Saturday, September 22, 2012

Dia meracau dengan labu-labunya



Sumber: Malaysiakini

Dr M: Boleh tegur pemimpin tapi biar beradap Bernama 7:03AM Sep 21 2012

“Beliau juga berpandangan perasaan benci kepada kerajaan yang ditiup oleh pembangkang sekarang mampu menghalang BN daripada menguasai pilihan raya umum akan datang dengan majoriti dua pertiga.
  
Disebabkan sentimen itu, rakyat kata Dr Mahathir, lupa segala jasa kerajaan dan menumpukan hanya kepada perkara buruk.”


II.

Makna petikan berita di atas (yang terkandung dalam 42 patah MAHA perkataan saja) ialah:


i) Firasatnya bahawa Umno akan kalah semakin jelas terpampang di depan matanya.  Untuk mengelak malapetaka ini menimpa Umno, para kroni serta gerombolan cukong Melayu-Cina-India yang menunjanginya dan ditunjanginya selama ini, dia berhujah seolah-olah BN akan menang dengan majoriti mudah.  Kita masih ingat hujahnya pada zaman keangkuhannya Umno sedang bermaharajalela ― majoriti 2/3 itu adalah ‘sesuatu yang mesti’ demi membolehkan Umno memberikan yang terbaik kepada rakyat Malaysia.  Sekarang hujah itu sudahpun ditinggalkannya.  Dia amat berharap taktik ini akan membantu menyelamatkan Umno dalam PRU13 nanti.  Ertinya menang majoriti mudah pun ‘tidak apalah’ asalkan Umno jangan kalah.     

ii) Dia bercakap di Johor.  Bayangkanlah Johor,  tempat tumpah darahnya Umno itu,  tumpas ke tangan Pakatan Rakyat ― ke manakah lagi mau disorokkan mukanya?  Oleh itu walau dengan apa cara sekali pun, baginya Umno tidak boleh kehilangan Johor.  Aib yang sedemikian ini mestilah dihindari.  Ya, sungguh begitu memalukan jika Johor bungkus kepada Pakatan Rakyat.

iii) Kempen pembangkang (baca: menghasut bahawa Umno itu petaka nyata kepada Malaysia) supaya Umno dihumban ke longkang sejarah ternyata sudah berkesan.  Dan dalam siri pertempuran dalam pelbagai peperangan menghasut rakyat ini, ternyata Umno gagal walaupun ia menguasa segala macam meriam, kereta kebal, mesin, peralatan, teknologi, tenaga pakar, pecacai (termasuk para profesor kangkung) untuk menyerang urat saraf dan minda rakyat.  Rakyat sudah TIDAK percayakan Umno lagi.

iv) Dia memohon simpati dengan menggunakan sentuhan psikologi untuk membisik, merayu dan meratap-ratap.  Dia bercakap tentang rakyat yang sepatutnya mengenang budi ― satu nilai yang masih lagi agak akrab dalam budaya Melayu.  Dia amat arif bahawa dalam chromosomenya budaya Melayu, terhutang budi itu besar maknanya kepada orang-orang Melayu. Dia juga mahu memperingatkan orang-orang Melayu bahawa pantang datuk nenek orang-orang Melayu, tidak tahu mengenang budi.  Malangnya,  dia terlupa bahawa rakyat sudah cukup masak dengan segala kebejatan Umno yang memerintah Malaysia lebih setengah abad itu.

v) Akhirnya dia mengaku, secara terbuka pula, sesungguhnya Umno itu sebenarnya buruk kelakuannya.  Tentunya dia tidak mengulas, mengupas apakah rupa dan bentuk kelakuan-kelakuan buruk Umno itu.  Dalam konteks ini, yang masih segar dalam ingatannya ialah frasa tersohor yang kerap didendangkan ― Melayu mudah lupa.


Sebelum mengudurkan diri, kita tutupi majlis ini dengan pantun tangkap-muat ini:


bangsal dan ulu mekar di hutan
buah dan kelapa leka bertanya   
sesal dulu besar pendapatan
mudah lupa celaka akibatnya




No comments: