Monday, October 24, 2011

Sasterawan, kembalikan harga dirimu!


Penulis sebagai tukang aba-aba


Mungkin ramai yang sudah membaca cerita teladan Aesop, “Siapakah yang akan melocengkan kucingnya?”  (Aesops, “Who is to bell the cat?” atau “Who bells the cat?”)

Sebuah fabel yang mengisahkan bagaimana sekelompok pimpinan tikus berikhtiar mahu mengatasi bencana kehadiran sang kucing, musuh bebuyut mereka. Lalu seekor tikus muda pun mencadangkan supaya dipasangkan saja loceng ke leher sang kucingnya.  Amat gembiralah tikus-tikusnya dengan idea yang bergeliga itu.  

Namun para tikusnya membungkem, pabila seekor tikus tua bertanya, “Siapakah yang mahu memasang locengnya?”

Moral ceritanya ialah memang mudah mencadangkan idea yang besar-besar.


2.

Aziz Bari, watak yang sentiasa saja memainkan peran aktif di tengah-tengah keporak-perandaan Sang Perintah mahu mempertahankan kuasanya, menjadi fenomena yang luar biasa kerana reaksi tipikal Sang Penguasa itu sendiri: Kepongahan melampau didorong oleh penyakit mamai mahu mengawal semua ─ dan segalanya di bumi kita.    

Ya, sifat dan tingkah laku yang bertunjangkan kepongahan kuasa.  Kita boleh bandingkan reaksinya TGHA semasa Aziz Bari mengkritik kepimpinan Pas dalam satu muktamar satu ketika dulu. Walaupun terdapat pemimpin Pas yang marah-marah tapi secara umumnya, Pas masih lagi tenang-tenang, sober.

Boleh jadi juga Umno sangat yakin bahawa teguran terbuka Aziz Bari dalam episod gereja itu bakal menguntungkannya.  Semboyan perang Umno bahawa Sultan tidak dihormati bakal menguntungkannya.  Sayang sekali semua usahanya menjadi cair disebabkan oleh kemunafikannya (nya: Umno) selama ini.


3.    

Sebenarnya yang mahu dibentangkan di sini bukanlah isu Aziz Bari per se.  Kisah teladan tikus-kucing-dan-loceng serta Aziz Barisme adalah contoh yang boleh direnungi, yang boleh menjadi bahan renungan mendalam hati dan nurani yang jernih.  Ertinya bahan untuk renungan roh yang bersih dan bukannya nafsu yang telanjangnya bulat.  Para penulis, khususnya sasterawan mapan tidak boleh lagi, selama-lamanya dan sepanjang hayat mereka  mempamerkan tingkah yang konsisiten tapi amat hodoh: Bahawa tenggelam-timbulku, hidup-matiku hanyalah dan mestilah bersama-sama Sang Penguasa itu. 

Penulis yang peka dengan persekitarannya tidak boleh memperdagangkan tulisannya untuk menegakkan kejahatan. Para penulis yang katanya menjadikan penulisan itu darah dan daging mereka mestilah belajar untuk mengembalikan harga dirinya.  Seorang penulis sejati bukanlah penulis yang sentiasa lahap membidik kuman di seberang lautan sementara ekor bergelumang taik@tahi. 

Penulis yang menggunakan tetikus dan mata penanya tidak boleh selama-lamanya mengosongkan mindanya demi untuk mengisi perutnya.  Penulis sebagai insan bermaruah tidak boleh memilih-milih dalam memperkatakan isi hati, gelojak jiwa yang sentiasa rindukan kebenaran.

Tikus boleh.  Aziz Bari telah lama membolehkannya.

Sasterawan mapan dan segala kerabatnya, bila lagi?

Atau soalan yang lebih relevan:  Sampai bila?

Usah biarkan tanah merah memasuki mulutmu kerana tatkala sampai saat itu, tuan telahpun terlambat.


No comments: