Dinsman (Artikel
309, 27/4)
Duduk saja dua jam 28 April petang
“DATANGLAH KE DATARAN MERDEKA Kuala Lumpur pada 28 April. Kita duduk di situ selama dua jam
sahaja, sebagai simbolik membantah pilihanraya yang tidak adil dan tidak
bersih. Selepas dua jam, kita bersurai.”
Itulah mesej
penting yang disampaikan oleh Datuk A Samad Said Sasterawan Negara, yang
kira-kira sebulan ini (sambil menyambut ulangtahun harijadinya ke 77) dia berkeliling
ke seluruh pelosok negara sebagai Pengerusi Bersama Bersih 3.0, memberi
penerangan kepada rakyat tentang mengapa kita perlu “Duduk Bantah” pada 28
April ini.
Petang itu saya
mengikuti kembara A Samad Said, bersama dengan Kassim dan Hasni, ke Jelebu
Negeri Sembilan, untuk suatu acara seni-budaya yang diatur oleh Dr Alinor di
kampungnya, di Pertang. (Anjuran bersama dengan Seniman Paksi Rakyat). Sampai
di Kuala Kelawang kami disambut oleh seorang anak muda bernama Nazeri, yang
terus membawa kami ke tempat persembahan, di Kampung Geylang.
Beberapa orang
makcik dan kakak sedang memasak. Tentulah untuk jamuan bagi acara itu. Kami
difahamkan acara bermula selepas Asar. Tetapi tidak nampak pun tanda-tanda program
akan dimulakan. Sementara menunggu Samad Said tiba, juga Dr Alinor, seorang
lelaki mengajak kami berehat dulu di sebuah rumah.
Rupa-rupanya
pihak PAS dan DAP sudahpun berunding dengan pihak PKR (yang bekerjasama dengan
Paksi menganjurkan program seni-budaya ini), untuk membawa Samad Said ke suatu
pasar petang di pekan Simpang Durian, (kira-kira 20 km dari situ) untuk berjalan
dan bertemu dengan pengunjung-pengunjung pasar tersebut.
Wah wah, dah jadi
macam tokoh politik pula! Bertemu dengan rakyat di pasar petang. Biasanya
aktiviti seperti itu dibuat menjelang pilihanraya. Sesi bertemu pengundi.
Tetapi Samad Said bukannya tokoh politik yang hendak bertanding dalam
pilihanraya. Dia seorang tokoh sastera, seorang seniman, seorang budayawan.
Tak ada
pilihanraya pun yang dia hendak bertanding. Tetapi dia sedang berkempen untuk
pilihanraya yang bersih dan adil, bagi seluruh rakyat Malaysia. Dia sedang
berkeliling negara memberi penerangan kepada rakyat supaya berfikir – siapakah
sebenarnya yang selama ini menipu rakyat, dan apakah sebenarnya yang dibuat
oleh tokoh-tokoh bangsawan Melayu yang menerajui negara melalui parti politik
Umno sejak 54 tahun negara merdeka? Siapakah yang sedang mencabuli amalan
demokrasi di negara kita sekarang?
Siapakah yang
sebenarnya menimbulkan prasangka dan curiga perkauman di kalangan rakyat
Malaysia selama ini? Betulkah orang Cina yang telah dan sedang menghakis
hak-hak dan harta orang Melayu, ataupun segelintir bangsawan Melayu sendiri
yang berbuat demikian?
Petang itu,
sesampai saja kami di Simpang Durian, beberapa orang petugas PAS dan DAP (di
samping PKR) sedia menunggu dengan risalah Roket dan buku nipis bergambar
“Kenangan 9 Julai” untuk diedarkan kepada orang ramai, mengiringi A Samad Said
berjalan di pasar itu.
Pasar Simpang
Durian petang itu pun memang ramai orang. Sesak jugalah jalannya di antara
gerai-gerai orang berjualan itu. Sambil Samad Said berjalan dan berjabat dengan
orang-orang di pasar, seorang petugas dengan pembesar suara memberi penerangan
mengenai kehadiran Sasterawan Negara A Samad Said dan misinya untuk perhimpunan
aman ‘Duduk Bantah’ pada 28 April.
Satu lagi
peristiwa yang sangat menarik telah direkodkan dalam sejarah kebudayaan kita
oleh seorang sasterawan dan seniman yang menjadi ikon pejuang rakyat Malaysia
masakini. Ketika mengekorinya dari belakang, sempatlah saya mendengar orang
ramai berbisik-bisik sesama mereka mengenai kehadiran A Samad Said itu. Dan
seperti biasa, ramailah yang mengambil kesempatan untuk bergambar bersama ikon
kegemaran mereka.
Selesai sesi
berjalan dan bertemu peminat di pasar, Samad meminta supaya dia dihantar ke
masjid berkekatan, untuk dia berehat sambil membaca al-Quran sementara menunggu
waktu untuk solat maghrib. Dia tidak meminta bilik hotel atau rumah untuk
berehat pada petang itu. Malah ajakan kami untuk minum di restoran depan pasar
itu pun ditolaknya.
Sementara itu
Kassim pula sempat jatuh hati dengan pasar petang Simpang Durian. Melihat
pucuk-pucuk ulam serta ikan-ikan sungai yang segar di gerai-gerai jualan,
dengan harga yang agak rendah dibandingkan dengan di Lembah Kelang, Kassim menyatakan
keinginannya untuk datang lagi ke pasar petang Simpang Durian.
“Memang kita akan
datang lagi ke Jelebu pada 13 Mei,” kata saya, mengingatkan Kassim akan program
Paksi berdialog dengan peminat-peminat seni di Jelebu, yang sedang diatur oleh
Dr Alinor bersama Nazeri.
Selesai maghrib
kami pun bertolak balik ke Kampung Geylang. Menjamu selera dengan masakan
orang-orang kampung, dan selepas isya’ Nazeri pun memulakan persembahan.
Dimulakan dengan persembahan kompang (yang agak berbeza kerana adanya gendang
besar), dan diikuti dengan persembahan Nazeri sendiri – menyanyi dengan petikan
gitar solonya. Syabas Nazeri! Teruskan usaha untuk menyemarakkan seni di
Pertang!
Acara seterusnya
ialah persembahan dari Paksi, yang diisikan oleh Kassim, Hasni dan saya.
Kemuncaknya ialah ucapan oleh A Samad Said, (dia tidak berpuisi lagi, dia hanya
berucap), selaku Pengerusi Bersama Bersih 3.0. Dan mesej ucapannya itulah tadi
– seperti yang saya jelaskan di awal tulisan ini.
“Datanglah ke
Dataran Merdeka Kuala Lumpur pada 28 April. Kita duduk di situ selama dua jam
sahaja, sebagai simbolik membantah pilihanraya yang tidak adil dan tidak
bersih. Selepas dua jam, kita bersurai.”
No comments:
Post a Comment