Mohamed Salleh Lamry. 2011. Siti Norkiah Mahmud – Srikandi dari Pahang Utara, Petaling Jaya, Strategic Information and Research Development Centre, SIRD menulis begini di halaman 126:
“Mengapa menetap di Thailand?
Pada dasarnya Siti Norkiah memilih menetap di Thailand terutamanya kerana mengikut keputusan yang diambil oleh dua orang pemimpin utama Rejimen Ke-10, iaitu Abdullah C.D. dan Rashid Maidin serta pendirian suaminya, Abu Samah Mohd. Kassim. Suaminya, katanya, bukan orang susah, kerana suaminya ada mempunyai harta di Malaysia, tetapi suaminya sudah mengambil pendirian yang bulat mahu menetap di Thailand, dan tidak mahu menetap di Malaysia.
Kerana pengaruh pemimpin utama Rejimen Ke-10 dan suaminya, pendirian Siti Norkiah juga begitu mantap dan tidak berubah lagi, walaupun keluarganya, khasnya adiknya Haji Mokhtar berkali-kali mengajaknya pulang menetap di Malaysia, dan malah bersedia membuatkan dia rumah, jika dia tidak mahu menumpang di rumah saudara mara.
Walau bagaimanapun, setelah kira-kira dua puluh tahun Siti Norkiah menetap di kampung Perdamaian Sukhirin, tempat tinggalnya sekarang, dia memberitahu, ada juga beberapa alasan lain, mengapa dia memilih menetap di Thailand dan tidak mahu balik ke Malaysia.
Antara sebabnya adalah di Thailand dia sudah ada tanah dan rumah pemberian kerajaan Thailand. Dia menganggap bahawa pemberian tanah dan rumah itu adalah sebagai menghargai jasanya “berjuang bertumpah darah” yang begitu lama di kawasan sempadan. Dengan itu, dia begitu bangga dengan perjuangannya, dan merasa sangat bangga pula apabila perjuangannya itu dihargai dengan pemberian tanah dan rumah itu.
Selain ada tanah dan rumah, dia juga merasa senang tinggal di Thailand, kerana di tempat itu dia tinggal bersama dengan kawan-kawan seperjuangannya yang telah bersama-sama dengannya dalam masa yang panjang, lebih 40 tahun. Hubungan yang rapat dan mesra dengan kawan-kawannya, malah perasaan setiakawan yang telah terjalin antara mereka sebagai bekas gerila yang berjuang bersama-sama begitu lama, menyebabkan dia merasa lebih selesa tinggal di situ berbanding dengan tinggal dengan keluarganya sendiri di Malaysia yang sudah ditinggalkannya hampir setengah abad.”
2.
Bagaimanakah 'sejarah'? Sejarah versi rasmi - sejarah yang mahu ditulis oleh para pakar bidangnya?
Apakah yang terjadi dengan watak-watak seperti ini jika ditangani oleh para ilmuan cari makan?
Apakah kontroversinya sama saja seperti masa-masa lalu ― seperti watak Mat Indera tempoh hari?
Dengan propaganda yang dimainkan oleh segala aparat dan mesin kuasa Sang Penguasa, apakah yang wajar dikembalikan?
Demikianlah sepak terajang dan percaturan kuasa dan segala aparatnya. KUASA yang menentukan: Menghitamkan yang putih atau memutihkan yang hitam.
3.
Bila bercakap tentang para pakar bidang, kita teringatkan kisah ulat-ulat yang bersusah payah mencari makan.
Ya, jangan bikin malu pada ulat-ulat. Ulat yang menggunakan kudratnya untuk cari makan ― bukannya berbohong dengan menggunakan ‘ilmu’ yang ada.
No comments:
Post a Comment