Dinsman (Artikel
310, 30/4)
Mari tulis puisi “duduk bantah”
Puisi “duduk
bantah”? Atau puisi “Bersih 3.0”? Mana satu yang betul? Atau kedua-duanya
betul? Pokoknya puisi mengenai bantahan rakyat terhadap kerajaan Umno-BN yang
nampaknya sengaja mengotorkan daftar pengundi untuk pilihanraya di negara ini,
dengan tujuan memastikan kemenangan kepada Umno-BN dan mengekalkan kuasa mereka
untuk terus memerintah dan menipu rakyat.
(Sasterawan
Negara A Samad Said menggunakan istilah golongan ‘bangsawan’ terhadap pimpinan
kerajaan Umno-BN yang memerintah Malaysia sejak 1957 hingga kini. Kita
sepatutnya membebaskan diri daripada cengkaman puak bangsawan tersebut,
katanya. Memang mereka tidak pernah berjuang untuk rakyat pun. Mereka hanya
mahu mengekalkan kuasa bangsawan mereka sahaja, dengan berselindung di sebalik
konon-kononnya berjuang untuk rakyat.)
Sempena dengan
bermulanya kempen Bersih 3.0 hari itu, kami beberapa orang AJK Seniman Paksi
Rakyat (Paksi) kebetulan sedang berbincang sesuatu dengan Ketua Pengarang Harakah.
Maka tiba-tiba muncul idea untuk berbuat sesuatu sebagai menyokong dan
memeriahkan peristiwa demo Bersih 3.0 yang menjelang tiba itu. Apa yang boleh dan
sesuai untuk dibuat? Kami berbincang, dan akhirnya timbul cadangan untuk
menganjurkan pertandingan menulis puisi sempena dengan kempen Bersih 3.0 itu.
Pada mulanya ada
yang cadang supaya keputusan pertandingan menulis puisi itu diumumkan dalam
perhimpunan 28 April, dan pemenangnya dikehendaki membaca puisinya itu dalam
perhimpunan tersebut. Tujuannya untuk memeriahkan lagi perhimpunan itu.
Tapi masa agak
terlalu suntuk. Hanya beberapa hari sahaja lagi, waktu itu. Nak buat
pengumuman, nak keluarkan iklan dalam akhbar dan sebagainya, semua mengambil
waktu. Maka kami bersetuju untuk lanjutkan tarikhnya hingga selepas peristiwa
penting 28 April, dan bolehlah peristiwa 28 April itu sendiri pun dijadikan
bahan atau inspirasi untuk tulis puisi tersebut.
Pengalaman
menyertai perhimpunan atau demonstrassi Bersih 3.0 itu. Tak kiralah di mana
pun. Di Dataran Merdeka, atau di tempat-tempat lain, malah di luar negara juga
– pengalaman itu diungkapkan semula dalam puisi. Tentulah ada berbagai
pengalaman.
Ketika artikel
ini ditulis, peristiwa 28 April itu belum berlaku, maka kita belum tahu lagi
apa dan bagaimana peristiwa itu akan terjadi. Apakah ia akan dibenarkan oleh
pihak polis, dan ia akan berjalan dengan lancar seperti yang dirancang, dan
rakyat akan membanjiri Dataran Merdeka, hingga melimpah-limpah sampai ke Masjid
Negara dan sampai ke Pasar Seni dan sampai ke Sogo dan sampai ke PWTC. Kita
belum tahu.
Kalaulah pihak
polis tidak menghalangnya, tidak ada sekatan di jalan-jalan raya, kenderaan
awam seperti LRT, keretapi dan komuter pun tidak diganggu, maka bagaimanakah
jadinya? Ini yang kita ingin sangat nak tahu. Belum pernah lagi terjadi begitu.
Bayangkanlah
suasana perhimpunan yang aman dan damai. Kuala Lumpur bertukar menjadi suatu
tempat perkelahan yang dibanjiri oleh ratusan ribu manusia dari seluruh pelosok
negara. Hah, siapa kata para peniaga akan mengalami kerugian berjuta ringgit
dan siapa kata para pemandu teksi juga akan mengalami kerugian? Malah mereka sebaliknya
akan mengalami keuntungan yang berlipat ganda daripada hari-hari biasa.
Cubalah!
Tidak ada sebab
pun untuk golongan tersebut mengalami kerugian. Itu satu pembohongan di siang
bolong tu! Budak tadika pun boleh fikir. Maka inilah yang kita mengharapkan
sangat supaya pihak kerajaan pimpinan Najib Razak bersama Rosmah Mansor itu
mencuba strategi baru – membenarkan rakyat berhimpun dengan aman pada 28 April
ini.
Yang lepas-lepas
semuanya diganggu oleh pihak polis, bermula dari sekatan di jalanraya dan
berakhir dengan tembakan gas pemedih mata dan kita bertempiaran lari kerana
tidak tahan dengan mata pedih dan sesak nafas, dan ditambah pula dengan
semburan air gatal, malah ada yang kena belasah hingga berdarah-darah kepala
dan sebagainya.
Makanya sehingga
sekarang semua orang sudah tahu – setiap kali ada perhimpunan samada kecil atau
besar, kenapakah berlakunya kekacauan atau rusuhan? Tak perlu saya cakap lagi.
Kita semua sudah tahu siapa yang menyebabkannya dan siapa yang memulakannya.
Rakyat awam di Malaysia semuanya cintakan keamanan. Hanya pihak yang
berkepentingan dan merasakan kedudukan mereka tergugat sahaja yang curiga
kepada sesama sendiri dan menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk
memburuk-burukkan pihak lain. Ini semua orang sudah tahu.
Namun walau apa
pun, seperti saya sebut tadi, ketika artikel ini ditulis tarikh temasya yang
dinanti-nantikan itu belum lagi tiba. Jadi kita belum tahu lagi apakah yang
sebenarnya akan terjadi. Pengalaman bagaimanakah yang sebenarnya yang akan kita
lalui. Inilah yang kita tunggu-tunggu, bagi membolehkan kita mencipta puisi
yang sesuai untuk menyertai pertandingan menulis puisi Bersih 3.0 itu.
Tapi pun tidak
semestinya puisi Bersih 3.0 itu hanya puisi-puisi yang menceritakan pengalaman
menyertai perhimpunan Duduk Bantah itu sahaja. Tidak semestinya. Boleh tulis
apa sahaja sebenarnya. Setiap orang ada idea, ilham, imaginasi dan pemikiran
sendiri mengenai Bersih 3.0 itu. Tulislah! Saya pun tak tahu apa lagi yang
boleh dipuisikan. Ruang dan skopnya terlalu luas sebenarnya. Anda sekalian
lebih tahu apa yang ada dengan diri anda. Asalkan ia menyentuh perjuangan
Bersih 3.0 itu.
Kita mengharapkan
ramailah yang akan menyertai pertandingan ini. Hadiah yang ditawarkan pun agak
lumayan juga. RM1,000 untuk sebuah puisi yang terpilih sebagai puisi terbaik.
Yang kedua terbaik RM750, dan seterusnya yang ketiga, dan sagu hati dan hadiah
penghargaan lagi. Ada banyak juga hadiah yang disediakan.
Dan kita
mengharapkan dapat pula menerbitkan buku antologi puisi-puisi tersebut. Pihak
Kerajaan Negeri Selangor melalui Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan
Pembangunan Modal Insannya yang bekerjasama menganjurkan pertandingan ini
tentulah tidak mahu melihat puisi-puisi itu dilupakan begitu sahaja tanpa
diabadikan dalam sebuah buku.
____________________________________________________________
Nota tambahan untuk mereka yang berminat:
SAYEMBARA PUISI BERSIH 3.0
No. 5, Jalan 65C
Pekeliling Business Centre
53000 KUALA LUMPUR
Tel: 03-40212009
Atau emel:
puisibersih03@yahoo.com
Tarikh Tutup: 6 Mei 2012.
No comments:
Post a Comment