Sunday, October 23, 2011

Zakat dan kepentingan ummah


Zakat, ISO dan Jusoh.  


Seperti kebanyakan buah-buahan tempatan kita, perangai manusia juga bermusim.  Dalam tahun 60an, musim  yang pernah melanda dan menjadi kegilaan anak-anak muda ialah berpop yeh-yeh, berseluar kaki besar ala loceng. Sekarang di abad ke 21 cucu-cucu, para atuk serta nenek-nenek turut berbukumuka alias berfacebook.  Ya, manusia itu biasanya galak dan cenderung sekali ikut-ikutan, trendy.

Sebenarnya penyakit musim-musiman dan kegilaan sementara ini turut menjangkiti dunia kepengurusan kita.  Dalam pengurusan organisasi misalnya, ramai pengurus atasannya yang tergila-gila supaya organisasi pimpinan mereka disahkan sebagai organisasi yang kompeten kerana memenuhi piawai-piawai kualiti tertentu.  Tabung Haji,  lembaga yang mengurus hal ehwal haji di negara kita ini pernah memenangi anugerah pengurusan organisasi yang cukup berprestij, Anugerah Kualiti Perdana Menteri, Sektor Awam. 

Ya, tatkala musim ISO datang menyerang negara kita, ramai sekali CEO, Ketua Pengarah yang mengidam supaya organisasi mereka juga segera diISOkan. 

Kita tidak tahu apakah penyakit musiman, seperti rindu dan gilakan pengiktirafan kualiti ini pernah menyerang pelbagai institusi agama Islam kita (?).


2.

Di masjid-masjid yang diurus telus,  para pimpinannya sentiasa saja mempamerkan jumlah kutipan tabung keliling setiap solat Jumaat.  Dengan mempamerkan jumlah kutipannya setiap minggu, anak-anak khairah akan ketahui berapakah jumlah wang yang terkumpul dalam tabung masjid.  Tindakan ini kira-kira samalah dengan laporan tahunan Gapena kepada para kerabatnya,  perihal berapa banyakkah khazanah, harta dan hartanah yang dimiliki birokrat penjaga bahasa itu.  

Dalam keghairahan Himpun mahu memelihara akidah ummah, ramai yang teringat kembali tentang kekuatan yang ada pada institusi zakat.  Ya, semasa isu murtad itu mula-mula meletup atau pun diletupkan oleh yang tertentu, kita pun turut bertanya: Ke mana perginya wang dan harta zakat yang sekian-sekian banyak yang dikutip setiap tahun itu?

Maka kita pun terfikir, alangkah moleknya jika semua institusi zakat di negara kita ini juga  memiliki ISOnya sendiri, setidak-tidaknya untuk proses mengagih-agihkan segala harta kekayaaan yang dikutipnya setiap tahun itu; biar ummah tahu apakah yang terjadi dengan segala wang zakat yang dikutip itu.   

Ya, alangkah baiknya jika pengurusan kewangan institusi zakat kita itu diaudit dan hasilnya dihebahkan kepada khalayak.  Atau sebenarnya semua ini telahpun dilaksanakan dengan telus dan hasilnya telahpun dihebahkan kepada rakyat?  Atau sungguh malang sekali oleh sebab musabab yang tidak kita ketahui, masih ramai lagi di kalangan ummah yang melarat walaupun bertalu-talu mendapat bantuan zakat(?).   

Atau kita perlu mendapatkan hukum hakam yang jelas daripada majlis fatwa tentang ISO dan urusan audit mengaudit ini?  Ya, semacam proses SPR mahu mendapat fatwa dalam penggunaan dakwat kekal dalam PRU 13 nanti (?).


3.

Yang jelas Jusoh Kepala Bukit, Bukit Meriam pening juga bila kita katakan proses agih mengagih duit zakat kepada para asnaf itu elok juga kalau diISOkan. 

Cuma pesan Jusoh kepada saya, “Tulislah supaya duit zakat tu diagih-agihkan macam yang macam Tuhan suruh... Jangan main-main dengan amanah.”



No comments: