Dinsman
Seni-budaya dan keseimbangan sosial
Supaya hidup kita
ini tidak ditentukan, tidak dikuasai dan tidak dipermainkan atau diperalatkan
oleh orang politik – itulah tujuannya mengapa kita perlu kepada seni-budaya.
Antara tujuannya. Ada tujuan lain lagilah. Tapi untuk perbincangan ini kita
akan lihat tujuan ini dulu. Untuk mewujudkan keseimbangan. Supaya tidaklah
seluruh masyarakat hanya tertumpu dan ditumpukan kepada perkara politik sahaja.
Dan politik hari
ini – seperti yang dapat kita lihat – adalah perebutan kuasa, manipulasi kuasa,
penipuan untuk kuasa, dan penyelewengan kebenaran untuk kuasa. Seolah-olah
hidup ini tiada lain melainkan mengenai kuasa. Dan itu pun macam sejenis
penyelewengan aqidah jugalah, ‘kan? Apakah kita pun sama-sama bersyubahat dalam
penyelewengan itu?
Memang bukan
seni-budaya sahaja yang boleh melahirkan keseimbangan yang dimaksudkan
(keseimbangan sosial?). Agama juga boleh, pendidikan juga boleh, kehakiman juga
boleh, profesionalisme pun boleh, ilmuan juga boleh, malah sukan juga dikatakan
boleh untuk melahirkan keseimbangan itu. Apa pun, tidak mengapalah, asalkan ia
aktif dan berfungsi mewujudkan keseimbangan.
Tetapi kalau kita
perhatikan realitinya, saya kira sukan tidak boleh berfungsi untuk mewujudkan
keseimbangan ini. Lihat sajalah apa yang berlaku dalam negara kita. Sukan tidak
ada keupayaan untuk mengimbangi kuasa politik, bahkan ia pun dikuasai oleh
orang-orang politik. Lagipun, capaiannya agak terhad. Komponen intelek di dalam
kandungannya terlalu kecil, sedangkan komponen itu yang diperlukan (dalam
konteks ini).
Dan mengapa kita
tiba-tiba bercakap mengenai keseimbangan ini? Kita bercakap mengenai
keseimbangan kerana masalah yang kita hadapi dalam kehidupan hari ini, terutama
di Malaysia, iaitu keterlaluan berpolitik. Kita membiarkan dan menyerahkan
segala-galanya kepada politik. “Kita” di sini siapa? Budayawan, ilmuan, ulamak,
pendidik, profesional, pentadbir, wartawan, dan juga mahasiswa. Golongan ini
pernah mengalami zaman kelesuannya mulai sekitar era 70-an, selepas Merdeka,
lalu sedikit demi sedikit menyerahkan urusan kehidupan masyarakat seluruhnya
kepada orang politik.
Politik di
Malaysia waktu itu (khasnya zaman Mahathir) dan sehingga kini pun keutamaannya
ialah kuasa. Memang definisinya bukan itu. Definisinya membawa makna yang
positif. Tetapi kita tidak merujuk kepada definisi perkamusan itu. Kita merujuk
kepada realiti, dimana politik ialah mengenai kuasa-menguasai. Maka
dikuasainyalah segala-galanya dalam kehidupan di Malaysia, termasuklah
kehakiman pun, ilmuan pun, profesionalisme pun, dan pendidikan pun. Malah agama
pun hampir-hampir juga tunduk kepada politik. Nasib baiknya sedikit kerana
politik parti PAS itu meletakkan ulamak sebagai kepemimpinannya.
Kerana adanya
politik parti PAS-lah, saya kira, maka politik di Malaysia menjadi agak baik
sedikit, seperti keadaannya hari ini. Bukannya baik apa, baik kerana mereka
memberi sedikit ruang kepada agama untuk berfungsi, sehingga menyebabkan
politik Umno pun terpaksa hormat sedikit kepada agama. Kalau tidak, mungkin
keadaan menjadi lebih teruk disebabkan agama tidak dapat berfungsi memberi
sedikit keseimbangan yang diperlukan itu.
Namun, disebabkan
PAS juga adalah parti politik, kecenderungannya untuk mengutamakan kepentingan
politik itu tidaklah dapat ditiadakan. Makanya agama pun tidaklah dapat
berfungsi sepenuhnya untuk kewujudan keseimbangan yang dimaksudkan.
Memang Islam itu
sendiri tidak mengasingkan politik dan agama. Betul. Tetapi sejauh manakah
orang-orang PAS dapat menghayati ajaran Islam yang tulen itu? Sejauh manakah
para pimpinan PAS sendiri, di pelbagai peringkat, dapat menerapkan ajaran Islam
tulen itu di dalam praktis kepemimpinan mereka? Seperti saya katakan tadi,
kecenderungan untuk lebih mengutamakan kepentingan politik itu menyebabkan mereka
pun turut mengganggu agama daripada berfungsi dengan baik (dalam konteks yang
dimaksudkan ini).
Kehakiman,
profesionalisme, pendidikan dan ilmuan pula telah kehilangan fungsi
masing-masing disebabkan manusia begitu sekali terpengaruh dengan nilai kebendaan
(materialisme). Padahal merekalah yang diharapkan menjadi benteng bagi
mempertahankan akhlak dan nilai-nilai murni kemanusiaan; yakni seperti yang
diajar dan ditunjukkan oleh Nabi Muhammad (saw). Akhlak yang berteraskan pada
amanah itu, hampir-hampir tidak dikenali lagi pada hari ini. Bayangkanlah itu!
Komersialisme
atau kapitalisme begitu kuat dan rakus mewarnai sistem dan nilai kehidupan
moden, dengan segala agensinya dan alat-alat canggih-manggihnya yang wujud
hampir di mana saja itu, seperti telah memadam terus makna akhlak dan amanah
dalam kamus kehidupan hari ini.
Tetapi apakah itu
hasil daripada politik kita yang keterlalauan? Tentulah tidak, ‘kan? Ada banyak
faktor yang menyumbang ke arah itu. Keadaan ilmuan, agamawan dan budayawan kita
yang lesu dan menyerah itu – adalah sebahagian daripada faktornya.
Demikianlah –
maka saya melihat kepada seni-budaya dengan penuh harapan. Tetapi mengapa
seni-budaya? Mengapa tidak kepada yang lain-lain itu – agama, pendidikan,
kehakiman, profesionalisme, ilmuan? Mengapa seni-budaya?
Mudah saja
jawapannya. Kerana seni-budaya adalah bidang yang saya tahu lebih daripada yang
lain, dan saya tahu bagaimana membuatnya, dan memang saya sedang membuatnya.
Yakni tidaklah saya sekadar berkata-kata (menulis) tetapi lesu dan menyerah
juga, tanpa berbuat apa-apa.
Dan demikianlah
maka saya pun telah mengungkapkan kata ‘tekad budaya’ (cultural will), agar ia berdiri teguh di samping ‘tekad politik’ (political will) yang selalu dijulang
sebagai suatu prasyarat untuk perubahan itu. Mana mungkin hanya ‘tekad politik’
sahaja yang dipercayai kuasa dan pengaruhnya, padahal ‘tekad budaya’ juga tidak
kurang gelombang semangatnya yang lebih berakar. Sebagaimana ‘tekad politik’
boleh melakukan perubahan, ‘tekad budaya’ juga boleh melakukan perubahan.
Mungkin tekad
budaya tidak punya kuasa untuk menguasai seperti tekad politik yang boleh
menguasai pentadbiran dan kewangan sesebuah negara, tetapi ia (tekad budaya)
mempunyai kuasa dan pengaruhnya yang tersendiri, yang tidak kurang juga
nilainya seperti kuasa dan pengaruh dari tekad politik itu.
Hanya sedihnya
dominasi pemikiran politik itu telah begitu kuat dan mencengkam, hingga
orang-orang budaya sendiri pun rupa-rupanya tidak kenal lagi dengan ‘tekad
budaya’nya sendiri, tidak kenal lagi dengan keupayaan diri mereka sendiri.
Memang ini agak menyedihkan; dan kerananya beban ikhtiar kita pun menjadi
berganda.
Namun, berganda
atau tidak bukanlah soalnya. Kita perlu melakukannya. Semampu kita. Agar kita
tidak bersyubahat dalam penyelewengan (yakni penyelewengan kebenaran untuk
kuasa politik itu). Dan inilah yang saya bersama kawan-kawan dalam Seniman
Paksi Rakyat (Paksi) sedang lakukan sekarang.
Mungkin
seni-budaya yang kami lakukan agak berbeza sedikit daripada yang selalu dibuat
oleh pihak lain. Mungkin. Kerana memang tidaklah semua apa yang dikatakan
seni-budaya itu sesuai dengan tujuan dan maksud yang dinyatakan di awal
perbincangan ini. Ada yang sesuai, dan ada yang tidak sesuai. Kita akan
berbincang lebih lanjut lagi nanti. Insya Allah!
(Rencana ini telah disiarkan dalam Utusan Pengguna mutakhir Nov- Disember 2012). Sila dapatkan naskhah anda.
No comments:
Post a Comment