatanya tuan-tuan merekalah yang jauh lebih ganas dan mengganas memahu-mahunya di bumi orang lain, demi untuk menawan sumber tenaga.


2.

Ramai yang terjajah hati nurani dan mindanya ini tidak peduli betapa teruknya hegemoni Sang Penguasa terhadap pemikiran mereka yang telah tertawan mindanya itu.   

Dalam dunia yang merelakan hegemoni, ada akhbar yang kerjannya hanyalah menghitamkan kebenaran.