Friday, September 21, 2012

Rezeki terpijak



Rezeki terpijak Ahh Jibb

Ahh Jibb, Wak Leman berjiran.  Kedua-duanya Melayu.  Kedua-duanya,  mengaku mencintai Islam,  dan katanya mahukan Islam itu dijadikan panduan hidup-mati.  Apa lagi persamaan mereka selain Melayunya dan Islamnya Ahh Jibb dan Wak Leman?  Ada.  Kedua-duanya gerun jika DILIHAT oleh penduduk Kampung Malisia bahawa mereka TIDAK menjaga Melayu dan TIDAK mencintai Islam.  Ada lagikah persamaan mereka berdua?  Ada,  kedua-duanya bercita-cita memimpin Kampung.  Ada lagi ― persamaan mereka berdua?  Tak ada.  Ahh Jibb sudah lama menjadi ketua Kampung Malisia.

Yang jelas, sejak Malisia merdeka, Ahh Jibb adalah ketua kampungnya.  Yang jelas,  Wak Leman itu seteru maha besarnya Ahh Jibb.  Yang jelas,  Ahh Jibb tidak kelihatan sebagai ahlul masjid kerana selama ini Wak Lemanlah yang dipercayai lebih layak memimpin masjid.  Maka masjid kampung pun dipimpinlah oleh Wak Leman.  Sejak itu telah wujud pelbagai kaedah, cara, tipu dan daya dan penipuan yang Ahh Jibb lakukan untuk merampas kepimpinan masjid daripada Wak Leman.  Namun segala usaha ini ternyata tidak berjaya sehinggalah Ahh Jibb mengarah kuncu-kuncunya ‘melokap’ masjid kampung atas tuduhan bahawa rumah Allah itu telah ‘disalahgunakan’ untuk menyebarkan ajaran sesat.  Mengikut dikri pertuduhan, (katanya yang datang dan disokong oleh pihak atasan agama), Islam itu mestilah sederhana dan tidak ekstrim.  Wak Leman dikatakan ekstrim kerana lupa akan kemajmukan Kampung Malisia.

2.

Di Kampung Malisia, modal Melayu dan Islam ini tidak pernah mati.  Oleh sebab itu peristiwa penghinaan Nabi Muhammad menjadi semacam rezeki terpijak yang tak boleh dipersia-siakan.  Mengikut para penasihat dalam Jawatankuasa Kampung, rugi maha besarlah jika rezeki agama seperti ini tidak dimanfaatkan secukup-cukupnya dan sebaik-baiknya.  Ya, rugi.  Rugi kalau rezeki seperti ini tidak diolah dengan baik dan sempurna.  Maka malam itu, Ahh Jibb pun bersyarahlah tentang kesucian Islam.  Kata Ahh Jibb dalam syarahnya tentang episod penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW ― rezeki yang tiba-tiba meletup itu ― Islam itu tidak boleh sekali-kali dipermain-mainkan.  Islam itu maha besar dan oleh kerana itu janganlah ada sesiapa yang mahu memperkecil-kecilkannya!  Tempikan Ahh Jibb bergema ke seluruh Kampung.  Ada jemaah yang panik, takut-takut kalau-kalau bumbung masjid runtuh dek gegaran tempikan yang maha bersemangat itu.


3.

Maka ramailah yang bingung melihat sikap Wak Leman dalam isu penghinaan terhadap Nabi ini dan ramailah yang mendesak bertalu-talu pula supaya Ahh Jibb dan Wak Leman bergabung tenaga demi untuk menentang musuh-musuh Islam.

Bila ditanya berulang-ulang kali kenapakah Wak Leman begitu liat mahu ‘bergabung tenaga dengan Ahh Jibb demi untuk Islam’, Wak Leman pun membentang satu dua soalan lazim, FAQ, Frequently Asked Questions kepada yang bertanya itu:

SENARAI SOALAN Wak LEMAN:

Sejak bila Ahh Jibb menjaga Islam?
Sejak bila Ahh Jibb menjaga Melayu?
Sejak bila Melayu-Melayu ‘pelik-pelik’ (baca:korup, zalim, pendendam, pilih kasih...) itu lebih bagus dibandingkan dengan Ah Seng yang telus, bijaksana, amanah dan adil?


No comments: