Doa surau tua, pinggir kota
Dinding,
Ya, aku tau ― kau tahu, itulah temu janji yang begitu lamaaa...sekali kunantikan. Aku juga tahu, kau sudah tidak sabar-sabar lagi menantikan tiba saatnya. Katamu, kau terlalu penat mendengar pelbagai alasan oleh SPR, Suruhan Jaya Piliihan Raya itu. Kau, seperti aku yakin, sebenarnya itu semua hanyalah taktik mencuri masa, mengalih isu, menunda perhatian dengan iltizam yang cekal ― untuk terus menipu dalam semua pilihan raya.
Ayuh, Dinding lalukanlah sesuatu untuk menyambut ketibaan tarikh itu.
Lantai,
Katamu segala dalih, hujah, alasan, kewajaran ― yang sungguh-sungguh tidak wajar yang sekian lama dan telah berulang-ulang kali, SPR bentangkan adalah taktik lapuk yang tak mungkin berjaya selama-lamanya. Katamu lagi, kau sudah muak ditipu terang-terang sedemikian rupa. Ya, aku akur ― kau juga mahu merayakan 28 April 2012 yang bersejarah itu.
Kolah,
Gelombangmu bagaikan bumi digegar tsunami. Katamu kau berlonjak gembira pabila 28 April 2012 itu diumumkan. Kau gembira sekali ― melonjak-lonjak ...
Pintu,
Lantunan kepakmu bagaikan sorak-sorai yang tidak ada penghujungnya. Mulai saat ini, kau bertasbih, bertahmid sepanjang waktu.
II.
Lalu, apakah ikhtiar kalian merayakan 28 April 2012 itu?
Dinding: Jadikan tubuhku ini papan tulis yang maha besar Kuala Lumpur. Kau tulislah sajak-sajak terbagus buat meraikannya. Kau ajaklah seluruh anak bangsa ini, menulis bait-bait sajak buat memperingatinya. Percayalah, sampai kiamat pun kan kusimpan puisi-puisi sejarah ini!!!
Lantai: Jadikan tubuhku pengalas tubuh segala musafir segala ceruk rantau ibunda. Sebelum bersimpuh mereka di Dataran Merdeka, akulah pelarut lelahnya. Mereka, anak-anak bangsa 28 April 2012 tetamuku ― terhormat, pengukir sejarah.
Pintu: Kudepangkan tanganku seluas-luasnya. Ayuh, ke marilah wahai anak-anak bangsa. Ke mari, segeralah ke dalam pelukanku.
Kolah: Kuhalalkan airku untuk sekalian anak bangsa. Aku tak punya apa-apa kecuali doa dan harapan: Segala haus dahaga memilih pemerintah secara adil itu tertunai jua akhirnya.
Amin.
4 April, 2012
wangsa maju,
kuala lumpur
No comments:
Post a Comment