Dinsman (Artikel
345, 1/10)
‘Gelombang di Pesisir Waktu’ Pak Shukur
Itu judul sebuah
buku, karya Abdul Shukur Harun, kolumnis tetap akhbar Harakah sejak beberapa tahun lalu (setelah bersara daripada jawatan
Pengarang di Harakah) dan masih menyumbang hingga kini. Berusia 74 tahun. Muda
sedikit daripada SN A Samad Said (77) dan tua sedikit daripada Razali Endun
(70). Di kalangan AJK Seniman Paksi Rakyat (Paksi) dialah yang paling veteran.
‘Gelombang di
Pesisir Waktu’ – bunyinya seperti judul sebuah novel atau sebuah puisi, tetapi
tidak. Ia judul sebuah buku kumpulan esei yang pernah tersiar dalam kolum
‘Cetusan Idea’ oleh A Shukur Harun, dalam akhbar Harakah. Di bawah judul itu di kulit depan buku itu disebut
“Kumpulan rencana politik, gerakan Islam, kesusasteraan dan kehidupan”.
Secara umumnya
itulah tiga kategori tulisan dalam buku ini – politik, gerakan Islam, dan
sastera dan kehidupan. Dan itulah tiga bidang yang digemari oleh editor akhbar
yang mempunyai pengalaman luas dan lama dalam bidang kewartawanan dan
persuratkhabaran ini, seperti dicatatkan di kulit belakang buku itu:
Beliau “mula
bekerja di beberapa percetakan di Singapura termasuk di Utusan Melayu Singapura
dan Kuala Lumpur pada tahun 1963. Selepas itu berpindah sebagai penyunting di
Berita Harian Kuala Lumpur selama 23 tahun hingga bersara. Kemudian menjadi
Pengarang 2 dan Pengarang 1 Harakah selama tujuh tahun hingga bersara kali
kedua.”
A Shukur Harun,
menurut catatan itu lagi, “menulis lebih kurang 250 rencana, 40 cerpen, lima
novel. Memenangi tiga kali Hadiah Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka, Hadiah
Esso-Gapena, Hadiah Penulisan Islam anjuran Jabatan Hal Ehwal Islam JPM, dan
beberapa hadiah penulisan lain.”
Itulah A Shukur
Harun, yang lebih dikenali di kalangan kawan-kawan dengan panggilan Pak Shukur.
Seorang penulis veteran yang masih aktif menulis saban minggu, dan hampir seperti
A Samad Said yang selalu ke sana ke mari menunaikan jemputan untuk berceramah
dan membaca puisi, beliau juga demikian. Masih aktif ke sana ke mari menunaikan
jemputan.
Pada 2 Ogos lalu
misalnya, saya bersama dengan beliau ke Masjid Batu di Permatang Pauh, Pulau
Pinang, kerana dijemput melancarkan buku beliau “Gelombang di Pesisir Waktu”
ini, dan buku saya “Pemikiran dan Perancangan Seni-Budaya”, khas untuk jemaah
masjid itu (yang minat dengan buku).
Tetapi berbeza
dengan A Samad Said yang tidak pernah terlibat secara langsung dengan politik
parti, Shukur Harun terlibat. Dia pernah menjadi YDP PAS Kawasan Subang tidak
lama dulu. Kini setelah mengundur diri untuk memberi peluang kepada orang yang
lebih muda, dia masih aktif menyumbangkan idea, pemikiran dan tenaganya kepada
parti.
Seorang yang kuat
dan banyak membaca, pemikirannya kelihatan agak terbuka, dinamis dan sentiasa
mengikuti peredaran zaman. Makanya beliau pun turut aktif bersama dengan
aktiviti-aktiviti seni-budaya Paksi. Tiga daripada 32 esei dalam buku ini turut
merakam aktiviti Paksi, seperti “Himpunan terbesar karyawan Paksi di Felda”
(hal.139-143); “Sasterawan Paksi berkarya untuk Rakyat” (hal.145-149); dan “Mengapa
A Samad Said kagumi novel Dr Zhivago” (hal.121-125).
SN A Samad Said
dalam Kata Pengantar buku ini menulis: “Bisikkan sajalah kepadanya di mana akan
ada majlis ceramah budaya yang merangsang, di mana boleh dijumpa buku sastera
yang mencabar dan di mana pula dapat ditemui watak pendakwah yang mengilhami.
Jika dirinya sihat, dan masanya terluang, kita akan terserempak dengannya.
“Dan apa yang
berlaku ini benar pada dekad lima puluhan abad lalu, dan tampaknya masih benar
juga pada dekad awal abad ini. Abdul Shukur Harun seorang seniwan berbadan
kecil bervisi besar, akan berupaya hadir di mana-mana saja terbentang ladang
ilmu duniawi dan madrasah agama ukhrawi.”
Demikianlah pentingnya
buku ini hingga saya membuat sorotan istimewa ini ialah kerana pada pagi Khamis
4 Oktober ini, akan berlangsung majlis membicarakan buku ini, oleh orang yang
tidak asing lagi, iaitu Ketua Pengarang akhbar Harakah, Ahmad Lutfi Othman.
Majlis akan diadakan di Perpustakaan Raja Tun Uda, PPAS, Shah Alam.
Saya menjangka
dan berharap Ahmad Lutfi akan memberi perhatian kepada bahagian pertama buku
ini, iaitu 10 esei yang membicarakan politik PAS. Bolehlah kita melihat
bagaimana pandangan Ahmad Lutfi terhadap garapan dan analisa politik Shukur
Harun. Makanya saya juga berharap untuk melihat sosok aktivis PAS di kalangan
hadirin yang akan memenuhi ruang wacana ilmu di perpustakaan Selangor yang
sangat cantik dan menarik ini (yang diurustadbirkan oleh seorang tokoh wanita
PAS sendiri)
Majlis bicara
buku ini adalah lanjutan daripada siri Wacana Ilmu bulanan Paksi di PPAS, yang
dimulakan sejak Februari 2011 lagi, dengan buku “Kumpulan Esei Budayawan
Bertindak” (karya 29 penulis) dan “Ranum” (kumpulan cerpen Razali Endun). Sejak
itu telah banyaklah buku yang diwacanakan, termasuk buku-buku karangan Prof
Shaharir Mohd Zain, Dr Hassan Ahmad, dan Prof Syed Hussein Alatas.
Mulai bulan
September, Paksi membawa aktiviti wacana ilmu ini keluar daripada pusatnya di
Shah Alam, untuk dibuat pula di peringkat daerah, bermula dengan 9 September
lalu di Rawang, iaitu bertempat di Masjid Nurul Iman Rawang, dengan buku “Rindu
Ibu”, kumpulan puisi kanak-kanak menjelang remaja oleh A Samad Said.
Aktiviti bicara
buku peringkat daerah yang kedua akan berlangsung di Masjid Nurul Amin, Kg Delek,
Klang, pada 12 Oktober ini (selepas solat maghrib). Bukunya ialah “Kepemimpinan
Tok Guru Nik Aziz…” karya Shaharir Mohd Zain, dengan pembicara utamanya Dr Mat
Rofa Ismail (UPM).
Kembali kepada
buku Gelombang di Pesisir Waktu karya A Shukur Harun. Selain Ahmad Lutfi
Othman, buku ini juga akan dibicarakan oleh Arif Atan, seorang penulis dan
ilmuan muda yang mempunyai kolum tetapnya di akhbar bertulisan Jawi – mingguan
Utusan Melayu (sisipan Utusan Malaysia.).
Datanglah. Wacana
ini terbuka kepada semua orang.
No comments:
Post a Comment