Dinsman (Artikel
355, 19/11)
CAP mahu penyakit ‘Jiwa Hamba’ diubati
Apabila disebut
“jiwa hamba” dan “jiwa merdeka” kita boleh memahaminya dari pelbagai sudut dan
konteks. Konteks penjajahan, feudalisme, kapitalisme, politik, agama dan
sebagainya. Azizi Hj Abdullah dalam bukunya “Jiwa Hamba” telah menyorot permasalahan ini dalam pelbagai konteks
dan maksud itu. Bukan dari sudut feudalisme sahaja, seperti yang selalu diberi
reaksi segera oleh minda kita apabila disebut “jiwa hamba”.
Dalam masyarakat
Malaysia hari ini banyak pihak berpendapat persoalan ini sangat relevan untuk
diberi perhatian. Namun pihak Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) melalui
Presidennya S.M Mohamed Idris dan novelis Azizi Hj Abdullah (Allahyarham) telah
mengambil langkah yang lebih bermakna dengan menerbitkan buku Jiwa Hamba itu.
Catat Azizi di
kulit belakang buku tersebut: “S.M Mohamed Idris bukan seorang pemikir, tetapi
beliau sering berfikir. Menerajui pelbagai NGO termasuk CAP, beliau melihat
bagaimana manusia sebagai pengguna telah menyalahkan sistem hidupnya, sehingga
terjebak menjadi manusia berjiwa hamba.
“Melihat
bagaimana kemiskinan dan nasib rakyat akibat penyalahgunaan sistem, beliau
melontar lagi pandangan. Maka lahir pula “Luka
Rakyat” yang cukup laris kerana menepati untuk semua peringkat berfikir,
kemudian “Mustadh‘afin”.
“Kini satu gaya
hidup orang Melayu yang membuat beliau gelisah. Ia berlaku zaman feudal dan kolonial
lagi tetapi diwarisi oleh sebahagian besar umat Melayu/Islam. Bagi beliau gaya
hidup dan sistem yang membelenggu umat Melayu/Islam seperti inilah yang
menyebabkan umat Melayu/Islam mundur, walaupun ada sebab-sebab yang lain lagi.
“Beliau tidak
mahu lihat umat Islam menjadi hamba, berjiwa hamba, rendah diri. Maka sekali
lagi saya berhujah dan berdebat dengan beliau. Baginya manusia itu memiliki
kemuliaan, bukan hamba. Lalu dicerna dan disimbah idea-idea ini sehingga saya
menjadi basah kuyup dan saya sangat senang menerimanya.”
Demikianlah Azizi
mencatatkan latarbelakang bagaimana lahirnya buku Jiwa Hamba itu. Kini Azizi sudah tiada, (meninggal dunia 21 Ogos
2011). Namun bukunya itu tetap hidup terus membawa idea dan gagasan yang
dianggap penting oleh para pendokong CAP masakini – S.M Mohamed Idris, Mohd
Azmi Abd Hamid, Mohideen Abd Kader dan Kassim Mohamad.
Sebenarnya bukan
CAP sahaja yang menganggap permasalahan “jiwa hamba” itu sebagai satu permasalahan
atau isu penting dalam masyarakat Malaysia hari ini. Banyak pihak yang
menganggapnya demikian, dan isu itu sering diperkatakan dalam pelbagai kesempatan
dan dalam pelbagai konteks.
Dan ada pihak
yang sangat berhati-hati apabila membincangkan isu “jiwa hamba” ini.
Berhati-hati kerana takut dan bimbang kalau tersentuh perkara yang sensitif,
yang dianggap taboo oleh sesetengah pihak, dan boleh dimanipulasi untuk
kepentingan-penentingan tertentu. Dan hal ini pun sebenarnya turut disentuh
oleh buku tersebut.
Saya juga
menganggap permasalahan “jiwa hamba” ini sebagai satu permasalahan penting yang
perlu dihadapi dengan hati dan fikiran terbuka oleh masyarakat Melayu-Islam di
negara ini. Bukan dari sudut dan konteks feudalisme (yang sensitif dan
kontroversil itu), tetapi dari sudut dan konteks penjajahan minda Barat ke atas
minda umat Islam hari ini, khasnya umat Melayu. Juga dalam konteks pemahaman
agama Islam kita.
Jiwa hamba maksudnya
jiwa yang tidak merdeka, jiwa yang tidak berani untuk berkata benar demi untuk
kebenaran itu sendiri, atau demi untuk agamanya yang mengajar dan menuntut dia
berkata benar; atau jiwa yang tidak mempunyai keyakinan terhadap kebenaran
dirinya.
Kata S.M Mohamed
Idris dalam Prakata buku tersebut: “Pelbagai perhambaan yang dapat dilihat
susuknya terjelma dalam kehidupan manusia zaman ini. Bermula dari perhambaan
pemikiran sehinggalah perhambaan bahasa dan budaya.”
Beliau berpendapat
bahawa persoalan yang tidak cukup difahami selepas kemerdekaan ialah wujudnya
gejala jiwa hamba yang tidak dapat dikikis dari masyarakat sehingga sekarang.
“Anggapan bahawa kita sudah merdeka rupa-rupanya masih dijangkiti oleh sebuah
penjajahan yang lebih mengakar iaitu penjajahan jiwa dan mental,” katanya.
Inilah ‘penyakit’
yang sedang menguasai sebahagian besar rakyat Malaysia hari ini – iaitu
penyakit ‘jiwa hamba’.
CAP tidak berpuas
hati dengan sekadar tersebarnya buku Jiwa
Hamba itu di pasaran selama beberapa tahun ini. ‘Penyakit’ jiwa hamba itu
dilihatnya terus merebak dan menguasai minda kebanyakan rakyat. Oleh itu ia
melangkah selangkah lagi ke depan, dengan menganjurkan suatu wacana, mengajak
mereka yang prihatin dengan persoalan ini untuk duduk berbincang mencari
sesuatu yang bermanfaat dan mujarab bagi mengubat ‘penyakit’ tersebut.
Wacana buku “Jiwa Hamba” akan diadakan di
Perpustakaan Raja Tun Uda (PPAS), Shah Alam, pada hari Selasa 27 November akan
datang. Panel pembicaranya terdiri daripada Mohd Azmi Abd Hamid, Presiden Teras
Pengupayaan Melayu (Teras); Herry Nurdi, pengarang buku paling prolifik di
Indonesia; dan Hasni Abas, Setiausaha Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP). Wacana
akan bermula pukul 9 pagi dan dijangka berakhir pukul satu tengahari. Terbuka
untuk orang ramai – percuma.
Ini lanjutan
daripada siri Wacana Ilmu bulanan anjuran bersama Seniman Paksi Rakyat (Paksi)
dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS). Kali ini kita bekerjasama
dengan CAP. Kali akan datang kita bekerjasama dengan pihak lain pula. Kita
memang menggalakkan program bicara buku seperti ini.
Kalau anda
berminat untuk mengadakan bicara buku apa-apa yang sesuai, hubungilah Kassim
Muhamad melalui SMS 012-4753516
No comments:
Post a Comment