Friday, September 9, 2011

MAJLIS PROFESSOR TERSASAR JAUH DARI KEBENARAN

Kenyataan Media
TERAS Pengupayaan Melayu
10hb September 2011
MAJLIS PROFESSOR TERSASAR JAUH DARI KEBENARAN
TERAS terkejut dengan pendirian apa yang dipanggil Majlis Professor Negara yang mengatakan perjuangan golongan kiri bukan perjuangan kemerdekaan.
 
Mengulas rumusan oleh majlis yang dikatakan dianggotai oleh para ahli professor yang diwakili oleh Datuk Prof Zainal Kling , TERAS berpendirian sejarawan tersebut bermain kata-kata yang berbelit-belit untuk menafi suatu fakta yang sudah sangat ma’ruf di kalangan rakyat.
 
Mana mungkin tafsiran ini dapat diterima sedangkan Britishlah yang telah mengharamkan pelbagai pergerakan Melayu seperti PKMM , API , AWAS , Hizbul Muslimin dengan tuduhan bahawa semua gerakan ini adalah gerakan komunis. Kata-kata terkenal Datun On Jaafar “ada bahaya dari gunung” merujuk kepada gerakan Islam Hizbul Muslimin di Gunung Semanggul yang ditunding sebagai gerakan komunis.
 
Dari mana Datuk On mengguna label ini jika tidak dari ta’rif British yang menjajah tanah air ini?
 
Bermakna kesimpulan yang dibuat untuk menuduh gerakan Melayu yang mengambil pendirian garis keras sebagai gerakan komunis  adalah dari British dan golongan bangsawan yang dekat dengan British.
 
Pertama TERAS mempersoalkan  istilah gologan kiri atau kanan itu adalah sebenarnya lebel dari siapa? Kenapa majlis ini terlalu taksub dengan label yang diberi oleh British.
 
Bermakna mereka telah bermula dengan premis yang batil lagi menyesatkan kerana kerangka dan paradigma serta tasawur British itulah yang menjadi ukuran tafsiran mereka terhadap sejarah perjuangan kemerdekaan. Kiri dianggap komunis dan semua gerakan menjadi komunis bila  menentang British dan yang tidak sealiran dengan pendekatan yang diguna UMNO.
 
Tidakkah apa yang mereka rumuskan itu termasuk golongan ulama yang telah memilih untuk berjuang dengan cara bersenjata menentang British? Padahal mereka berjuang  atas nama tuntutan Islam. Adakah perjuangan mereka dianggap bukan perjuangan yang sah? 
 
Beranikah mereka mengelompokkan ulama yang bertempur dengan British seperti Tok Janggut , Abdur Rahman Limbong , Tok Guru Hussin Dol sebagai komunis hanya kerana British melabelkan mereka sebagai pengganas komunis?
 
TERAS kesal dengan keangkuhan golongan bijak pandai yang dikatakan bergelar Professor.
 
Dari asas apakah Majlis ini membuat rumusan demikian?.
 
Adalah sangat mengelirukan jika ia keluar sebagai pendirian rasmi,  seolah ahli pemikir sejarah cuba membuat pentafsiran yang batil mengikut faham British yang mahu generasi selanjutnya  menerima  bahawa British memberi kemerdekaan bukan kerana tekanan golongan ulama  dan pejuang nasionalis tetapi kerana berunding dengan UMNO.
 
Untuk mengatakan tanah air ini tidak dijajah adalah kedangkalan yang sangat mengejutkan datang dari Majlis Professor  terutama bila mereka  dikatakan adalah  golongan inteligensia negara.  
 
Tidak ada siapa pun yang memiliki akal waras mengatakan tanah air ini tidak dijajah sedangkan Raja-raja Melayu hanya menjadi penguasa yang terbatas kepada soal adat dan agama dan dalam urusan yang lain British menjadi tuan.
 
Malah dalam hal melantik qadhi sekalipun British akan campurtangan kerana pihak British jualah yang akan menentukan dasar siapa yang akan dilantik.
 
TERAS tidak dapat menerima rumusan yang  mengelirukan ini hanya kerana wujud kecenderungan ahli sejarawan  mengabsahkan  perjuangan UMNO sahaja yang benar–benar memperjuangkan kemerdekaan.
 
TERAS mempersoalkan asas Majlis tersebut yang mendakwa bahawa golongan yang menentang British secara bersenjata berniat menghapuskan kuasa-kuasa Melayu di Tanah Melayu dan mahu menubuhkan kerajaan republik.
 
Di mana buktinya dan dari sumber mana mereka menyandarkan hujah ini?

Menuduh perjuangan ulama dan nasionalis  sebagai perjuangan komunis dan memfitnah pula mereka   sebagai bersekongkol, bekerjasama dan bersubahat dengan pejuang komunis untuk menjadikan negeri ini sebagai  republik komunis adalah kebiadapan intelektual yang sangat parah.


TERAS menganggap dakwaan Prof Zainal Kling bahawa perjuangan nasionalis yang tidak mengikut jalur UMNO  sebagai tidak sah dan tidak legitimate menunjukkan betapa beliau terperangkap dengan sindrom jiwa terjajah iaitu jiwa yang mengukur keabsahan sesuatu perjuangan itu hanya sah jika diterima oleh British.
 
Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden TERAS 019 4744856


No comments: