Saturday, October 22, 2011

Cerita bahasa


Ada roh dalam bahasa

Ini cerita seorang teman, pensyarah sebuah IPTA.

Pentadbir dan pensyarah sebuah universiti awam sedang bermesyuarat dengan seorang pengusaha swasta. Setelah sekian lama mereka saling melontarkan buah fikiran dan pandangan, akhirnya salah seorang sang pensyarah, bertanya, “ Kenapakah tuan menjawab soalan-soalan kami dalam bahasa Melayu sedangkan kami semua bertutur dalam bahasa Inggeris?”

Ya, para pensyarah Melayu itu agak pelik dengan tingkah usahawahan keturunan Cina ini.

“Saya sekadar mengikut arahan kerajaan.”

“Arahan?”

“Ya, sekarang segala urasan mestilah dalam bahasa kebangsaan.  Sudah ada pekelilingnya.”

Para pensyarahnya saling berpandangan.

Maka saya pun teringat jenakanya Shanti yang berambut Afro itu, “ Sudah tukarkah, bila tukar?” 


2.

Bekas bos saya, seorang jurutera keturunan Cina selalu tertawa dan merah padam setiap kali dia berbicara dengan orang Cina lain dalam bahasa Melayu.

Saya pernah tanyakan kenapakah dia jadi sedemikian.

“Saya terasa janggal sekali, setiap kali berbuat demikian.  Boleh jadi kerana kami sama-sama Cina.”


3.

Petang tadi di Madarasah Tarbiah, Kampung Bandar Dalam, Jalan Gombak kami dari GMP, Gerakan Mansuhkan PPSMI telah berkumpul untuk membincangkan masa depan bahasa kebangsaan negara kita.

Dan untuk ke sekian kalinya, seorang teman Paksi, Razali Endun bertanya lagi, “Kenapakah begitu payah sekali Perdana Menteri kita berbicara dalam bahasa rasmi setiap kali menggendalikan hal-hal yang rasmi di depan khalayak?”

“Inikah jati diri kita?  Kau lihat saja tingkah para pemimpin luar dalam hal berbahasa ini.  Lihatlah bagaimana mereka meraikan bahasa rasmi mereka. Kita?”

Seperti kata Dinsman, sungguh menyedihkan kerana sekarang ini orang-orang Melayu sudah tidak pedulikan apa-apa:  Bahasa, sastera maupun budayanya.

Ya, kita sedih kerana dalam setiap budaya itu ada khazanah@wisdomanya,  apatah lagi jika budaya itu  tinggi tarafnya.  Ya, dalam setiap budaya itu ada rohnya.  Dan dalam budaya Melayu yang masih mantap,  roh Islamnya sangatlah nyaring.


4.

Pernahkah tuan baca Hikayat Bapa Beruk dan mimpinya tentang keyakinannya bahawasa dianya seekor gorila jika terus beristiqomah berbahasa gorila?


No comments: