Tuesday, April 3, 2012

Menghayati dan mendeklamasi puisi

Dinsman (Artikel 302, 30/3)
Menghayati dan mendeklamasi puisi


Sabtu 24 Mac saya bersama Kassim Muhamad dijemput menjadi hakim pertandingan mendeklamasi sajak, anjuran Muzium Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Petaling Jaya. Turut bersama menjadi hakim ialah Norhisham.

Seramai 36 orang peserta mengambil bahagian dalam tiga kategori – sekolah rendah, sekolah menengah dan dewasa. Masing-masing 12 orang bagi setiap kategori. Sajak bertemakan Petaling Jaya.

Satu peristiwa yang menarik. Pertamanya kerana lokasinya di tempat terbuka di tengah-tengah taman tasik Petaling Jaya. Memang lokasi dan suasana yang cantik dan indah, di pagi Sabtu yang segar itu. Maka saya pun membayangkan sesuatu yang lain pula, yang sangat sesuai dan sangat cantik kalau dibuat di situ – tak lain tak bukan tentulah persembahan puisi dan lagu-lagu puisi. Alangkah berseni-budayanya Petaling Jaya!

Tetapi itu cerita lain. Yang nak saya bincangkan di sini ialah mengenai menghayati dan mendeklamasi puisi, sempena peristiwa pertandingan mendeklamasi sajak oleh Muzium Petaling Jaya itu. Khabarnya itu kali yang ke enam dan tahun yang ke enam mereka menganjurkannya. Maka persiapannya pun nampak teratur dan rapi.

Ada beberapa hal yang menarik. Antaranya, sewaktu pertandingan bagi kategori sekolah rendah sampai di hujungnya saya berbisik kepada Kassim: “Mereka ini semua agaknya diajar oleh seorang cikgu. Sama saja cara membacanya. Pengucapannya, intonasi suaranya, kalau kita tak tengok, kita dengar saja, macam satu orang saja yang mendeklamasi.”

Semuanya menghafal. Semua peserta dari semua kategori. Hanya seorang dua yang membawa kertas kecil di tapak tangan untuk dilihat sesekali. Ada yang terlupa dan Norhisham perlu mengingatkan. Tak mengapalah hal itu.

Secara keseluruhannya saya perhatikan ada satu perkara yang seperti diabaikan oleh cikgu-cikgu yang mengajar deklamasi berkenaan, iaitu perkara penghayatan. Dalam borang pemarkahan memang terdapat perkara penghayatan, yang dibahagi pula kepada dua bahagian. Peratusan markahnya pun kecil. Padahal inilah perkara yang utama dalam pembacaan atau deklamasi puisi/sajak.

Bagi kategori sekolah rendah terutamanya, saya tak fikir peserta-peserta itu dapat menghayati sajak-sajak yang dibaca. Cara pengucapan dan intonasi suara (irama) serta gerak tangan mereka menunjukkan demikian. Dan sajak-sajak yang dibaca itu adakah sesuai dengan mereka? Daripada manakah sajak-sajak itu diambil, atau dipilih?

Sepatutnya inilah perkara pertama yang perlu diperhatikan. Sajak-sajak yang dideklamasi itu biarlah sajak-sajak yang baik dan sesuai. Kalau boleh biarlah karya penyair-penyair ternama. Biarlah para pelajar/peserta itu tahu dan dapat mengenali puisi-puisi yang baik. Dan itu adalah asas kepada deklamasi atau pembacaan yang baik.

Yakni asasnya ialah pemilihan puisi. Bukan semua puisi sesuai untuk dideklamasi, walaupun puisi yang baik. Maka untuk ini ia mestilah puisi yang baik dan sesuai untuk dideklamasi oleh pendeklamator tertentu. Bagi kategori sekolah rendah, mestilah puisi yang sesuai dengan peringkat umur dan tahap pemikiran mereka. SN A Samad Said misalnya, mempunyai buku kumpulan puisi yang khas, sesuai dengan peringkat ini, iaitu kumpulan Rindu Ibu.

Penghayatan ialah perkara yang kedua, iaitu setelah puisi telah dipilih. Menghayati sebuah puisi ialah memahami maknanya, menyelami maksudnya dan menikmati keindahannya sebagai sebuah karya seni. Berdasarkan penghayatan itulah maka lahirnya persembahan, dalam bentuk dan gaya yang sesuai dengan maksud dan semangat puisi itu sendiri.

Tidak semua puisi memerlukan lontaran suara yang lantang dan nyaring (yang nampaknya menjadi kegemaran hampir semua peserta). Ada puisi yang memerlukan bacaan yang bersahaja. Ada puisi yang memerlukan aksi atau gerak badan dan ada puisi yang memerlukan pendeklamatornya berdiri diam sahaja.

Semuanya bermula dan bertolak daripada penghayatan terhadap puisi yang hendak dibaca itu. Dan ini sebenarnya bukanlah masalah dalam pertandingan deklamasi yang dianjurkan oleh Muzium Petaling Jaya ini sahaja. Apa yang saya bincangkan ini adalah masalah dalam keseluruhan pertandingan deklamasi puisi yang selalu diadakan di negara ini.

Mereka mempunyai gaya baca (atau deklamasi) yang tersendiri, yang berbeza daripada gaya baca penyair-penyair dalam majlis-majlis baca puisi yang bukan pertandingan deklamasi. Agak menghairankan juga bagaimana hal ini boleh terjadi. Dari manakah asalnya lahir gaya deklamasi istimewa di kalangan peserta-peserta pertandingan mendeklamasi puisi itu?

Hendak dikatakan gaya itu adalah hasil peniruan terhadap gaya pemenang-pemenang dalam pertandingan mendeklamasi puisi yang sering dianjurkan di negara kita – rasanya tidak juga. Sebab setahu saya di kalangan penyair sendiri ada beberapa orang yang pernah memenangi pertandingan mendeklamasi puisi peringkat kebangsaan, seperti Puzi Hadi dan Shukri Abdullah.

Tidak seorang pun di kalangan peserta yang mendeklamasi pada pagi Sabtu di Taman Tasik Petaling Jaya itu membawa gaya persembahan Shukri Abdullah mahupun Puzi Hadi. Jadi, bagaimanakah gaya khas dengan irama khas itu boleh tercipta dan tersebar?

Tak mengapalah, walau bagaimanapun asal mula terjadinya gaya persembahan itu. Namun ada juga beberapa peserta dalam kategori sekolah menengah dan dewasa yang membawa kelainan dalam gaya persembahan. Paling menariknya ialah dua orang pelajar berketurunan Cina yang terpilih sebagai pemenang nombor satu dan nombor dua itu. Mereka memper-lihatkan penghayatan yang baik, dan menyampaikannya sesuai dengan penghayatan itu.

Walau apapun, ucapan tahniah patut diberikan kepada pihak Muzium Petaling Jaya. Hanya kita mengharapkan Puan Ainul Farhiah (Pustakawan 1) yang bertanggungjawab menganjurkan program itu, mahu pula menganjurkan sesuatu seperti yang saya bayangkan di atas tadi – persembahan puisi dan lagu-lagu puisi – sesuai dengan suasana indah taman tasik di hadapan Muzium Petaling Jaya itu!

No comments: